
Bagi yang ingin tampil jelita dicadangkan masuk tidur sebelum jam 11 malam.
Ini kerana mereka yang tidur lewat lebih dari jam 11 malam hingga tiga pagi cenderung makan kudap-kudapan berlemak selain minuman manis.
Amalan ini boleh memberi kesan terhadap metabolisme tubuh yang mana mengganggu proses pelangsingan.
Menurut satu kajian terhadap 85,000 responden oleh produk Jawbone mereka yang tidur sebelum jam 11 malam lebih banyak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan berbanding merela yang tidur selepas jam 11 malam.
Selain mengganggu proses menguruskan badan, kebiasaan berjaga juga mempengaruhi keadaan kulit menjadikan ia kusam, mudah berjerawat dan kering.
Menurut Dr. Kirstin Aschbacher, pengkaji dari Jawbone, sekiranya seseorang menjadikan tidur sebelum jam 11 malam sebagai amalan selama setahun ia mampu menurunkan berat badan sehingga tiga kilogram tanpa diet.
Sumber : The Hufftington Posts
7 Tanda Telefon Anda Sedang Digodam, Awas!

Isi Kandungan
Toggle
Ketika ini kita kita terlalu banyak bergantung pada telefon bimbit untuk menyimpan maklumat. Sebab itu bila tertinggal atau hilang kita jadi tak keruan.
Boleh dikatakan semua info ada di dalam telefon bimbit dari nombor telefon, emel sehinggalah urusan perbankan.
Disebabkan ia terlalu banyak menyimpan data peribadi maka telefon bimbit kita berisiko untuk dieksplotasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau dengan kata lain digodam.
Oleh itu sekiranya 7 tanda-tanda ini berlaku pada telefon anda terutama ketika menggunakan wifi tempat terbuka maka hati-hati ya.
1. Bateri telefon cepat habis
Setiap telefon mempunyai kapasiti bateri yang berbeza dan sebagai pengguna telefon anda pasti sudah boleh membaca hayat bateri telefon anda.
Tetapi jika tiba – tiba bateri telefon anda berkurang secara drastik dengan penggunaan yang normal kemungkinan besar kerana ada aplikasi yang tidak dikenali sedang beroperasi di sistem telefon anda.
Aplikasi tersebut kemungkinan adalah malware yang mampu mencuri data peribadi anda.
2. Telefon jadi panas tiba-tiba
Perkara ini akan terjadi jika ada aplikasi yang berjalan dalam sistem telefon. Jika ianya terjadi, anda disarankan untuk mengambil langkah untuk melihatnya di bahagian Settings > Developer options > Running services.
Jika anda menemui aplikasi yang tak dikenali, ‘delete’ dengan segera dan elakkan memuatnaik aplikasi dari sumber yang tidak boleh dipercayai.
3. Wifi aktif dengan sendiri
Wifi anda tiba – tiba aktif ketika berada di tempat umum. Perkara ini mungkin disebabkan anda sedang diperhatikan. Melalui Wifi umum, penggodam mudah menghantar virus dan mencuri data anda.
4. Berlaku crossline ketika membuat panggilan
Salah satu tanda telefon anda digodam ialah anda mendengar suara bising dan aneh ketika melakukan panggilan telefon.
5. Kuota internet cepat habis
Ia salah satu tanda ada aplikasi yang sedang mengirim data tanpa pengetahuan anda pemilik telefon. Awas ya!
6. Menghantar mesej pelik
Sekiranya rakan atau famili anda menerima mesej berupa emel atau Facebook yang pelik dari anda sedangkan anda tidak menghantarnya besar kemungkinan telefon anda digodam.
Begitu juga jika anda mula menerima banyak mesej yang pelik, ia juga tanda telefon anda sedang dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
7. Iklan dan ‘pop up’ muncul
Ini adalah antara tanda paling nyata. Ia menandakan ada unsur luar sudah menceroboh.
