Biasanya bila drill dinding untuk pasang rak pada dinding, penyangkut baju atau gantung frame gambar kita akan buat sendiri saja. Cuma waktu nak buat kerja ini kena tengok masa juga takut ganggu jiran dengan bunyi bising.
Tapi ada tip yang boleh kita guna untuk kurangkan bunyi dan mudahkan drill dinding konkrit. Caranya pastikan mata drill yang kita guna betul.
Boleh guna mata drill yang dicadangkan oleh Wak Saien yang dikongsi melalui Facebook Tukang Apa Hari Ini.
Guna ‘mata’ jenis ini
Untuk tebuk dinding konkrit Wak cadangkan yang ini, guna mata jenis ini atau Ceramic Tile Mosaic Drill Bit
Nak gantung frame, penyangkut baju. Akak-akak pun boleh buat. Bunyi tak bising, tak ganggu jiran, tangan sebelah pun boleh. Harga tak sampai RM10.
Untuk lebih jelas boleh klik SINI untuk tonton video yang dikongsi Wak Saien.
Info: Mata ini digunakan untuk ceramic dan tiles namun boleh juga untuk tebuk dinding konkrit dan simen. Cuma ia mungkin haus kalau tebuk banyak lubang, boleh standby mata ganti. Tapi berbaloi sebab mudahkan kerja dan tak bising.
Klik SINI untuk beli mata drill di Shopee. Pilihan lain klik SINI
Semoga bermanfaat.
Cara Buat Pes Tomyam Paling ‘Kaw’, Dah Tak Payah Beli Di Restoran Thai Lagi
Memang boleh dibeli tapi kalau asyik makan tomyam dari restoran bosan juga. Lagipun selalu saja hidangan ini kalau dibeli tak kena dengan selera kita yang mahukan tomyam kaw.
Ha… kalau nak tomyam yang kaw dan meletop rasanya kenalah buat sendiri. Melalui carian resepi di Facebook, pes tom yam dari Puan Norashikin Bt Hasan inilah paling popular. Ia dikongsi hampir berpuluh ribu pengguna di laman sosial ini. Sah sedap kalau macam ni kan!
Buat pes lagi jimat, sekali buat boleh disediakan banyak kali dan mudah pula. Sesuai sangat untuk ibu bekerja yang tak punya banyak masa untuk memasak. Selamat mencuba!
Bahan-bahannya ialah:
- 2 biji bawang besar
- 4 batang serai (letak lebih kalau serai kurus)
- 2 biji cili hidup merah
- 5 hiris lengkuas
- 7 helai daun limau purut (dikira secara tak bercantum)
- 4 sudu makan udang kering
- 10 ekor ikan bilis ( jika suka kalau nak lebih rasa kaw kaw seafood)
- 4 inci belacan
- 3 sudu cili kering siap kisar
- Air asam jawa, gula perang, garam asli
Cara Penyediaan:
- Masukkan semua bahan (kecuali air asam jawa, garam dan gula) ke dalam pengisar. Kisar sampai lumat.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis sampai pecah minyak. Guna api perlahan. Waktu ini bau tomyam akan naik.
3. Bila pecah minyak, masukkan air asam jawa, dan gula perang. Kacau.
4. Tutup api. Masukkan garam asli (saya suka pakai garam asli sebab ia bersifat detox, boleh buang toksin berlebihan dalan badan)
5. Apabila pes dah sejuk masukkan dalam botol dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan lama.
INFO
Jika suka tom yam yang pedas, sewaktu memasak masukkan cili padi mengikut kepedasan yang diingini.
Kredit: fb Norashikin Bt Hasan
7 Ilmu Tentang Oven & Fungsinya, Wajib Tahu Supaya Kek Dan Kuih Menjadi
Ramai yang suka buat kek dan biskut tapi sering kali juga dengan keluhan tak menjadi didengar. ‘Saya dan ikut resipi sebijik-sebijik tapi kek mendap, kenapa ya’ ini antara keluhannya.
