Kehadiran gadis-gadis litar ini memang menarik perhatian, mana kan kesemuanya cantik dan seksi pula. Ia sudah sinonim dengan pertandingan kereta ini sejak berdekad lalu.
Namun bermula musim baru 2018 Mac nanti, kelibat gadis seksi ini tidak akan ditambilkan lagi.
Pengurusan sukan itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat menjelang permulaan kempen baru Mac ini.
Ketua Komersil F1, Sean Bratches menyifatkan amalan sekian lama itu satu percanggahan norma sosial dunia moden.
“Sejak tahun lalu, kami meneliti beberapa perkara yang kami rasakan perlu diperbaiki, supaya ia lebih sejajar dengan visi sukan hebat ini.
“Amalan meletakkan gadis litar sudah menjadi kebiasaan dalam Formula 1 sejak berdekad-dekad lalu, dan kami merasakan amalan ini tidak lagi menggambarkan nilai jenama dan bercanggah dengan norma sosial dunia moden.
“Kami tidak percaya amalan ini sesuai atau relevan dengan sukan Formula 1, peminatnya, sama ada lama dan baru di seluruh dunia,” jelas Bratches.
Gadis litar dan model promosi digunakan secara meluas di grand prix F1.
Lazimnya mereka berperanan memegang papan tanda untuk pemandu di litar.
Gadis litar juga mengiringi pemandu sebelum perlumbaan dan selepas perlumbaan sekiranya pemandu berkenaan menaiki podium.
Keputusan menghentikan penampilan gadis litar disambut baik badan sukan Women’s Sport Trust UK.
“Terima kasih F1 kerana menamatkan khidmat gadis litar. Satu lagi sukan membuat pilihan jelas mengenai apa yang mereka perjuangkan,” badan itu menjelaskan dalam satu kenyataan.
Sebelum ini F1 pernah menggunakan khidmat model lelaki pada Monaco GP 2015 sebagai cubaan untuk membuat perubahan.
Namun tindakan itu dikritik juara dunia empat kali Sebastian Vettel.
Sukan F1 bukan yang pertama menghentikan penampilan wanita pada acara sukan mereka.
Sebelum ini Perbadanan Sukan Dart Profesional (PDC) turut umum menamatkan serta merta penggunaan wanita bagi mengiringi pemain ketika sesuatu perlawanan.
Sumber: Astro Awani