Masak Pulut Kuning Cara Orang Kelantan. Sedapnya Memang Lain & Tetap Lembut Walau Sejuk

Share

Pulut kuning hidang dengan rendang atau sambal memang mantap gabungannya. Ini antara menu sarapan yang ramai suka.

Kalau memang dah biasa buat pulut kuning, apa kata hujung minggu ni kita buat pulut kuning yang lain sikit rasanya. Masak pulut kuning cara orang Kelantan.

Selalu pulut kuning akan ada rasa lemak dan masin-masin sikit tapi kalau masak cara Kelantan akan ada tambahan rasa manis sikit, memang sedap. Kalau nak cuba, ikut perkongsian Ismi Aishah.

Masak pulut kuning cara Kelantan

Alhamdulillah…Sarapan dengan pulut kuning dan rendang pagi ni. Pulut kuning orang Kelantan ada manis, masin, lemak santan. Guna sudip kayu untuk arung pulut, sudip ayah buat sendiri itu rahsia pulut sedap kot.

Bahan-bahan

1 kg- beras pulut
1 1/2 cawan santan pekat
1 sudu besar garam kasar
2 sudu besar gula
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 keping asam gelugur
Sedikit pewarna kuning telur

Cara memasak:

1) Basuh sampai bersih pulut dan rendam semalaman bersama kunyit, pewarna dan asam keping.

2) Kukus pulut selama 30 minit. Boleh buka dan kacau balikkan supaya pulut masak sekata. Saya letak daun pandan untuk aroma yang wangi.

3) Kacau garam dan gula bersama santan sampai larut ( boleh rasa dulu santan ikut selera masing-masing nak macam mana) dan masukkan dalam pulut yang baru diangkat. Kacau/arung pulut guna sudip macam saya guna sampai rata (arung sekejap saja).

4) Masukkan balik pulut dalam kukusan dan kukus dalam 15 minit lagi.

5) Boleh masuk dalam loyang atau acuan ikut gaya masing-masing, tak nak pun tak apa.

Siap. Kalau ikut cara ini pulut akan tetap lembut walaupun dah sejuk. Untuk yang baru belajar masak pulut insya-Allah menjadi jika guna resepi ini.

Selamat mencuba.

Sumber: Ismi Aishah

Published by
VK