Kalau nak tanam kangkung untuk makan sendiri mudah saja, tanam dalam pasu atau kotak polisterin pun dah mencukupi.
Tapi kalau nak tanam kangkung di tanah luas, atas batas untuk jualan pula ada caranya. Bagi yang berhajat menanam sayur kangkung untuk tujuan ini boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Wan Rosnazira.
Hari ini Ira nak kongsi sikit cara-cara tanam kangkung atas batas. Terdapat 2 jenis kangkung, satu yang berdaun lebar dan satu lagi berdaun tirus.
Ira tanam yang berdaun lebar. Menggunakan biji benih. Ada juga yang tanam melalui keratan batang.
Langkah 1: Pertama sekali perlu menggembur tanah. Ira buat di kawasan yang agak luas dan kat rumah memang ada jentera. Jadi kita guna trektor sajalah. Untuk yang berskala kecil, boleh pakai cangkul sahaja.
Beginilah rupa tanah yang siap digembur.
Langkah 2: Membina batas. Lebar batas lebih kurang satu meter, tinggi dalam sejengkal lebih. Pakai cangkul sahaja, angkat tanah naik ke atas.
Langkah 3: Menabur baja. Saya guna baja tinja ayam sahaja. Taburkan baja atas batas kemudian gaulkan dengan tanah.
Langkah 4: Membuat lubang untuk meletakkan benih. Gunakan kayu untuk membuat garisan lubang. Jarak antara satu garisan lubang lebih kurang satu jengkal.
Langkah 5: Menabur benih. Letakkan 10-15 biji benih setiap lubang. Jangan terlalu banyak untuk mengelakkan kepadatan apabila pokok membesar nanti. Kemudian tutup lubang dengan tanah.
Langkah 6: Penyiraman. Pokok kangkung perlukan banyak air. Siram setiap pagi dan petang.
Langkah 7: Membaja. Setelah lebih kurang 2 minggu, pokok kangkung perlu dibaja untuk kali ke 2. Buatkan garisan lubang antara barisan pokok, kemudian diletakkan baja taik ayam.
Mudah saja kan tanam kangkung. Selamat berbudi pada tanah, anda pasti akan mendapat hasilnya.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Wan Rosnazira.