
Isi Kandungan
Toggle
Kucai antara sayur yang berbaloi ditanam. Masuk dalam sayur goreng, mi, bihun, cucur dan macam macam lagi.
Bestnya nak tanam pokok kucaipun taklah susah. Kalau nak cepat dapat hasil boleh tanam gunakan ubinya. Bagi yang nak cuba tanam boleh ikut tip penanaman yang dikongsi oleh Yuziyana Yusop.
Tip tanam kucai
- Benamkan ubi kucai dalam tanah hitam dan tinggalkan sedikit batang kucai dipermukaan tanah.
- Siram dan letak di kawasan redup seminggu dua ,kemudian terus dedahkan matahari penuh. Kucai suka matahari penuh dari pagi sampai petang.
- Siram 2 kali sehari dan letak baja organik sebulan 3 kali (baja kopi, baja soya, baja tahi ayam, tahi kambing).
Jangan sayang nak tuai
- Seawal 3- 4 minggu lepas semai dah boleh mula kerat daunnya yg pertama.
- Tanam kucai jangan takut atau sayang nak tuai. Lagi kerat lagi cepat gemuk dan daun makin lebar.
- Musim panas daun lambat panjang, tuai 3-4 minggu sekali.
- Musim hujan daun cepat panjang,jadi boleh tuai daun 2 minggu sekali.
Cara biakkan & gemukkan kucai
- Letakkan kucai di tempat teduh jika nak kucai keluar banyak anak. Tapi kucai yang diletak teduh akan jadi halus.
- Bila dah banyak anak, pecahkan dan tanam semula dalam pasu/polibeg lain.
- Kucai yang terdedah di tempat panas lebih gemuk tapi lambat sikit membiak.
- Kucai tempat teduh pula cepat membiak tapi daunnya halus saja. Alihkan semula ke tempat panas jika mahu kucai yang gemuk.
Sumber: Yuziyana Yusop
Artikel berkait:
Cara Tanam Bawang Untuk Daunnya. Boleh Guna Botol Atau Balang Saja
Tip Tanam Pokok Pandan Tanpa Tanam. Rendam Dalam Air Tapi Tetap Subur
Waktu Letak Garam Ketika Memasak Ada Kesan Pada Masakan, Ahli Kimia Ini Jelaskan Bezanya

Isi Kandungan
ToggleKebanyakan kita waktu memasak tak pernah terfikir bahawa waktu letak garam pada masakan sama ada ketika awal memasak, selepas memasak atau perap masakan dengan garam ada kesan pada masakan.
Yang kita tahu akan ada rasa masin. Tapi sebenarnya ia memberi kesan rasa tersendiri kepada masakan. Ahli kimia Fatimah Salim menjelaskan perkara yang ramai tidak tahu selama ini.
Penambahan garam ke dalam masakan adalah TERPULANG ikut suka dan tujuan masing-masing. Ianya TIDAK akan berubah menjadi racun (kecuali lah sengaja diambil secara berlebihan).
Cuma ada beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai kesan garam dalam masakan.
Garam terdiri daripada kristal natrium klorida (NaCl). Dan rasa masin garam adalah disebabkan interaksi ion Na+ dengan reseptor masin pada lidah. Maksudnya garam apa pun yang anda guna, kemasinan adalah bergantung kepada jumlah ion natrium dalamnya.
Boleh letak bila-bila tapi…
Meletakkan garam pada bila-bila masa dalam masakan tidak akan mengubah kimianya. Ion natrium adalah sangat stabil dalam keadaannya. Kalaulah ianya berubah sifat, boleh meletup kuali anda.
Kalau letak awal masakan
Meletakkan garam pada awal masakan akan memberikan rasa masin yang sebati kerana keterlarutan dan cukup serapan dalam komponen masakan.
Letak selepas memasak beri rasa unik
Meletakkan garam selepas (makanan tanpa air) akan buat rasa makanan lebih unik disebabkan sensasi rasa kristal garam yang larut dalam air liur.
Letak garam awal pada masakan daging buat daging jadi keras
Meletakkan garam awal dalam masakan berprotein (terutamanya daging lembu) akan membuatkan isinya menjadi keras kerana garam berupaya mengeluarkan air (aka jus) daripada isi daging. Namun apabila dimasak lebih lama, daging akan empuk semula dan akan memberikan rasa kuah yang lebih sebati.
Kesan perap daging dengan garam lebih 40 minit
Memerap daging dengan garam lebih daripada 40 minit akan membuatkan daging menjadi lebih empuk apabila dimasak. Ini kerana apabila diberikan masa yang cukup, garam membantu dalam melemahkan ikatan dalam protein daging.
Untuk memanggang daging tanpa perapan, letakkan garam hanya apabila daging hendak dimasak terus saja. Perapan kurang daripada 40 minit akan menyebabkan isi daging menjadi keras (seperti kes di atas).
Sumber: Fatimah Salim
Nak beli pelbagai jenis garam klik sini
Tata Cara Solat Dalam Kapal Terbang, Wajib Tahu Kalau Tempoh Penerbangan Lama

Travel menggunakan pesawat sudah jadi kebiasaan bagi kita pada masa kini. Justeru adalah perlu untuk kita memahami tatacara kewajipan bersolat dalam kapal terbang terutama jika tempoh penerbangan memakan masa yang lama.
Namun begitu untuk menunaikan solat dalam kapal terbang ada perkara yang wajib kita perhatikan supaya solat kita sempurna. Memetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berikut adalah tata cara solat ketika berada dalam kapal terbang.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Perkara pertama yang harus diambil kira sebelum menunaikan solat dalam kapal terbang adalah ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Sumber: Muftiwp
Cara Tanam Durian Dari Bijinya. Rendam Dulu, Pilih Yang Naik Tunas & Semai Ikut Cara Ini

Dah beli durian ramai yang terfikir untuk tanam sendiri bila melihat bijinya. Kalau ada laman yang luas apa salahnya tanam sendiri.
Tapi macam mana sebenarnya nak cambah benih durian ini? Untuk yang berhajat untuk tanam sendiri durian dari awal, ini yang perlu dilakukan.
- Selepas makan durian, kumpul bijinya dan basuh bersih.
2. Kemudian rendam biji tadi selama 48 jam atau dua hari. Air tak perlu banyak sangat. Cukup untuk tenggelamkan biji.
3. Selepas 2 hari tos air, dan lihat biji durian tadi. Biji yang sesuai ditanam adalah yang timbul tunas akar.
4. Atau boleh juga rendam biji durian selama satu malam dan keesokan harinya keluarkan air.
5. Letak biji tadi dalam bekas dan tutup dengan tisu. Simpan di tempat yang redup selama satu hari.
6. Selepas sehari biji durian akan keluar tunas. Semai biji yang bertunas ini.
Cara semai
- Letak biji bertunas tadi di dalam polibeg berisi cocopeat. Pastikan tunas akar menghala ke bawah atau ke tanah. Boleh juga cucuk sedikit bahagian bertunas ke tanah. Tak perlu dalam.
- Siram dan jangan biar tanah kering.
- Tunas akar akan masuk ke tanah dan seterusnya akan naik batang dan daun.

Cara ini anak benih pokok durian lebih berpotensi untuk tumbuh dengan cepat.
Selamat mencuba
Sumber: Jarum Kemucut