Warna hijau dah biasa, kita buat pula onde-onde atau buah Melaka warna biru dari bunga telang. Kalau di rumah ada pokok bunga ini boleh manfaatkan.
Bukan saja cantik tapi juga ada khasiat tersendiri. Bunga telang ini mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan bermanfaat pada kesihatan rambut dan juga kulit.
Selain itu khasiat antioksidan ini juga berkemampuan untuk menstabilkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes.
Jika nak cuba buat onde-onde bunga telang ini boleh ikut perkongsian daripada Siti Khairun Nur Akmal.
Onde-onde dari bunga Telang, cantik dan ada khasiat
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
4 sudu besar tepung beras
30 kuntum bunga Telang(rebus bunga & tapis ambil air sahaja & sejukkan)
Gula melaka (dipotong kecil)
1 biji kelapa muda parut (putih sahaja)
Sedikit garam (gaul dengan kelapa parut)
Sedikit air kapur
3 helai daun pandan (disimpul)
Cara membuat:
1. Kukus sebentar kelapa parut supaya tahan lebih lama. Kemudian gaulkan bersama sedikit garam.
2. Bancuh tepung pulut, tepung beras dengan air Bunga Telang & air kapur.
3. Gaul sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak melekat di tangan.
4. Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil di tengah adunan.Tutup adunan kemas dan bulatkan sehingga sekata.
5. Panaskan air di dalam periuk bersama simpulan daun pandan sehingga mendidih. Masukkan bebola tepung tadi (api sederhana).
6. Apabila bebola timbul di permukaan air, bolehlah diangkat dan ditoskan. Gaul bersama kelapa parut ketika onde-onde masih panas.
Selamat mencuba.
Sumber: Siti Khairun Nur Akmal
7 Ilmu Tentang Oven & Fungsinya, Wajib Tahu Supaya Kek Dan Kuih Menjadi
Ramai yang suka buat kek dan biskut tapi sering kali juga dengan keluhan tak menjadi didengar. ‘Saya dan ikut resipi sebijik-sebijik tapi kek mendap, kenapa ya’ ini antara keluhannya.
Salah satu puncanya mungkin kerana kurang ilmu. Bukan kurang ilmu memasak tapi ilmu tentang ketuhar atau oven yang digunakan.
Di dalam proses membuat kek, biskut, pastri dan roti, bukan sahaja kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik tetapi oven juga memainkan peranan yang amat penting.
Soalan yang selalu diajukan terutama bagi yang baru belajar memasak adalah ketuhar mana yang sesuai dan adakah kita perlu menyediakan berlainan ketuhar untuk berlainan kek, roti dan pastri?
Bagi memberi pencerahan tentang perkara ini VK kongsi info tentang ketuhar dan fungsinya yang diambil dari Facebook Jom Belajar Buat Kek. Semoga bermanfaat untuk anda yang suka memasak.
Jenis dan fungsi Ketuhar
1. Ketuhar Jenis Bina Dalam (Built in oven)
Ketuhar jenis ini memang cukup sesuai untuk semua jenis pembakaran. Ia boleh membakar roti, kek, pastri dan biskut. Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada sesetengah ketuhar jenis begini, kepanasannya tidak begitu rata jika anda membakar dua atau dua tingkat (2 tier baking).
Kalau anda membakar biskut cara begini, anda harus rajin memusing dan menukar loyang kuih anda supaya mendapat kepanasan yang lebih rata (rotate the trays to get even baking results). Tetapi apabila membakar kek,lebih baik jika membakar satu tingkat sahaja.
2. Ketuhar Berkipas (Oven with fan)
Ketuhar yang mempunyai kipas bina dalam selalunya membakar biskut dan pastri dengan cukup baik kerana kipas itu memutar angin panas dengan rata jika kita membakar dua atau tiga tingkat (2 or 3 tier baking). Tetapi apabila digunakan untuk membakar kek, kipas ini akan mengeringkan kek.
Jadi, jika ada pilihan butang untuk tidak membuka kipasnya atau switch off (tutup kipas) apabila membuat kek, itu adalah pilihan lebih baik (sesetengah oven ada butang kipas).
Tetapi jika tidak boleh memilih untuk menutupnya (tiada butang kipas) adalah lebih baik jika anda mengurangkan sedikit masa membakar kek itu.
Contohnya, jika kek itu memerlukan masa 45 minit untuk membakarnya dalam ketuhar biasa, kurangkan masanya dalam 5 minit lebih awal jika menggunakan ketuhar yang berkipas ini supaya kek tidak terlalu kering.
3. Ketuhar Microwave (Microwave Oven)
Ketuhar jenis ini adalah seperti ketuhar 2 IN 1 iaitu boleh digunakan untuk fungsi microwave dan juga untuk membakar biskut, brownie atau kek-kek cawan.
Ketuhar begini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Jika kita membakar kek yang agak besar, ada kalanya bahagian tengah kek tidak masak dengan betul.
