Waktu solat dah lama masuk, tapi anak kecil masih tak mahu lepas dari dukungan untuk ibu menunaikan solat. Masalah ini selalu dihadapi oleh suri rumah yang punya bayi dan tinggal sendiri.
Ada masa bayi mungkin boleh ditinggalkan seketika tapi ada ketikanya si kecil meragam. Bila diletakkan untuk memberi ruang ibu bersolat walau sekejap mulalah bayi menangis hingga kadang-kadang membuatkan ibu tak sampai hati malah hilang khusyuk.
Namun masalah ini seharusnya tidak menjadi alasan untuk para ibu melengahkan atau meninggalkan solat. Apatah lagi Islam adalah agama yang memudahkan dan sudah tentu ada cara untuk memudahkan kaum ibu dalam hal ini.
Sebenarnya jika berdepan situasi ini seseorang ibu itu dibenarkan mendukung bayi sambil bersolat. Perkara ini ada disebut dalam hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra :
“Sesungguhnya Rasullulah s.a.w menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasullulah s.a.w dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud , baginda meletakkannya apabila bangun, baginda mendukungnya semula. (Al-Bukhari,Sahih al-Bukhari)
Dalam hal ini adalah diharuskan oleh ibu untuk mendukung anak kecil sewaktu mendirikan solat. Namun begitu sudah tentu ada syarat-syarat yang harus ibu patuhi;
1. Pastikan anak bersih dari najis, sebaiknya tukar lampin anak sebelum ibu bersolat.
2. Kawal pergerakan. Pergerakan yang dibenarkan atau tidak membatalkan solat iaitu tidak bergerak melebihi tiga kali berturut-turut.
3. Dada sentiasa mengadap kiblat.
4. Hanya dilakukan ketika keadaan memaksa. Adalah lebih baik anak dijaga seketika oleh orang lain ketika ibu bersolat.
Untuk lebih jelas disertakan juga panduan bergambar seperti berikut.
Sumber: www.kemusykilan.islam.gov.my (JAKIM)