Pucuk Paku Pun Boleh Tanam Sendiri, Ikut Tip Siraman Ini Supaya Pucuk ‘Gemuk-Gemuk’

Share

Pucuk paku tumis atau masak lemak memang sedap. Tapi bila beli untuk masak di rumah selalu frust sebab banyak dapat yang tua.

Boleh saja nak dapat pucuk paku muda dan free, cuma kena cari sendiri tepi jalan, biasanya di kawasan semak. Tapi awas, risiko jumpa haiwan berbisa pun tinggi.

Kalau suka makan pucuk paku ini apa kata tanam saja kat rumah untuk mudah dapat bekalan. Ya boleh tanam sendiri! Nak makan petik saja. Cara tanam pokok paku ini dikongsi oleh Zaid Azizy Yaakob.

Menurut Zaid, dia antara peminat hidangan pucuk paku. Tapi bila beli selalu dapat pucuk tua di samping harganya mahal. Pernah cuba untuk mencari sendiri di tepi sungai kawasan kampungnya tapi kejadian bertemu dengan ular buat dia serik. Jadi untuk memudahkan mendapat pucuk paku dia cuba untuk menanamnya sendiri.

Cara tanam pucuk paku tepi rumah

1. Cari anak pokok paku yang tumbuh di tepi pokok paku (kalau nampak tepi jalan ada pokok paku boleh ambil. Minta izin, kalau tanah bertuan).

2. Boleh tanam dalam pasu, guna tanah yang sedia ada di rumah pun boleh.

3. Pastikan ambil banyak anak pokok. Bila banyak rumpun baru dapat banyak pucuk. Jika subur satu rumpun ada 2-3 pucuk saja, kalau kurus, satu pucuk saja.

4. Pokok paku ini kena siram hari-hari tambah lagi musim panas.

5. Tip supaya pucuk paku gemuk menghijau boleh buat air siraman ini. Ambil sisa dapur dari kulit bawang, kulit telur (tumbuk dan kisar dulu). Kemudian masuk dalam bekas yang dicampur air hujan, perap selama 3 hari.

6. Selepas 3 hari boleh guna untuk siraman. Selepas itu siram pula dengan air biasa. Pokok paku memang suka basah lencun.

Selamat mencuba.

Sumber: Zaid Azizy Yaakob

Published by
VK