Kehamilan Ketiga Ubah Vivy Yusof. Tak mahu Bergaya, Tak Suka Mekap!

Share

 

 

Meskipun tahun ini merupakan tahun yang agak sibuk buat pengasas Fashion Valet ini namun Vivy Yusof nekad menambah bilangan ahli keluarga.

Mengikut saranan ibu yang selalu berpesan supaya melahirkan ketika usia masih muda dan bertenaga akan tetapi akui Vivy kehamilan ketiga ini cabarannya agak berbeza.

Dua kehamilan sebelum ini dilalui dengan mudah dan tidak memberi banyak masalah namun kali ini ternyata ia tidak seperti dijangka.

Jika Vivy yang kita kenal sentiasa positif, suka bekerja, bangun waktu pagi dengan senyuman, peramah dan suka bergaya namun kehamilan kali ketiga mengubah semua sikap itu.

Selesa pakai kaftan,  baring atas lantai

Menamakan dirinya yang baru Pivy (Pregnant Vivy) ujar wanita ini setiap pagi dia bangun dengan keluhan, enggan bergaya sebaliknya hanya selesa dengan kaftan.

“Pivy tak mahu makan dan kalau boleh hanya mahu tidur di atas lantai marble yang sejuk untuk meredakan sakit belakangnya.

“Dia tak lagi suka bermekap, bertemu ramai orang malah ibarat mengheret kaki untuk pergi bekerja. Morning sicknes yang dihadapinya bukan saja pagi, tapi berlarutan hingga tengah hari, petang dan malam,”ujar Vivy melalui tulisannya dalam kolum di akhbar New Straits Times baru-baru ini.

Paling menonjol katanya lagi perutnya sudahpun kelihatan seperti hamil lima bulan walaupun dia baru berada di trimester pertama kehamilan.

Kehamilan saya dulu mudah, ia satu karma!

Tak ketinggalan Vivy, isteri kepada Fadzarudin Anuar ini juga melalui perubahan emosi yang ketara.

“Trimester pertama kehamilan ini bukan mudah, saya rindu pada Vivy yang dulu, yang sentiasa happy.

“Selama lapan tahun pengalaman menjadi majikan saya banyak melihat pekerja saya hamil dan memasuki fasa menjadi seorang ibu.

“Saya tak memahami bila mereka berdepan masalah kerana kehamilan saya mudah. Saya merasakan kehamilan tak sepatutnya menjejaskan prestasi kerja dan juga rakan sekerja.

“Tapi kini saya merasakan apa yang mereka lalui, ia satu karma! Tapi saya tak boleh kalah, saya harus ingat kembali kata-kata saya kepada mereka.

“Syarikat ini bergantung pada saya, suami saya perlukan isterinya yang dulu, begitu juga anak-anak perlukan ibu mereka yang dulu,”ujarnya yang kemudian bertemu penyelesaian semua masalah ini setelah bertemu dengan doktor.

“Ada ubat untuk semua ini rupanya? Kenapa saya tak diberitahu awal,”ujarnya dalam tulisan yang cukup lucu mencuit hati pembaca.

Mesti ada cara

Kesimpulannya menurut Vivy, setiap wanita melalui kehamilan yang berbeza. Ada yang mudah dan ada juga yang sukar hingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Apa yang penting wanita harus faham tubuh mereka sendiri dan berjumpa doktor untuk mengetahui tahap kemampuan diri.

“Tapi dalam masa yang sama kita perlu ada fikiran yang kuat supaya boleh melalui semua ini. Pasti ada cara ketika kehamilan yang dapat meredakan alahan.

“Contoh seperti ketika hamilkan Daniel saya makan jambu untuk hilangkan muntah-muntah, Mariam pula saya kemaruk dengan ice ships tapi untuk kehamilan ini mengeluh pada suami membuatkan saya sudah rasa selesa #prayforfadza,”akhiri Vivy.

 

 

 

Published by
VK