Selalunya, kita lebih menggunakan fungsi microwave sahaja. Jadi bagi mereka yang suka membakar roti, pastri dan kek-kek perayaan, jenis ketuhar sebegini mungkin kurang sesuai dan kek-kek yang dibakar dalam ketuhar microwave sebegini selalunya kelihatan agak pucat dan padat.
Fungsi-fungsi Pada Ketuhar
Sebenarnya inilah yang ramai tidak tahu. Jom semak fungsinya supaya boleh menggunakannya dengan betul. Kebanyakan ketuhar bina dalam (built in oven) mempunyai fungsi yang agak sama iaitu :
Top and Bottom Heat
Ini cukup sesuai untuk membakar semua jenis kek, biskut pastri dan roti. Jika membakar kek yang agak besar, letakkan kek itu di rak agak bawah sedikit tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih sesuai jika kita meletakkannya di rak tengah sahaja.
Top Heat Only
Ramai yang keliru apabila melihat fungsi ini. Mereka sangka top heat sesuai untuk membakar kek lapis! Sebenarnya top heat lebih sesuai digunakan apabila membakar cheese cake. Jika digunakan untuk membakar kek lapis, ia akan menjadi terlalu kering dan ada kalanya garing.
Bottom Heat Only
Fungsi Bottom Heat ini cukup sesuai jika ingin menggaringkan roti yang berinti seperti pizza. Adakalanya, inti pizza itu sudah masak tetapi bahagian bawah rotinya pula masih kurang garing atau lembap. Di sinilah kita menggunakan fungsi bottom heat ini untuk memasakkan roti itu tanpa mengeringkan dan memasakkan inti pizza yang diatasnya itu.
Grill
Inilah fungsi utama apabila kita membakar kek lapis. Dengan menggunakan grill, setiap lapisan kek lapis pasti menjadi dengan cantik dan tidak kering. Api grill ini juga cukup sesuai jika ingin mengaringkan hanya bahagian atas ayam atau daging untuk sekejap sahaja.
Steam Injection
Tidak kesemua ketuhar ada fungsi ini. Fungsi ini cukup sesuai jika ingin membakar sesetengah jenis roti seperti roti perancis. Ia akan menggaringkan dan meranggupkan permukaan roti itu.
Suhu (Temperature)
Pastikan anda tahu jenis suhu ketuhar anda untuk jenis masakan yang anda lakukan agar ianya tidak menghasilkan rasa hangit atau hangus pada kuih semasa proses pembakaran dilakukan. Setiap saiz ketuhar itu mempunyai suhu kepanasan yang berbeza. Dapatkan nasihat daripada pakar penjual sebelum membuat belian terlebih dahulu.
Semoga tip yang diberi berguna untuk para ibu menyediakan masakan terbaik untuk keluarga. Selamat memasak!
Sumber : Facebook Jom Belajar Buat Kek
Teknik Cuci Bunga Hiasan Yang Berdebu, Hasilnya Bersih Macam Bunga Baru Beli
Bunga hiasan selalu ada dalam setiap rumah. Tapi cuba tengok mesti berdebu kan, lagi jelas kalau bunga warna putih.
Tapi bunga hiasan yang dah berdebu ini jangan terus buang sebab kotoran pada bunga ini boleh saja dibersihkan.
Apa yang perlu kita buat cuci saja. Cara untuk mencuci bunga hiasan ini dikongsi oleh Hani Mynis.
Langkah-langkah deep cleaning artificial plants and flowers
1. Kumpulkan semua pokok/ bunga palsu yang ada dalam rumah
Kumpul semua bunga termasuk yang ada di ruang tamu, dapur, bilik tidur, luar rumah. Sebelum tu, tip ini khas utk pokok @bunga dari latex atau plastik @polyester sahaja. Dari baldu kena buat dry cleaning sahaja.
2. Dah kumpulkan, susun ikut kategori
Sama ada kategori jenis material pokok/bunga. Plastik, polyester, silk, baldu, latex dan lain-lain . Susun juga ikut kategori jambangan bunga, dedaun sahaja, berpasu dan sebagainya.
3. Ambil gambar kalau bunga gubah di kedai
Untuk jambangan bunga yang perlu digubah, ambil gambar gubahan dulu sebelum dicabut. Lagi-lagi yang digubah siap di kedai. Sebab nanti kira nak leraikan gubahan, basuh dan gubah semula. Kecuali mmg berbakat menggubah bunga, abaikan langkah ni.
4. Ikat sejambak bunga jenis tangkai panjang mengikut pasu.
jadi takda lah kes tertinggal setangkai bunga masuk pasu lain. Ikat guna getah atau cable tie. Hani memang ikat siap-siap dengan cable tie. Masuk je sejambak dalam pasu terus.
5. Boleh mulakan mencuci
Sediakan besen berisi air paip. Masukkan 1 sudu pencuci pinggan mangkuk cecair dan 1 sudu pelembut /pewangi fabrik. Pilihan lain menggantikan pelembut /pewangi fabrik ialah essential oil (masukkan 4 titis). Kacau campuran tadi sehingga berbuih.
6. Masukkan bunga mengikut jambak atau set gubahan
Jangan campur dan jangan rendam (sebab ada bunga atau daun yang gam nya kita tak tahu cepat kembang atau tak). Masukkan dalam campuran tadi. Kacau sikit secara perlahan.
