Nak makan nasi sorang je dan bila masak dalam rice cooker jadi berkerak pulak. Sudahnya nasi dapat sikit saja, nak kena basuh periuk lagi. Leceh la juga.
Sebenarnya jika nak masak nasi dalam kuantiti sikit atau sorang makan ada cara yang lagi mudah dan tak membazir akibat kerak. Caranya masak nasi guna mug atau cawan saja. Langkahnya dikongsi oleh Amalina Aziz.
Cara masak nasi untuk sorang makan, guna mug lagi senang
1. Ambil beras dalam setengah mug dan basuh seperti biasa. Kalau nak 2 mug nasi, buat lagi satu.
2. Kemudian isikan air ke dalam mug agak-agak sampai hampir penuh. Beras tadi anggarkan dalam separuh mug.
Saya guna mug seramik kaca supaya tak pecah. Boleh juga guna cawan / bekas stainless steel kalau ada.
3. Kemudian, isikan pula air dalam periuk rice cooker lebih kurang separuh penuh.
4. Akhir sekali, boleh tekan butang ‘cook’ dan masak macam biasa.
Tadaa…. Beginilah hasilnya bila dah siap masak. Senang saja kan?
Semoga bermanfaat.
Sumber: Amalina Aziz
Cara Buat Sup Ikan Yang Sedap, Gerenti Tak Hanyir
Asyik buat sup ayam dan daging saja, kita buat pulak sup ikan. Bila buat sup ikan ini ramai yang takut bau hanyir, supaya sup tiada bau ikan dan sedap boleh ikut cara yang dikongsi oleh Umi Watie.
Cara masak sup ikan gerenti tak hanyir
Bagi yang suka menghirup sup wajib cuba resipi SUP IKAN GERENTI TAK HANYIR. Terasa segar dengan aroma rempah yang wangi.
Bahan-bahan
3 keping ikan – ikan siakap/jenahak/merah
1 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ inci halia
1 sdt jintan manis
1 sdt lada hitam
1 sdt jintan putih
1 sdb ketumbar
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
4 helai daun salam (bay leaf)
2 biji tomato
Kentang
Lobak merah
Daun sup
Garam
Cara masak:
- Mula-mula tumiskan segala jenis bawang dan halia yang dihiris nipis.
2. Masukkan kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Tumis sampai naik bau.
3. Bila bahan tumis dah wangi dan kekuningan masukkan rempah lain macam lada hitam, jintan manis, jintan putih dan ketumbar. Daun salam/bay leaf jangan lupa.
Rempah macam lada hitam, jintan dan ketumbar buat aroma sup ikan kita wangi dan tidak hanyir. Daun salam tu pula buat rasa ikan kita rasa segar. Ini rahsia sup ikan sedap.
4. Masukkan air dalam 5 cawan. Biarkan sup mendidih.
5. Masukkan kentang, diikuti dengan tomato.
6. Bila dah mendidih, masukkan ikan, saya guna ikan siakap.
7. Bila nampak ikan dah masak, masukkan garam secukup rasa. Matikan api.
Hidang ketika panas. Confirm hirup sup sampai licin.
Selamat mencuba.
Sumber: Umi Watie
Berguna Untuk Pesakit Kencing Manis, Ini Cara Tanam Pokok Bunga Telang Supaya Mudah Hidup
Bunga telang selain daripada digunakan untuk membuat nasi kerabu yang berwarna biru ia juga ada manfaat untuk kesihatan. Bunga telang dikatakan berguna untuk membantu pesakit kencing manis.
Berdasarkan kajian bunga telang mampu menstabilkan kadar gula dalam darah. Malah, ia juga dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes dan simptom yang berkaitan.
Selain itu bunga telang ini juga berguna untuk kecantikan rambut dan juga kulit wajah. Ia berkemampuan membuat kulit tampak lebih sihat dan rambut jadi berkilat.
Jadinya berbaloi sangat kalau tanam pokok bunga telang ini di rumah. Tambah lagi bunganya cantik sekali gus dapat menyerikan laman.
Cara semai biji benih
- Pokok telang boleh ditanam menggunakan keratan batang akan tetapi jika disemai dari biji benih peratusannya untuk hidup lebih tinggi.
- Sebelum menyemai biji benih sebaikkan rendam dahulu biji benih lebih kurang 6 jam. Ambil biji benih yang terapung saja kerana ia lebih berkualiti.
