Maggi Sambal Cobek, Cara Masak Mi Segera Lain Dari Yang Lain

Share

Rendam atau goreng, ini antara dua cara masak mi segera yang biasa. Apa kata kita cuba cara yang lain daripada yang lain. Maggi sambal cobek, kalau suka pedas memang layan sangat.

Caranya dikongsi oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Maggi sambal cobek

Bahan-bahan: 1 orang makan
1 pek mi segera (Maggi Kari)
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah (kecil)
1 tangkai cili
1 butir telur
1 biji limau kasturi

Cara membuat:

1. Bahan segar, kita potong jadi kecil sikit, kemudian tumis dalam minyak. Tumis sampai bahan-bahan ni berwarna keemasan. Itu tandanya luaran dia terkaramel.

2. Lebih kurang macam ni kira dah boleh angkat. Bahan-bahan ni dah jadi beraroma dan lembut. Sekarang kita gesek bahan-bahan ni atas cobek. Guna lesung pun boleh.

3. Oleh kerana kita dah goreng dulu, bahan-bahan ni mudah lumat. Ini kalau perah limau dan tabur garam pun dah padu ni. Cuma, kali ni kita nak masak Maggi, jadi bertahan dulu.

4. OK, tumis serbuk ⅔ perencah kari dari pek Maggi. Ini kali pertama saya guna perencah kari ni dalam perkongsian. Kita gunakan sikit sahaja sebab nak buat kuah pekat. Takut jadi masin.

5. OK masukkan bahan yang telah dilumatkan tadi. Letak secawan air, dan reneh sampai mendidih.

6. Dah mendidih, masukkan mi kering ni. Eh, macam tak cukup air je. OK tambah sikit lagi ikut kesesuaian. Ada orang suka celur dan tos mi ni asing. Boleh juga. Hari ni hari malas saya, jadi saya letak je terus dalam kuali.

7. Pecahkan sebiji telur. Reneh. Tutup kuali suapay telur ceoat masak dan mi cepat kembang. Saya nak mi ni nanti kuahnya pekat dan likat. Tak mahu macam sup. Sebab itu saya tambah air sikit demi sedikit.

8. OK mi dah kembang, dan telur pun dah masak. Kuah dia ngam-ngam seoerti yang saya mahu. Dah boleh tutup api.

Tada! Hidang dalam cobek tadi je lah. Malas cuci banyak perkakas dapur. Mi ni rasa dia pedas, berlemak(bawang putih),manis(bawang terkaramel) dan berempah(kari). Kalau perah limau, syahduuu!

Selamat mencuba.

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Published by
VK