Sesungguhnya segala ibadah yang dilakukan adalah untuk menggapai kebaikan dan keberkatan yang disediakan Allah s.w.t dalam bulan mulia itu.
Pada malam terakhir ini juga, Allah s.w.t menjanjikan malam istimewa iaitu ‘Lailatul Qadar’; malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Disebabkan itulah Rasulullah s.a.w mengajar umatnya untuk memaksimumkan amal ibadah dalam malam-malam terakhir itu dengan sebaik-baiknya. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata;
“Adalah Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, suatu hal yang beliau tidak bersungguh-sungguh (seperti itu) di luar (malam) tersebut.”
Dengan itu, sebaiknya kita sebagai Muslimah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam kesungguhan Baginda beribadah, terutamanya ketika menjelang 10 malam terakhir Ramadan al-Mubarak. Jangan jadikan penat sebagai alasan dan penghalang kita meraih ganjaran istimewa yang ditawarkan Allah SWT.
Antara amalan yang sangat dianjurkan dan diamalkan oleh Baginda adalah;
#1 – Berqiamullail
Berqiyamulail adalah dengan mendirikan solat malam dan mengisi malam hari dengan pelabagai ibadah kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda;
“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada Lailatul Qadar kerana keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni untuknya segala dosanya yang telah lalu.”
#2 – Membaca Al Quran
Bulan Ramadan juga adalah bulan al Quran, selain terdapat keutamaan dalam membacanya, bulan Ramadan juga adalah bulan yang turunnya al Quran.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah;
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” Surah al Baqarah:185
Setiap umat Islam mestilah membacanya, menghayatinya, mempelajarinya dan menjadikan al Quran sebagai panduan hidup.
#3 – Beriktikaf
Itikaf bermaksud berdiam di masjid dengan tujuan untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Perbuatan iktikaf adalah sunnah Baginda s.a.w pada bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain, namun iktikaf adalah lebih khusus dilakukan pada bulan Ramadan.
Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w banyak beritikaf pada sepuluh malam terakhir seperti yang diterangkan melalui hadis dari Saidatina Aisyah r.a;
“Sesungguhnya Nabi s.a.w beritikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan hingga beliau wafat, kemudian isteri beliau beritikaf setelah itu.”
#4 – Banyak Berdoa
Doa adalah ibadah yang juga merupakan sifat para nabi dan rasul serta ciri-ciri orang yang soleh.
Doa pada bulan Ramadan akan mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t, jadi berdoalah sebanyak-banyak pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Firman Allah;
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Surah al-Baqarah:186
#5 – Banyak Beristighfar Dan Bertaubat
Dalam melalui sepuluh malam terakhir, lakukanlah solat sunat taubat, termasuklah banyak beristighfar kepada Allah s.w.t. Taubat dan istighfar adalah amalan yang sangat dituntut pada oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman;
“Dan bertaubatlah kalian seluruhnya kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kalian beruntung.” Surah an-Nur:31
#6 – Mengerjakan Umrah
Umrah di bulan Ramadan merupakan amalan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibadah ini juga merupakan amalan para solehin yang mengandungi banyak kelebihan dan keistimewaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda;
“Umrah pada bulan Ramadhan menggantikan haji bersamaku.”
#7 – Tidak Tidur Di Sepuluh Malam Terakhir
Baginda Rasulullah s.a.w banyak menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir dengan pelbagai ibadah. Diriwayatkan dari Aisyah berkata;
“Pada sepuluh terakhir bulan Ramadan Rasulullah s.a.w lebih giat beribadah melebihi hari-hari selainnya.” Hadis Riwayat Imam muslim
#8 – Membantu Keluarga Untuk Beramal Soleh
Dalam hadis Abu Dzar bahawa; Baginda s.a.w melaksanakan solat malam bersama kaum muslimin pada malam 23 dan 25.
Disebutkan juga Baginda s.a.w mengajak kaum keluarga dan isteri-isterinya pada malam 27 secara khusus. Baginda sangat bersungguh membangunkan mereka di malam-malam ganjil yang diharapkan dapat bertemu dengan Lailatul Qadar.
Pada malam-malam sepuluh hari terakhir Ramadan adalah waktu yang sangat tepat untuk beramal. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang baik untuk melakukan ibadah pada malam-malam yang dangat diberkati ini.
Sebagai umat Islam, rebutlah keberkatan dan janji Allah s.w.t yang tentang istimewanya malam Lailatul Qadar.
Bukan itu sahaja, banyakkanlah ibadah dengan niat untuk dinilai akan segala kebaikan itu di akhirat kelak.