Salah satu puncanya mungkin kerana kurang ilmu. Bukan kurang ilmu memasak tapi ilmu tentang ketuhar atau oven yang digunakan.
Di dalam proses membuat kek, biskut, pastri dan roti, bukan sahaja kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik tetapi oven juga memainkan peranan yang amat penting.
Soalan yang selalu diajukan terutama bagi yang baru belajar memasak adalah ketuhar mana yang sesuai dan adakah kita perlu menyediakan berlainan ketuhar untuk berlainan kek, roti dan pastri?
Bagi memberi pencerahan tentang perkara ini VK kongsi info tentang ketuhar dan fungsinya yang diambil dari Facebook Jom Belajar Buat Kek. Semoga bermanfaat untuk anda yang suka memasak.
Jenis dan fungsi Ketuhar
1. Ketuhar Jenis Bina Dalam (Built in oven)
Ketuhar jenis ini memang cukup sesuai untuk semua jenis pembakaran. Ia boleh membakar roti, kek, pastri dan biskut. Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada sesetengah ketuhar jenis begini, kepanasannya tidak begitu rata jika anda membakar dua atau dua tingkat (2 tier baking).
Kalau anda membakar biskut cara begini, anda harus rajin memusing dan menukar loyang kuih anda supaya mendapat kepanasan yang lebih rata (rotate the trays to get even baking results). Tetapi apabila membakar kek,lebih baik jika membakar satu tingkat sahaja.
2. Ketuhar Berkipas (Oven with fan)
Ketuhar yang mempunyai kipas bina dalam selalunya membakar biskut dan pastri dengan cukup baik kerana kipas itu memutar angin panas dengan rata jika kita membakar dua atau tiga tingkat (2 or 3 tier baking). Tetapi apabila digunakan untuk membakar kek, kipas ini akan mengeringkan kek.
Jadi, jika ada pilihan butang untuk tidak membuka kipasnya atau switch off (tutup kipas) apabila membuat kek, itu adalah pilihan lebih baik (sesetengah oven ada butang kipas).
Tetapi jika tidak boleh memilih untuk menutupnya (tiada butang kipas) adalah lebih baik jika anda mengurangkan sedikit masa membakar kek itu.
Contohnya, jika kek itu memerlukan masa 45 minit untuk membakarnya dalam ketuhar biasa, kurangkan masanya dalam 5 minit lebih awal jika menggunakan ketuhar yang berkipas ini supaya kek tidak terlalu kering.
3. Ketuhar Microwave (Microwave Oven)
Ketuhar jenis ini adalah seperti ketuhar 2 IN 1 iaitu boleh digunakan untuk fungsi microwave dan juga untuk membakar biskut, brownie atau kek-kek cawan.
Ketuhar begini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Jika kita membakar kek yang agak besar, ada kalanya bahagian tengah kek tidak masak dengan betul.
Selalunya, kita lebih menggunakan fungsi microwave sahaja. Jadi bagi mereka yang suka membakar roti, pastri dan kek-kek perayaan, jenis ketuhar sebegini mungkin kurang sesuai dan kek-kek yang dibakar dalam ketuhar microwave sebegini selalunya kelihatan agak pucat dan padat.
Fungsi-fungsi Pada Ketuhar
Sebenarnya inilah yang ramai tidak tahu. Jom semak fungsinya supaya boleh menggunakannya dengan betul. Kebanyakan ketuhar bina dalam (built in oven) mempunyai fungsi yang agak sama iaitu :
Top and Bottom Heat
Ini cukup sesuai untuk membakar semua jenis kek, biskut pastri dan roti. Jika membakar kek yang agak besar, letakkan kek itu di rak agak bawah sedikit tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih sesuai jika kita meletakkannya di rak tengah sahaja.
Top Heat Only
Ramai yang keliru apabila melihat fungsi ini. Mereka sangka top heat sesuai untuk membakar kek lapis! Sebenarnya top heat lebih sesuai digunakan apabila membakar cheese cake. Jika digunakan untuk membakar kek lapis, ia akan menjadi terlalu kering dan ada kalanya garing.
