Sudah berusia 94 tahun hari ini, beliau menjadi Perdana Menteri paling tua di dunia ketika ini. Tapi itu tidak menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui negara. Malah ramai yang kagum dengan tahap kesihatan dan juga tenaga Tun Mahathir yang dilihat begitu aktif selain punya daya fikir tajam.
Tidak dinafikan beliau punya kelebihan sebagai doktor malah punya isteri yang juga seorang doktor tapi pasti ada amalan tertentu yang dilakukan dalam memastikan tubuh badan sihat pada usia menghampiri satu abad.
Menurutnya, tiada rahsia yang diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan hidup sihat.
“Jangan hisap rokok, minum arak dan makan terlalu banyak, itulah tiga perkara yang saya amalkan.
“Lagi satu, dalam soal penjagaan makanan, pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut pun mudah jadi besar,” katanya memetik daripada Sinar Harian Online.
Dalam pada itu ujar Tun Dr Mahathir hingga ke saat ini beliau masih mengikuti petua ibunya dalam menjaga pemakanan agar berat badan tidak mudah naik.
“Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.
“Sebab itu, seluar yang saya beli lebih 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya.
Pernah berdepan dengan masalah jantung, Tun Dr. Mahathir turut memberi nasihat agar jaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.
“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.
“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian Online