Kenapa Rumah Kita Sentiasa Rasa Panas, Berbahang & Cara Atasinya

Share

 

Bila cuaca panas rumah kita mula terasa bahang, bukan saja waktu siang, malam pun sama. Memang serba tak kena dibuatnya.

Tapi hairannya ada pulak rumah yang kita pergi rasa sejuk saja walaupun tengah hari. Bila keadaan macam ni mulah kita akan tertanya kenapalah rumah aku ni panas sangat.

Sebagai info, laman Root of Science menjelaskan tentang punca rumah jadi panas dan bahang serta cara untuk mengatasi kepanasan di dalam rumah.

Terdapat 5 sebab utama pemanasan rumah dan strategi mengatasinya.

1. Dilanda Sinaran Matahari Secara Langsung

Kita tak perlu jadi genius untuk memahami penyebab utama ini. Sinar matahari yang melanda dinding, lantai dan ruang dalaman akan menyebabkan peningkatan suhu mendadak.

Cara terbaik untuk kurangkan sinaran matahari ini adalah mengelakkan sinaran matahari dari melanda bahagian-bahagian rumah anda secara langsung. Caranya seperti berikut:

Menggunakan awning

Awning atau unjuran bumbung yang panjang akan meredupkan bukaan tingkap atau pintu. Ia juga dapat melindungi dinding dari menyerap haba;

Menanam pokok sebagai teduhan

Dedaun yang rimbun dapat menghalang sinaran matahari dan menyejukkan persekitaran luar rumah;

Menggunakan insulasi (penebat haba) di bumbung

Ini kerana bumbung akan menerima sebahagian besar haba dari matahari dan akan memanaskan udara di antara bumbung dan siling rumah. Penebat haba akan mengurangkan kesan pemanasan ruang ini;

Lapisi dinding dengan lapisan tambahan

Penggunaan material seperti lapisan komposit aluminium, veneer atau lapisan bata perhiasan.

Mengecat dinding dengan warna yang cerah

Hukum Pemindahan Haba (thermodynamics) menyatakan warna yang cerah akan memantulkan cahaya sementara warna yang gelap menyerap (absorb) cahaya. Apabila cahaya diserap, tenaga itu bertukar menjadi haba.

Menggunakan langsir, tirai atau skrin

Sebagaimana unjuran bumbung atau teduhan pokok melindungi bahagian luar bangunan, langsir, tirai atau skrin akan melindungi bahagian dalam rumah sambil membenarkan aliran angin yang bebas.

Menghadang bukaan yang menghadap matahari terbenam (barat secara umumnya).
Suhu paling panas adalah di waktu petang antara 2pm hingga 4pm. Jadi seeloknya bukaan yang menghadap matahari petang dihadang bagi mengurangkan penyerapan haba.

2. Tidak Mempunyai Pengudaraan Yang Baik

Sebab kedua adalah kediaman tidak mempunyai pengudaraan yang baik. Antara kaedah paling efisien dalam menangani masalah panas di dalam rumah adalah dengan memastikan semua udara panas yang terkumpul keluar dan digantikan dengan udara sejuk.

Tanpa pengaliran udara yang baik, haba ini akan terkumpul di waktu siang dan boleh berpanjangan ke waktu malam menyebabkan rasa rimas dan tidak selesa.

Bagi mengatasi masalah ini, sesebuah rumah patut mempunyai bukaan yang menggalakkan aliran udara masuk dan keluar rumah. Antaranya:

Bukaan tingkap yang luas
Ini bagi memastikan kadar ACH (Air Changes per Hour) yang efisien;

Aliran udara yang tidak terbatas
Sebarang objek seperti perabot, dinding, langsir tebal yang merintangi pergerakkan udara boleh mengekang dan membatasi pergerakkan udara.

Menggunakan air well
Air well adalah ruang vertikal yang terbuka di bahagian tengah rumah, kebiasannya di bahagian tangga. Ia direka bagi membolehkan udara panas bergerak ke atas dan seterusnya keluar melalui bukaan tingkap berdekatan siling. Apabila ini berlaku, udara sejuk bergerak masuk menggantikan ruang tekanan rendah yang ditinggalkan oleh udara panas.

Menyeragamkan hala kipas angin berdiri

Sekiranya laluan angin datang dari hadapan rumah, maka digalakkan sekiranya menggunakan kipas berdiri (atau kipas meja) dan menyeragamkan hala kipas itu agar bertiup ke belakang rumah.

Menggunakan kipas siling menghala ke atas di bahagian air well
Kipas ini akan berfungsi sebagai kipas pengekstrak. Namun efisiensi kaedah ini belum terbukti sekiranya diambil kira kos elektrik yang terlibat.

Menggunakan cerobong solar
Cerobong solar (solar chimney) adalah satu kaedah yang popular di Timur Tengah. Ia merupakan air well yang tirus tetapi tinggi. Di sepanjang bahagian atas cerobong, pelbagai kaedah pasif digunakan untuk memanaskan udara di bahagian dalam. Antaranya menggunakan cermin, cat warna hitam dan bahan binaan yang mudah menyerap haba.

Apabila suhu udara di dalam cerobong meningkat, ia akan bergerak ke atas dan menarik udara dari bawah bagi menggantikan tempatnya. Ia akan mencipta satu tindakbalas berantai yang akan menyejukkan bahagian bawah rumah anda.

3. Kesan Urban Heat Island (UHI)

Sebab ketiga adalah adalah satu situasi di mana sesuatu kawasan bandar itu mengalami taburan suhu yang lebih tinggi dari persekitaran luar bandar. Perbezaan suhu ini terjadi apabila kawasan bandar yang dibangunkan mempunyai elemen-elemen yang memerangkap atau menjana haba yang berterusan.

Masalah ini ditambah dengan pengurangan tanaman pokok-pokok di dalam kawasan bandar – bermakna kurang tempat berteduh dan kesan penyejukan pokok-pokok tersebut. Haba yang terbuang hasil dari penggunaan kenderaan, pendingin hawa dan industri secara umumnya juga menyumbang kepada peningkatan UHI.

Kesan ini mencetus pendapat umum bahawa tinggal di kampung lebih nyaman dengan udara yang segar, sementara di bandar pula panas dan merimaskan. Namun tidak banyak yang dapat dilakukan oleh penduduk bandar secara individu, melainkan menegaskan kepada pihak berkuasa tempatan agar lebih perihatin terhadap alam sekitar dan sumbangannya kepada kehidupan manusia sejagat.

Atau pindah tempat lain. Lagi jauh dari kawasan urban lagi bagus.

Sumber Roots Of Science

 

Published by
VK