Sumber: Brightside & psafe.com
Tampil Tanpa Mekap Di Hari Perkahwinan, Alasan Wanita Ini Disokong Netizen

Hari bahagia yang dirai sekali seumur hidup dah tentu semua pengantin perempuan mahu tampil paling cantik pada hari perkahwinan.
Sebab itu ramai sanggup mengambil khidmat jurusolek mahal semata-mata untuk tujuan ini. Tapi lain pula buat wanita ini. Dia melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan pasangan pengantin.
Pada hari pernikahannya Dr Tasnim Jara mengambil keputusan tidak mengenakan mekap dan tampil seadanya. Dia kemudian memuat naik gambar perkahwinan dengan wajah tanpa secalit mekap dalam laman sosial miliknya bersama alasannya.
Perkongsian Dr Tasnim Jara tular bukan saja di negara asalnya tapi di serata pelusuk dunia yang rata-rata menyokong alasannya.
“Saya memakai busana putih yang ringkas milik nenek pada hari perkahwinan. Saya juga tak mengenakan mekap, memakai perhiasan atau aksesori. Ramai yang bertanya kenapa saya melakukannya dan ini alasan saya.
“Tak pernah saya menghadiri majlis perkahwinan tanpa mendengar orang-orang bergosip. Bertanya seberapa banyak emas yang dipakai, seberapa cantik mekap yang digunakan, seberapa indah baju pengantin dan seberapa mewah majlis yang diadakan. Ini menyebabkan ramai pengantin berlumba-lumba membuat persiapan terbaik mereka. Memakai baju mahal, perhiasan dan mekap yang berlebihan.
“Disebabkan terlalu obses dengan majlis yang terbaik mereka lupa bahawa mereka sepatutnya melakukannya sesuai kemampuan. Ramai pasangan pengantin yang mengikut perasaan untuk kelihatan mewah tapi lupa bahawa kebahagiaan tak itu tak berkait dengan kemewahan.
“Masyarakat kita beranggapan bahawa majlis dan penampilan yang sederhana dengan apa adanya akan membuat kita nampak buruk. Padahal, kita memang seperti itu.
“Secara peribadi, saya ingin masyarakat menghargai apa yang kita miliki. Tak ada salahnya hidup sederhana. Setiap pengantin itu cantik walau sederhana. Bukan kemewahan yang akan membuat kita cantik, hati yang tulus dan keyakinan dengan apa dianugerahkan akan buat pengantin kelihatan makin cantik.
“Keputusan saya memang awalnya dibantah keluarga. Mereka kata tak mahu bergambar dengan saya tapi perlahan-lahan mereka menerima keputusan ini dan menyedari bahawa apa yang saya putuskan tidak salah.
“Dan suami saya Khaled, dialah yang selalu menyokong keputusan ini dan dia bangga dengan apa yang saya putuskan,”tulis Tasnim Jara dalam catatan bahasa Inggeris.
Status yang dimuat naik itu telah mendapat lebih 116k reaksi di Facebook dan 30k perkongsian serata dunia.
Sumber:Tasnim Jara
Ketepikan Penat, Muslimah Lakukan 8 Amalan Ini Di Malam-Malam Akhir Ramadan

Sesungguhnya segala ibadah yang dilakukan adalah untuk menggapai kebaikan dan keberkatan yang disediakan Allah s.w.t dalam bulan mulia itu.
Pada malam terakhir ini juga, Allah s.w.t menjanjikan malam istimewa iaitu ‘Lailatul Qadar’; malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Disebabkan itulah Rasulullah s.a.w mengajar umatnya untuk memaksimumkan amal ibadah dalam malam-malam terakhir itu dengan sebaik-baiknya. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata;
“Adalah Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, suatu hal yang beliau tidak bersungguh-sungguh (seperti itu) di luar (malam) tersebut.”