Bottom Heat Only
Fungsi Bottom Heat ini cukup sesuai jika ingin menggaringkan roti yang berinti seperti pizza. Adakalanya, inti pizza itu sudah masak tetapi bahagian bawah rotinya pula masih kurang garing atau lembap. Di sinilah kita menggunakan fungsi bottom heat ini untuk memasakkan roti itu tanpa mengeringkan dan memasakkan inti pizza yang diatasnya itu.
Grill
Inilah fungsi utama apabila kita membakar kek lapis. Dengan menggunakan grill, setiap lapisan kek lapis pasti menjadi dengan cantik dan tidak kering. Api grill ini juga cukup sesuai jika ingin mengaringkan hanya bahagian atas ayam atau daging untuk sekejap sahaja.
Steam Injection
Tidak kesemua ketuhar ada fungsi ini. Fungsi ini cukup sesuai jika ingin membakar sesetengah jenis roti seperti roti perancis. Ia akan menggaringkan dan meranggupkan permukaan roti itu.
Suhu (Temperature)
Pastikan anda tahu jenis suhu ketuhar anda untuk jenis masakan yang anda lakukan agar ianya tidak menghasilkan rasa hangit atau hangus pada kuih semasa proses pembakaran dilakukan. Setiap saiz ketuhar itu mempunyai suhu kepanasan yang berbeza. Dapatkan nasihat daripada pakar penjual sebelum membuat belian terlebih dahulu.
Semoga tip yang diberi berguna untuk para ibu menyediakan masakan terbaik untuk keluarga. Selamat memasak!
Sumber : Facebook Jom Belajar Buat Kek
Bila Parking Kereta Bawah Panas Terik, Guna 3 Tip Ini Untuk Kurangkan Bahang
Kena letak kereta bawah panas terik, kemudian bila nak masuk dia punya panas memang bahang! Ini situasi biasa yang kita hadapi setiap hari bila masuk kereta tengah hari.
Tapi ada cara untuk kita kurangkan bahang bila meletak kenderaan di bawah panas terik. Memang ada tersedia dalam kereta cuma kita saja tak gunakannya. Caranya buka flap air cond bila parking tengah panas.
Tip kurangkan bahang dalam kereta bila parking bawah panas terik
1. Tutup flap aircond bila memandu
Flap aircond ditutup sewaktu memandu untuk kekal sejuk (rujuk gambar atas).
Sewaktu memandu pastikan tutup flap aircond kereta. Ini berfungsi agar pengudaraan kereta beredar di dalam kereta sahaja dan menghasilkan udara yang sejuk dan nyaman sepanjang pemanduan.
2. Tapi bila parking kereta pastikan flap aircond dibuka
Sewaktu parking di tempat panas, tidak berbumbung buka flap aircond (seperti gambar di bawah), jangan tutup.
Biarkan terbuka agar udara panas tidak terperap dalam kereta. Ini bertujuan agar udara keluar masuk dan mengekalkan kereta kurang panas.
Tidak perlu nak turunkan cermin kereta untuk ventilation. Bahaya kalau orang cungkil melalui cermin untuk curi kereta kan?
3. Buka flap air cond seketika lepas masuk kereta
Lagi satu bila dah masuk dalam kereta yang di parking bawah panas terik jangan terus tutup flap air cond, sebaliknya biarkan seketika. Kemudian barulah ditutup.
Biarkan angin luar masuk dalam kereta untuk kurangkan panas. Fungsi ini akan bantu turunkan suhu dalaman kereta dengan gantikan dengan angin baru. Bila dah kabin kereta dah mula sejuk, barulah tutup flap aircond untuk fungsi ‘kitaran dalam’.
Ini akan bantu sistem air-con anda berfungsi dengan lebih baik kerana hanya perlu menyejukkan angin yang separa sejuk berbanding angin luar yang panas. Secara langsung dapat mengurangkan pengguna bahan api.
Semoga bermanfaat
Sumber: Daboorazi & Dr. Aid Fawzal