7. Urut setiap kelopak atau dedaun jika perlu dalam campuran pencuci dengan jari
Tak perlu diberus. Kecuali kesan kotoran degil yang perlu diberus, guna berus lembut sepertu berus gigi terpakai. Untuk setiap jambakan /set ambil masa 1-2 minit je. Kalau buat regular maintainance (dry cleaning), proses ni memang tak lama sebab tak lah kotor sangat. So bila nak cuci pun tak amik masa lama dan insyaAllah bunga tahan cantik lebih lama. Nampak macam baru je.
8. Kalau bunga berpasu
Untuk bunga berpasu, boleh kena air tapi jangan direndam dalam air pasu nya. Takut gam kat pasu kembang. Kena air lalu sikit semasa bilas tak pe. Tapi cepat-cepat tos.
9. Bilas dan jemur
Semasa membilas pun tak perlu lama. Kalau boleh tak nak bau pewangi fabrik tu hilang. Untuk setiap jambakan ambil masa 1 minit begitu. Langkah terakhir, jemur sehingga kering. Tak mau lembap sebab nanti boleh rosakkan bunga (bertahi lalat, berkulat dan bila lembap lagi mudah attract habuk pada pokok/bunga balik).
Nota: Kekerapan deep cleaning : 6 bulan atau setahun sekali
Selamat mencuba!
Sumber: Hani Mynis
Tak Perlu Keluar Bersesak Untuk Beli Barang Baby, Cari Saja di E-Bazaar Pa&Ma Baby Fiesta
Hari ini, bukan lagi perkara ganjil apabila pasangan suami isteri bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup sekeluarga. Semua ini dilakukan bagi memastikan segala keperluan hidup dapat dipenuhi atau sekurang-kurangnya keperluan utama dipenuhi. Untuk ini, pastinya masing-masing sibuk dengan banyak urusan kerja.
Seiring dengan peningkatan taraf pendidikan generasi milenia, golongan ibu bapa muda ini nyata menitikberatkan soal keseimbangan masa bekerja dan bersama keluarga. Kedua-dua perkara ini perlu bergerak seiring dengan bantuan kemajuan teknologi masa kini.
Sebagai contoh, dahulu selepas waktu bekerja, kita akan bergegas ke pasaraya membeli barangan keperluan rumah dan diri. Kini budaya itu telah diganti dengan pembelian di atas talian.
Pandemic Covid 19 yang melanda negara nyata menambah rancak aktiviti pembelian atas talian kerana ia lebih mudah, praktikal dan cekap, paling utama sudah tidak perlu bersesak-sesak di pasaraya.
Pola pembelian baharu ini turut melibatkan golongan ibu bapa yang mencari barangan keperluan bayi, anak kecil, ibu hamil dan berpantang. Gaya hidup ini mendorong pembukaan e-Bazaar Pa&Ma Baby Fiesta; Portal Reviu Barangan Keperluan Bayi dan Ibu, satu lagi produk hebat dari jenama Pa&Ma selepas ekspo Pa&Ma Baby Fiesta.
Kemunculan e-Bazaar Pa&Ma Baby Fiesta bukan sahaja menambah pilihan platform pembelian atas talian, malah pengunjung akan memperoleh reviu telus daripada team editorial majalah Pa&Ma berkenaan peniaga.
Kami maklum bahawa, kebanyakan ibu bapa yang ingin membeli barangan bayi begitu cerewet dan berhati-hati sebelum membeli. Oleh demikian itu e-Bazaar telah membantu memberikan maklumat berkenaan produk dan peniaga di e-Bazaar agar mereka lebih yakin dengan produk yang dijual.
Selain itu, kesukaran ibubapa membuat tinjauan sebelum pembelian barang menjadi lebih mudah kerana portal ini mempunyai banyak kategori produk yang diperlukan antaranya stroller, carseat, pakaian, aksesori, makanan kesihatan, lampin bayi dan banyak lagi.
E-Bazaar Pa&Ma Baby Fiesta yang baru diperkenalkan awal Jun lalu merupakan direktori, promosi, dan reviu produk bayi dan ibu hamil yang memudahkan pencarian maklumat barangan keperluan yang dikehendaki di mana pelanggan boleh berhubung terus dengan peniaga yang membuka kedai online di e-Bazaar bagi membuat pembelian.
Umum juga sedia maklum, bahawa jenama Pa&Ma yang sudah wujud lebih 20 tahun lalu merupakan jenama yang amat dipercayai para ibu hamil dalam mendapatkan maklumat untuk kesejahteraan diri dan bayi.
Jadi apa tunggu lagi? Buat ibu bapa yang ingin mencari barangan bayi, ibu hamil, dan berpantang, sila layari portal e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta di babyfiesta.majalahpama.my/. Kami juga mengalu-alukan para pengusaha produk dan servis berkaitan untuk menjadi sebahagian daripada vendor kami dengan membuka kedai online di e-Bazaar Pa&Ma Baby Fiesta ini.