Kronologi Kisah Pelajar Tingkatan Dua Yang Mati Selepas Menggantung Diri Kerana Dituduh Curi Telefon Bimbit Gurunya

Share

 

 

Selepas beberapa hari bertarung nyawa, pelajar tingkatan dua yang menggantung diri setelah dituduh mencuri telefon bimbit gurunya akhirnya meninggal dunia semalam.

Kisah tersebut menjadi buah mulut apabila semalam ibu mangsa meluahkan perasaannya tentang apa yang berlaku dalam satu temuramah di sebuah stesen televisyen.

“Handphone cikgu tu dah dijumpai tapi anak saya…,”demikian persoalannya yang mengundang rasa sebak kalangan netizen selepas dia memberitahu bahawa telefon bimbit yang didakwa dicuri oleh anaknya itu ditemui tercicir di sebuah kedai makan.

Hanya kerana tuduhan tersebut siapa sangka pelajar tingkatan sekolah menengah sekolah SMK Metodist Nibong Tebal mengambil keputusan yang drastik.  Berikut adalah kronologi yang berlaku kepada pelajar terbabit menerusi laporan portal-portal berita tempatan.

1. Seorang pelajar perempuan tingkatan dua SMK Metodist Nibong Tebal pada 24 Januari lepas, telah dituduh mencuri telefon Iphone milik gurunya.

2. Pelajar itu kemudian telah dipanggil oleh empat guru sekolahnya sebelum dituduh mengambil telefon bimbit jenis Iphone milik salah seorang daripada guru berkenaan.

Ketika ini pelajar tersebut dikatakan telah dikurung dalam sebuah bilik selama beberapa jam dan tidak dibenarkan keluar rehat (makan). Seorang guru yang berusia dalam lingkungan 40 an telah menuduh pelajar itu mencuri telefonnya. Pelajar itu berulangkali menafikan. Kemudiannya seorang guru lain bertindak memukul belakang badan pelajar itu di hadapan rakan-rakan sekolahnya yang lain.

3. Suami kepada guru terbabit hadir ke sekolah dan pasangan itu mengugut pelajar tersebut membawanya ke balai polis jika masih enggan mengaku telah mencuri telefon.

4. Kemudian, guru berkenaan bersama suaminya yang juga seorang cikgu telah menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah ibu bapanya. Mereka turut memberitahu apa yang terjadi. Sejurus tiba di rumah, remaja itu berlari masuk ke biliknya.

5. Guru terbabit dan keluarga mangsa kemudiannya keluar untuk berunding dan berbincang.

6. Selepas itu, keluarga mangsa pulang ke rumah lebih kurang jam 8 malam dan menghampiri bilik anaknya. Beberapa kali pintu diketuk, dan nama anak dipanggil tetapi tidak disahut.

Bimbang dengan keadaan yang mencurigakan itu, bapa pelajar itu kemudian bertindak memecahkan pintu bilik dan mendapati anaknya sedang tergantung (membunuh diri).

7. Ketika diselamatkan, pelajar itu masih lagi bernyawa dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Turut ditemui adalah nota yang ditulis oleh pelajar berkenaan.

8. Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Ketika itu dilaporkan dua organ utamanya separa berfungsi dan berada dalam keadaan koma.

Bagaimanapun keadaannya semakin pulih dan stabil meskipun dirawat di ICU. Pada 29 Januari lalu, organ-organ penting pelajar berkenaan juga dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan berfungsi meskipun remaja itu bergantung pada mesin pernafasan.

9. Menurut bapa pelajar itu, mangsa mengalirkan air mata selepas bapanya bercakap dengannya (pelajar itu dalam keadaan koma) ketika melawatnya di hospital pada 29 Januari 2018.

10. Namun tepat jam 3.30 pagi, 1 Februari lalu, selepas beberapa hari bertarung nyawa, pelajar itu meninggal dunia selepas menghembuskan nafas terakhirnya.

 

Sumber: The Star, Free Malaysia Today, Harian Metro

 

 

 

Published by
VK