Makan

Peniaga Makanan Laut Kongsi Tip Pilih Ikan Pari Segar & Punca Ikan Berbau Hancing

Share

Ikan pari antara lauk yang sedap dibuat asam pedas dan juga bakar, tapi bila nak masak sendiri ramai yang ragu-ragu waktu nak beli ikan ini. Takut salah pilih dapat yang bau busuk hancing, memang spoil. Rugi lagi satu.

Dikongsi oleh peniaga makanan laut, Asmah Chem berikut adalah cara untuk memilih ikan pari yang segar dan tak berbau hancing. Tapi sebelum itu baca penjelasan beliau kenapa ikan pari ini berbau hancing.

Kenapa ada ikan pari bau hancing?

Orang Melayu percaya, pari hancing disebabkan pari betina datang bulan. Sampai ke hari ni, masih ramai berpegang kepada teori tersebut.

Sebenarnya ia adalah mitos semata, kerana pari bukanlah mamalia yang mempunyai endometrium. Oleh sebab itu, pari tak mungkin terlibat dengan kitaran haid.

Pari bertelur dan anaknya menetas di dalam badan. Selepas menetas, anak tersebut dikeluarkan dari badan. Jenis reproduksi ini dinamakan ovovivipar. Sebenarnya di dalam badan pari terdapat urea dan trimethylamine oxide (TMAO) yang berfungsi untuk menstabilkan protein bila kepekatan urea tinggi.

Bila ikan pari mati dalam tempoh yang lama, ikatan peptida protein terurai kepada cyanate dan ammonium seterusnya membebaskan karbon dioksida dan ammonia. Ammonia inilah yang berbau hancing. Semakin lama kematian berlaku, bau hancing semakin kuat, lebih-lebih lagi dalam organ pari.

Punca hancing sebab tak segar

Saya dah berniaga pari hampir 8 tahun, tapi tak pernah terserempak dengan pari hancing. Sebaik saja pari naik dari jeti, pari terus dibawa ke kedai, siang, buang organ dan potong. Tidak pernah ada yang hancing kerana ianya segar.

Hakikatnya, pari hancing disebabkan tidak segar. Bukan disebabkan datang haid. Berhenti mempercayai mitos yang bertentangan dgn ilmu sains.

Tip pilih pari segar

1. Pastikan isi kelihatan pejal, merah dan segar. Elakkan membeli pari yang sudah lembik dan pucat atau warnanya sudah gelap kehitaman.

2. Hidu bau pari tersebut dan pastikan baunya segar dan tidak hancing.

3. Pilihlah pari yang segar untuk mengelakkan masakan rosak akibat bau hancing. Bau hancing tidak akan hilang walaupun dicuci dengan 1001 petua.

Semoga bermanfaat

Asmah Chem

Published by
VK