Dengan itu, sebaiknya kita sebagai Muslimah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam kesungguhan Baginda beribadah, terutamanya ketika menjelang 10 malam terakhir Ramadan al-Mubarak. Jangan jadikan penat sebagai alasan dan penghalang kita meraih ganjaran istimewa yang ditawarkan Allah SWT.
Antara amalan yang sangat dianjurkan dan diamalkan oleh Baginda adalah;
#1 – Berqiamullail
Berqiyamulail adalah dengan mendirikan solat malam dan mengisi malam hari dengan pelabagai ibadah kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda;
“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada Lailatul Qadar kerana keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni untuknya segala dosanya yang telah lalu.”
#2 – Membaca Al Quran
Bulan Ramadan juga adalah bulan al Quran, selain terdapat keutamaan dalam membacanya, bulan Ramadan juga adalah bulan yang turunnya al Quran.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah;
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” Surah al Baqarah:185
Setiap umat Islam mestilah membacanya, menghayatinya, mempelajarinya dan menjadikan al Quran sebagai panduan hidup.
#3 – Beriktikaf
Itikaf bermaksud berdiam di masjid dengan tujuan untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Perbuatan iktikaf adalah sunnah Baginda s.a.w pada bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain, namun iktikaf adalah lebih khusus dilakukan pada bulan Ramadan.
Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w banyak beritikaf pada sepuluh malam terakhir seperti yang diterangkan melalui hadis dari Saidatina Aisyah r.a;
“Sesungguhnya Nabi s.a.w beritikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan hingga beliau wafat, kemudian isteri beliau beritikaf setelah itu.”
#4 – Banyak Berdoa
Doa adalah ibadah yang juga merupakan sifat para nabi dan rasul serta ciri-ciri orang yang soleh.
Doa pada bulan Ramadan akan mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t, jadi berdoalah sebanyak-banyak pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Firman Allah;
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Surah al-Baqarah:186
#5 – Banyak Beristighfar Dan Bertaubat
Dalam melalui sepuluh malam terakhir, lakukanlah solat sunat taubat, termasuklah banyak beristighfar kepada Allah s.w.t. Taubat dan istighfar adalah amalan yang sangat dituntut pada oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman;
“Dan bertaubatlah kalian seluruhnya kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kalian beruntung.” Surah an-Nur:31
#6 – Mengerjakan Umrah
Umrah di bulan Ramadan merupakan amalan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibadah ini juga merupakan amalan para solehin yang mengandungi banyak kelebihan dan keistimewaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda;
“Umrah pada bulan Ramadhan menggantikan haji bersamaku.”
#7 – Tidak Tidur Di Sepuluh Malam Terakhir
Baginda Rasulullah s.a.w banyak menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir dengan pelbagai ibadah. Diriwayatkan dari Aisyah berkata;
“Pada sepuluh terakhir bulan Ramadan Rasulullah s.a.w lebih giat beribadah melebihi hari-hari selainnya.” Hadis Riwayat Imam muslim
#8 – Membantu Keluarga Untuk Beramal Soleh
Dalam hadis Abu Dzar bahawa; Baginda s.a.w melaksanakan solat malam bersama kaum muslimin pada malam 23 dan 25.
Disebutkan juga Baginda s.a.w mengajak kaum keluarga dan isteri-isterinya pada malam 27 secara khusus. Baginda sangat bersungguh membangunkan mereka di malam-malam ganjil yang diharapkan dapat bertemu dengan Lailatul Qadar.
Pada malam-malam sepuluh hari terakhir Ramadan adalah waktu yang sangat tepat untuk beramal. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang baik untuk melakukan ibadah pada malam-malam yang dangat diberkati ini.
Sebagai umat Islam, rebutlah keberkatan dan janji Allah s.w.t yang tentang istimewanya malam Lailatul Qadar.
Bukan itu sahaja, banyakkanlah ibadah dengan niat untuk dinilai akan segala kebaikan itu di akhirat kelak.