Kuah Pekat Tiada Bau, Sedapnya Peratal Kambing. Ikut Langkah Ini Kalau Nak Masak Sendiri

Share

Hidangan berasas daging kambing memang ramai peminatnya. Salah satu menu kegemaran dan istimewa yang sedap adalah peratal kambing.

Cuma tak semua yang mahir memasak daging kambing ini. Nak masak hidangan ini memang kena tahu cara yang betul supaya tiada bau dan kena dengan selera.

Dikongsi oleh individu yang mahir memasaknya, bagi yang nak buat sendiri hidangan peratal kambing boleh ikut cara yang dikongsi oleh Michelle Shelle.

Cara masak peratal kambing

Bahan-bahan:
1 kg daging kambing bersama tulang (potong kecil)
2 biji bawang merah (hiris)
7 ulas bawang putih
7 cm halia
5 biji ubi kentang (dadu)
1 biji tomato (dadu)
2 sudu kecil jintan manis
1 batang kayu manis
5 biji bunga lawang
3 biji cengkih
5 tangkai daun kari
4 sudu besar serbuk kari daging
5 sudu besar serbuk cili biasa
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar kicap pekat
Air
Garam
Gula

Cara membuat

1. Guna periuk tekanan/didih di atas periuk biasa, rebus daging kambing (isi & tulang) bersama 2 cm halia (tumbuk). Masak sampai 3/4 masak untuk lembutkan daging dan kurangkan bau

2. Tumbuk jintan manis, bawang putih dan halia. Ketepikan.

3. Panaskan kuali, tuang minyak, lebihkan minyak untuk kacau bahan-bahan. Masukkan kayu manis, bunga lawang, cengkih, bawang merah, tumis sampai keperangan.

4. Masukkan daun kari bersama bahan yang sudah ditumbuk, tumis sampai keperangan.

5. Masukkan daging kambing yang 3/4 sudah masak tadi ke dalam kuali dan kacau seketika.

6. Bubuh serbuk kari daging dan cili biasa ke dalam dan kacau sampai sebati.

7. Tuang air secukupnya, cukup untuk tutup daging kambing saja kemudian masukkan ubi kentang
dan kacau.

8. Biar ubi kentang masak, kacau sekali sekala. Bubuh garam dan gula secukupnya.

9. Bila ubi kentang dah masak, pastikan untuk cucuk daging kambing, guna garpu untuk pastikan kentang dah lembut.

10. Tuang sos tomato dan kicap pekat, kacau daging kambing sampai air surut ke tahap kuahnya menjadi pekat. Masukkan tomato dan daun kari ke dalam, kacau seketika dan tutup api

Hidang dengan nasi atau roti kegemaran anda.

Sumber: Michelle Shelle

Published by
VK