Kalangan kaum wanita, main kutu adalah satu perkara biasa. Dari yang bekerja di pejabat hingga ke suri rumah, kebanyakannya ada grup kutu masing-masing yang bukan saja melibatkan duit tapi juga barang.
Meski perkara biasa tapi sebenarnya main kutu ini adalah satu kesalahan ya dari segi undang-undang.
Mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih dari RM500,000 atau boleh dijatuhi dihukum penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melalui laman Facebook (FB) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police berkata, terdapat beberapa kes apabila penganjur atau ‘ibu kutu’ yang menghilangkan diri bersama wang yang dibayar pelabur atau peserta.
“Di bawah Sek 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu.
“Mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan itu melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” tulis kenyataan terbabit.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati jika menyertai mana-mana aktiviti kutu kerana selain melanggar undang-undang, ia juga berisiko untuk ditipu.
Bukan saja salah di sisi undang-undang tapi dalam Islam permainan kutu ini boleh juga jatuh haram.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, permainan kutu ini akan jatuh haram sekiranya ia tidak disertai dengan akad.
Hukum main kutu, pertama haram, kedua harus. Ia jadi haram bila masa beri pinjam duit, kita beri begitu saja. Ini tak boleh sebabnya ia konsep hutang.
“Dalam mazhab Syafie muktamad, hutang kena ada akad. Contoh kalau kita dapat giliran jadi peminjam pertama, kawan kita kena beri RM1,000. Orang yang nak beri duit pada kita itu kena cakap “Saya hutangkan kamu RM 1,000. Kita jawab “Saya terima”.
“Kemudian bila waktu giliran kita kena bayar, kena ucapkan akad “Saya bayar hutang kamu RM 1,000.” Bila dah ada akad barulah tak haram main kutu, hukumnya harus,”ujar Ustaz Azhar dalam satu siri ceramahnya.
Tapi yang selalu berlaku dalam kalangan kita, jarang sangat pemberian atau penerimaan wang kutu ini disertakan dengan akad.
So lepas ni sendiri mau ingat main kutu lagi ke tak?
Sumber: Harian Metro