Ramai kalangan kita yang menggunakan kereta yang sudah lebih 10 tahun malah 15 tahun. Sepadan dengan usia, memang ada masanya kereta lama ini akan timbul masalah. Namun banyak juga kereta lebih sedekad ini masih elok dan boleh terus digunakan.
Cuma yang penting kepada pemilik kereta lama terutama yang lebih 15 tahun kena sensitif kepada ‘kelainan’ yang dirasai apabila memandu kereta. Demikian pesanan Fadil Mohd Yusof yang berkongsi cara beliau menjaga kereta berusia 23 tahun namun masih dalam keadaan baik.
“Memiliki kereta lama yang lebih 15 tahun, hati perlu kental dan pemilik perlu sensitif dengan sebarang “rasa yang lain” pada kereta. Kelisa saya buatan tahun 2001. Tahun ini sudah 23 tahun. Saya “lenjan” setiap hari,”ujar beliau.
Kata Fadil berikut adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian kepada pemilik kereta lama agar keadaan kenderaan ini dalam keadaan baik.
1) Radiator & radiator top cover
Radiator sekarang bukan semuanya besi. Ada bahagian dibuat dengan plastik. Setiap 3-4 tahun, sebaiknya tukar bahagian penutup plastik atas radiator.
Saya pernah bertangguh untuk tukar penutup plastik tersebut dan akibatnya ketika memandu dengan kelajuan 120km/h, penutup plastik radiator tiba-tiba pecah. Mujur hanya perlu lakukan “top overhaul”. Jika nasib tak baik, perlu tukar enjin. Radiator juga perlu dicuci jika sudah nampak berkarat.
2) Timing belt & air cond belt
Ia perlu tukar ikut saranan pengeluar. Biasanya 100,000 km. Jika kereta sudah 9-10 tahun dan batuan belum sampai 100,000km, sebaiknya tukar. Jika putus di tengah jalan, kita akan keluar kos yang tinggi.
3) Minyak power steering & minyak brek
Tukar setiap 5 tahun sekali atau bila minyak sudah bertukar warna merah kehitaman. Warna asal kuning cair.
4) Sistem penghawa dingin
Buat full service 2 atau 3 tahun sekali.
5) Minyak gear box
Tukar setiap 40,000-80,000 km. Ikut saranan pengeluar. Jika tidak sampai batuan, tukar setiap 2@3 tahun sekali.
6) Insurans
Ini paling penting. Bila tiba masa perbaharui insurans, ambil pakej “unlimited towing”. Hanya perlu tambah dalam RM100 dari insurams asal. Bila kita pandu kereta lama, kita tidak tahu bila kereta kita akan rosak.
Dengan “unlimited towing”, kita tidak perlu risau bila kereta rosak di tengah jalan. Hati pun tenang, tidak perlu risau fikirkan kos tarik kereta.
Masing-masing punya pilihan. Tidak mahu pening kepala, beli sahaja kereta baru.
Sekurang-kurangnya, tidak perlu pening kepala untuk baiki kerosakan kereta. Hanya perlu hadap bayaran ansuran bulanan.
Sumber: Fadil Mohd Yusof