Makan masak lemak siput sedut memang sedap cuma bila nak masak kena tahu cara betul untuk bersihkan siput ini. Kalau tak mungkin akan ada rasa pahit, rasa lumpur dan berlendir.
Sebab itu kena belajar petua ini. Dikongsi oleh Intan Suraya Haron beliau menurunkan petua yang digunakan untuk membersihkan siput sedut sebelum dimasak. Paling penting kena sediakan kelapa parut.
Petua cuci siput sedut sebelum masak lemak
Sebelum ini nampak ada yang bertanya pasal siput sedut, kebetulan masak siput hari ini, jadi bolehlah share tip dan petuanya.
1) Beli siput ini petang, bawa balik masukkan dalam periuk. Gaulkan siput sedut ini dengan hampas kelapa dan biar semalaman (santannya simpan utk masak gulai nanti). Siput ni tak perlu basuh dulu pun.
INFO: Bila dah digaul dengan hampas kelapa siput ini akan muntahkan segala kotoran, lumpur dan lendir yang ada. Siput akan jadi bersih dan bila buat gulai rasanya pun lebih sedap. Kuah juga akan elok cantik.
2) Selepas gaul dengan hampas kelapa jangan lupa tutup dengan penapis rapat-rapat. Saya tindih dengan lesung batu.
3) Esoknya sebelum cuci, kerat hujung ‘bontot’ siput tapi jangan pendek sangat, takut susah nak sedut. Saya kerat guna cutter.
4) Selepas itu cuci bersih dan boleh terus dimasak. Kalau ada daun pucuk ubi, semasa cuci siput boleh sental supaya kekotoran di badannya senang tanggal. Kalau takde pun takpe, saya sental dengan span cuci pinggan saja.
5) Untuk buat masak lemak cili api, saya guna resepi biasa saja. Tumbuk cili api, kunyit hidup, serai, daun kunyit. Kalau ada keladi lagi lah sodap.
Renehkan sekejap, terus masukkan siput kacau jangan bagi pecah minyak. Agak-agak dah menggelegak 2- 3 minit boleh tutup api. Siap untuk dihidang. Saya lawan dengan lauk ikan kerisi goreng, sambal tempoyak & ulam-ulam.
Selamat mencuba.
Sumber: Intan Suraya Haron