- Sediakan tanam campuran dan buat lubang sedalam 1-2 cm, kemudian isi 1-2 biji benih. Jarak yang sesuai antara lubang adalah lebih kurang 12-15 cm.
- Kemudian tutup lubang dengan tanah dan siram. Siram sekadar untuk melembapkan tanam kemudian letak di tempat teduh. Benih akan bercambah dalam tempoh lebih kurang dua minggu.
Penjagaan
- Apabila pokok sudah stabil dan membesar, pemasangan pancang perlu dilakukan untuk menyokong dahannya.
- Bila pokok semakin besar pemangkasan perlu dilakukan supaya pokok tak terlalu rimbun kerana ia akan mendedahkan pokok lebih banyak penyakit.
Pembajaan dan penuaian
- Gunakan baja organik seperti tinja ayam untuk membaja pokok telang sebulan sekali.
- Pokok akan mula berbunga dan dipetik selepas 8-10 minggu dari tempoh mula menanam. Selepas itu bolehlah mencuba pelbagai resipi menggunakan bunga telang.
Selamat mencuba.
Sumber: theshaxfeen & Hello Doktor
Kalau Tanam Pokok Cili Pastikan Buang Tunas Air Supaya Cili Lebat & Subur
Pokok cili besar atau cili padi antara yang selalu kita tanam di kawasan rumah. Hatta duduk di apartment pun ramai saja yang menanamnya dalam pasu.
Banyak rungutan mereka yang tanam pokok cili ini, pokok tak subur, buah kecil dan sikit.
Antara perkara penting yang ramai tak tahu dalam penjagaan pokok cili adalah tentang pemotongan tunas air. Jika tidak dibuang atau dipotong ia akan mempengaruhi perkembangan pokok cili begitu juga buah cili.
Tok Serama berkongsi bagaimana mengenal pasti tunas air ini dan kenapa perlu membuangnya.
Kena buang tunas air pokok cili
Kali ini kita nak berkenalan dengan tunas air pada pokok cili.
Pertama, apakah tunas air?
- Tunas air adalah tunas yang tumbuh selepas pokok cili pecah cabang. Tunas air akan tumbuh pada batang pokok cili atau lebih tepat lagi sebelum cabang pertama pokok cili.
Bila masa nak buang tunas air?
- Tunas air selalunya dibuang selepas pokok cili pecah cabang. Lebih tepat lagi apabila pokok cili berusia 2 – 3 minggu. Pada usia ini tunas air akan tumbuh dengan rancaknya pada batang pokok cili.
- Buang tunas air kesemuanya sebelum cabang pertama.
- Kalau ada daun besar dalam 10 helai, buang dalam 8 helai, jangan melepasi Y (cabang utama)
Apa kesan tunas air pada pertumbuhan dan hasil tanaman cili?
- Tunas air tumbuh dengan cepat dan banyak. Pertumbuhan tunas yang rancak dengan bilangan yang banyak memakan banyak baja.
- Justeru itu secara fisiologinya, banyak nutrien pada baja akan digunakan oleh tunas – tunas air ini, berbanding kepada pertumbuhan cabang utama cili dan juga pertumbuhan buah (konsep sink and source).
- Kesannya, pokok cili akan menjadi rendah bukan saiz sebenar dan bilangan dan saiz buah berkurangan.
Bolehkah kita menyimpan buah cili pada tunas air?
- Tidak boleh. Ini kerana saiz buah pada tunas air adalah kecil dan bentuk buah selalunya abnormal.
Sesetengah pengusaha fertigasi turut membuang tunas air dan daun bawah selepas cabang pertama. Adakah kaedah ini betul?
- Berbalik kepada prinsip sink and source, daun merupakan tempat fotosintesis, iaitu proses menghasilkan makanan pada pokok. Pada peringkat awal, adalah digalakkan menyimpan daun tua bagi membantu proses pertumbuhan pokok cili.
- Selalunya, daun tua dibuang selepas penghasilan buah peringkat ke 3-4.
Adakah kaedah pembuangan tunas cili besar/merah sama dengan cili padi?
- Tidak. Tunas air dibuang kesemua sekali pada pokok cili besar/merah, manakala pada cili padi, tunas air disimpan 4-5 batang.
- Ini kerana tunas air pada pokok cili padi dapat menyumbang kepada penghasilan buah cili padi.
Sumber: Tok Serama