Salah satu pokok bunga yang menyerikan laman adalah orkid. Dek keindahannya juga, ramai yang cuba menanamnya di rumah.
Cuma selepas berhabis wang membeli pokok ini, cara penjagaanya yang kurang sesuai menyebabkan pokok orkid ini rosak atau mati. Memang sayang.
Bagi yang cuba-cuba menanam orkid di rumah, ada beberapa pantang larang yang perlu diketahui.
Orkid adalah tumbuhan yang ‘suka’ pada tempat yang teduh dan anda tidak sepatutnya membiarkannya terdedah kepada cahaya matahari yang terlalu banyak.
Jika ia terdedah kepada sinaran matahari yang terik pada musim panas, kemudaratan yang besar mungkin akan berlaku kepada bunga itu.
Penyelesaian mudah kepada masalah ini adalah dengan menanam orkid di ruangan yang teduh seperti di bawah pohon atau di beranda rumah.
Antara kesilapan yang selalu dilakukan bila menanam orkid ialah melakukan siraman secara berlebihan. Untuk pengetahuan, orkid hanya memerlukan air yang sedikit untuk terus hidup dan membesar.
Apabila terlalu banyak air, ia berkemungkinan besar akan mengalami masalah seperti akar reput. Justeru, siram orkid dengan berpada-pada iaitu dalam ¼ cawan air.
Keseimbangan antara cahaya, haba dan kelembapan perlu dilakukan jika menanam orkid. Secara amnya, orkid adalah tumbuhan yang memerlukan cahaya dan perlu mendapatkan 12 hingga 14 jam cahaya setiap hari sepanjang tahun.
Sesetengah orkid seperti vandas dan cymbidiums pula memerlukan jumlah cahaya yang banyak agar ia berbunga.
Menggunakan tanah untuk menanam orkid adalah kesilapan yang sering dilakukan. Tanpa disedari, ia boleh membunuh tumbuhan itu.
Bahan penanaman orkid tidak sama dengan bahan penanaman bagi tanaman yang lain.
Penggemar orkid yang sudah berpengalaman biasanya menggunakan bahan seperti spaghnum lumut, sabut kelapa dan styrofoam untuk menggantikan tanah pasu.
Sebagai contoh, orkid phalaenopsis tumbuh di atas pokok apabila ia berada di habitat semula jadi dan disebabkan itu ia tidak boleh ditanam di dalam tanah.
Semoga bermanfaat
Sumber: Keluarga & Siakap Keli