Jika kebanyakan pengasas produk cukup aktif di media sosial memaparkan gaya hidup serta aktiviti seharian, tapi lain pula bagi pemilik jenama Aidijuma.
Sudah enam tahun bergelar pengasas tudung Aidijuma yang banyak beroperasi secara online namun empunya diri ini tidak pula berminat untuk aktif di media sosial.
Akaun di media sosial bagi Datin Norjuma Habib Muhamad hanyalah semata-mata untuk mempromosikan jenama produknya.
Pada zaman yang kuat pengaruh media sosial, mungkin ramai yang berasa kekurangan jika tidak aktif di medium ini namun bagi usahawan wanita berjaya ini ia sebenarnya adalah satu kelebihan buat dirinya.
“Saya tiada media sosial, tak perlu pun tapi saya ok saja. Pada saya tiada ada akaun media sosial adalah satu kelebihan.
“Saya tak berminat untuk melapor kepada orang asing hari ini saya pakai kasut harga berapa, esok kasut harga berapa atau lusa saya tak pakai kasut.
“Saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini dan lambang kesyukuran saya bukanlah dengan selfie di dinding media sosial,”ujarnya ketika ditemui dalam majlis Meet & Greet Aidijuma baru-baru ini.
Kata Datin Norjuma lagi hidupnya adalah ringkas dan dia melakukan apa yang perlu saja.
“Adakah media sosial ini satu keperluan dalam hidup. Kalau perlu saya buat, tapi kehidupan saya cukup ringkas. Untuk saya memberitahu apa yang saya makan pagi atau malam pada saya itu tidak akan mengubah dunia.
“Personal life saya sangat memuaskan, saya tak perlu tunjuk pada orang lain,”ulasnya lagi.
Namun jelas Datin Norjuma dia tidak dinafikan tiga anak lelakinya yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun ada meminta keizinannya untuk mempunyai akaun instagram.
” Anak-anak memang dah minta ada instagram. Tapi saya tanya untuk apa? Pada saya jika usia bawah 18 tahun eloklah tak bercerita tentang kehidupan dia pada orang lain.
“Saya harap anak saya tak perlukannya sebab kita hanya ada 24 jam satu hari untuk bekerja dan tidur. Tak cukup masa untuk kita melayan media sosial.
“Sebaiknya kita simpan banyak perkara sendiri supaya kita tak menyesal tercerita perkara yang tak sepatutnya,”ujarnya dalam majlis yang turut diadakan untuk menerangkan perkembangan terbaru tentang Aidijuma.
Menurutnya selepas enam tahun berada dalam industri ini Aidijuma akan mengembangkan sayapnya ke luar negara antaranya ke United Kingdom dan Jakarta. Malah beliau sendiri mencuba bidang baru iaitu business development sekali gus membuktikan kemampuan Aidijuma sebagai pencetus industri.
“Saya hanya mahu menjual tudung yang dulunya pernah dikatakan tudung lapuk dan produk kampung. Saya tiada masalah terhadap kata-kata orang. Tapi yang pasti, kami mampu menjadi pencetus industri,”katanya lagi.
//vanillakismis