Malam tadi, selepas selesai membaca slot Buletin Utama TV3, penutupnya sungguh berbeza sekali. Pembaca berita, Pang Chin Fei mengumumkan peletakan jawatan sahabatnya, Izwan Azir Saleh pada Jumaat lalu dan malam tadi ialah hari terakhir Izwan bersiaran.
Izwan atau nama sebenarnya Mohd Izwan Azir Mohad Saleh, turut memuat naik status instagram yang menyatakan dia telah meletak jawatan dari Media Prima selepas 16 tahun bertugas di stesen televisyen tersebut.
Yang bermula, pasti akan berakhir. Setelah 16 tahun, malam ini saya menutup kemas perjalanan panjang di TV3 untuk menerokai dunia yang luas di luar sana. Sri Pentas yang saya sudah anggap sebagai ‘rumah kedua’ kini saya tinggalkan dengan 1001 kenangan penuh suka duka.
Saya tidak membawa apapun dari sana kecuali rasa puas hati kerana telah berpeluang merasai setiap sudut dalam dunia penyiaran selama tempoh itu. Dan saya bawa pulang hubungan persaudaraan & persahabatan dengan semua warga TV3, Media Prima dan itu akan kekal untuk selama-lamanya.
Terima kasih kepada anda yang telah menonton saya sejak 2002. Terlalu banyak nama jika saya harus mengucapkan penghargaan satu persatu tetapi tanpa sokongan semua, siapalah saya. Saya percaya apabila kita menutup satu pintu dengan baik, Allah akan buka seribu lagi pintu buat kita. Terima kasih Malaysia, saya Izwan Azir Saleh, sehingga di lain ketika, Assalamualaikum dan selamat malam.
Enam belas tahun bukanlah tempoh singkat. Sudah pasti banyak pengalaman pahit manis yang dilalui beliau. Rata-rata netizen dan rakan-rakan setugas sedih dengan keputusannya itu. Namun tetap memberi sokongan kepadanya.
Difahamkan, Izwan telah pun menerima tawaran untuk menjadi setiausaha akhbar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.
Sumber: Instagram Izwan Azir Saleh