Menginap di sesebuah hotel pastinya kita mahukan pengalaman penginapan yang menyeronokkan. Selain kebersihan dan keselesaan, konsep sesebuah hotel itu juga menjadi salah satu daya penarik untuk dipilih sebagai destinasi.
Bagi memperoleh kelainan pengalaman, memilih untuk menginap di hotel bertema boleh dicuba. Antara hotel bertema butik adalah Hotel De Art. Ada macam-macam tema misalnya kisah dongeng, bunga dan hidupan semula jadi, fantasi, filem, bandar raya besar seperti Paris dan New York, misteri seperti Mesir, karakter kartun seperti Hello Kitty dan Mickey Mouse dan juga individu legenda seperti Elvis Presley serta Michael Jackson.
Baru-baru ini Hotel De Art menerima anugerah emas bagi kategori Creative & Innovative Boutique Hotel. Anugerah tersebut disampaikan dalam satu acara gilang gemilang anjuran Malaysia Tourism Council Gold Award 2018.
Pengasas dan juga CEO Hotel De Art Sdn Bhd, Jenny Liow menerima anugerah yang disampaikan oleh Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar A.Ghafar. Pernah merangkul anugerah Selangor Excellence Bussiness Award 2017, Jenny Liow berkata pencapaian kali ini memberi semangat baginya meluaskan lagi sektor hotel berkonsepkan butik di mata dunia.
Hotel De Art mula beroperasi seawal tahun 2010 di Seksyen 7, Shah Alam dan kini menpunyai lima outlet secara keseluruhan dan mempunyai perancangan untuk menambah rangkaian hotelnya dalam masa terdekat. Menawarkan bilik inapan berlainan tema, Hotel De Art adalah antara pelapis awal yang mengetengahkan konsep butik yang sesuai bagi pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis yang berlangsung di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah.
VK seronok tengok gambar-gambar yang dilukis pada dinding bilik hotel ni. Kagum dengan orang yang melukis tu. Hebat, kan?