Laksa ini memang ramai peminat. Tapi takkan nak pergi sini selalu kan. Kalau masuk mall faham-fahamlah mesti duit pun banyak keluar lagi lagi kalau anak ramai.
Jadinya kalau teringin nak makan, kita buatlah sendiri. Jangan risau ada yang sudi berkongsi resipi laksa yang rasanya ala-ala D Laksa AEON Mall tu.
Nak buat pun senang, pakai pes dan sardin dalam tin saja. Boleh ikut resipi dikongsi Sharifah Zuhaiza.
Bahan-bahan:
Sardin 2 tin kecil (1 tin blend, 1 tin lenyek kasar)
Pes asam pedas adabi
Bawang besar
Bawang holland setengah biji
Asam keping
Belacan
Daun kesum
Bunga kantan
Bebola ikan (option)
Laksa basah
Cara membuat
1. Kisar sardin 1 tin, pes asam pedas, bawang, belacan. Nak lagi power, boleh juga blend sekali dengan nenas.
2. Masuk semua bahan dalam periuk. Masukkan air, masak ikut kepekatan kuah yang kita nak. Jangan lupa letak garam dan gula.
3. Sos/kuah sardin boleh ikut selera. Kalau suka rasa ikan yang kuat masuk semua pun boleh. Atau cuba letak sikit dulu, takut hanyir.
4. Akhir sekali masukkan bebola ikan. Petis udang ikut selera sama amda nak guna atau tak. Nak masukkan nenas dan daun pudina pun boleh.
5. Dah siap. Resipi ini untuk 3-4 orang makan ya.
Resipi perkongsian: Sharifah Zuhaiza
Cara Hasilkan Sendiri Tepung Gluten Free, Bancuh Tepung Ikut Nisbah Sukatan Ini
Makanan berasaskan tepung boleh dikatakan diambil setiap hari. Akan tetapi bagi yang mengambil berat tentang pemakanan sihat, penggunaan tepung jenis gluten free lebih dititik beratkan. Apatah lagi jika sesorang itu mengalami masalah alahan kulit, kembung perut dan juga anxiety.
Sekiranya berdepan masalah mendapatkan tepung gluten free di kedai, kita juga boleh menghasilkan sendiri tepung ini menggunakan beberapa jenis tepung yang sedia ada. Caranya dikongsi oleh Abu Hannah.
Cara hasilkan sendiri tepung gluten free
7:2:1 ialah nisbah untuk hasilkan tepung gluten free versi sendiri
700 gram tepung beras
200 gram tepung ubi kayu
50 gram tepung jagung
50 gram tepung kentang
Bancuhan banyak
7 kg tepung beras
2kg tepung ubi kayu
500 gram tepung jagung
500 gram tepung kentang
Cara-caranya
1. Ayak 3 atau 5 kali semua tepung. Bancuhan ini boleh digunakan untuk membuat pisang goreng, cucur pisang, brownies choc, cheese cake.
2. Cuma untuk adunan kek r tambahkan sedikit Psyllium husk atau xanthan gum sbg pengikat kepada tepung.
Ini ialah perkara baharu atau bidaah hasanah dalam bab pemakanan sebab ianya adalah method yang dicipta pada kurun ini bagi mengelakkan masalah allergy terhadap gandum. Ianya diilhamkan Allah utk sesuaikan dengan keperluan uruf zaman sekarang kerana ramai manusia allergy terhadap gluten dalam gandum.
Kalau nak ikut manhaj salaf boleh terus guna tepung barli. Cuma isunya ialah banyak menu yang tepung barli agak susah nak digunakan. Sebab ianya tiada pengikat dan rasanya ramai yang tak sesuai.
Sumber: Abu Hannah.
Teknik Girdling, Ini Cara Toreh Yang Betul Pada Pokok Buah Agar Berbunga Lebat & Hasil Buah Besar
Salah satu cara yang selalu dikongsi sebagai solusi untuk pokok buah yang enggan berbuah adalah teknik torehan atau girdling.
Memang ada pokok berjaya berbuah tapi ada juga sebaliknya. Untuk buat torehan ini ada cara dan teknik yang perlu diikuti. Jika tidak memang tak menjadi.
Perlu diketahui, teknik ini dilakukan pada kulit dahan pokok dan bukan pada batang pokok. Jika salah toreh, tak pasal-pasal pokok mati. Supaya tak keliru baca info dan cara yang betul tentang teknik girdling yang dikongsi oleh Mahadzir Hashim.
Cara betul buat teknik torehan atau girdling pada pokok
Saya terpanggil untuk menjelaskan teknik ini agar kita tidak mendapat maklumat yang salah.
Teknik ini adalah teknik membuat satu torehan kulit pada dahan pokok. Ia tidak dilakukan pada batang pokok. Jangan keliru.
Tujuan teknik ini dilakukan ialah untuk menghasilkan bunga yang banyak dan buah yang lebih besar. Tidak digunakan untuk memaksa pokok berbuah. Dua perkara yang sangat berbeza.
Teknik toreh kulit pokok, cara girdling yang betul
1. Umur pokok tidak boleh kurang dari 4 tahun. Hanya pokok buah-buahan yang sesuai dengan teknik ini.
2. Hanya dahan besar melebihi 5cm ukur keliling yang boleh digunakan.
3. Teknik torehan pembuangan kulit adalah berbentuk S. Di mana tempat mula torehan tidak bertemu dengan tempat berakhir torehan. Sebaiknya jarak adalah 1 inci atau 2.5 cm. Ertinya kulit pokok tidak boleh terputus terus dari batang pokok dan menyekat penghantaran bahan-bahan mikro nutrient oleh akar dari tanah(lihat gambar).
4. Teknik ini tidak boleh dibuat kerap lebih dari 2 kali dan akan menyebabkan jangka hayat pokok menjadi singkat.
Teknik ini sebaiknya dibuat oleh mereka yang telah terlatih kerana salah cara pokok boleh mati.
INFO
Cara yang paling baik untuk membungakan dan menggalakkan pokok supaya berbuah adalah melalui pembajaan yang betul.
Kelemahan ketara pada teknik ini ialah kecenderungan pokok mudah diserang penyakit pada kulitnya yang terluka selama mana ia terdedah. Mengakibatkan dahan kelamaan mereput dan mati.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Mahadzir Hashim
Ahli Kimia Jelas Kenapa Masak Sambal Kena Guna Banyak Minyak Dari Aspek Sains. Bukan Sebab Nak Sedap Saja
Masih hangat lagi diperkatakan isu tentang penggunaan minyak yang banyak dalam sambal antara pempengaruh Khairul Aming dan juga seorang pakar perubatan. Masing-masing punya pandangan tersendiri dalam hal ini. Antara nak sedap atau nak sihat, semuanya atas pilihan kita.
Tidak terkecuali memberi pandangan adalah ahli kimia, Fatimah Salim. Bukan berpihak kepada mana-mana indvidu tapi beliau memberi penjelasan kenapa masak sambal perlukan minyak yang banyak dari sudut sains.
Minyak memang kena banyak kalau masak sambal
Hangat mengenai isu sambal tumis banyak minyak. Jujur, memasak sambal memang perlukan banyak minyak. Tujuannya adalah untuk pastikan bahan sambal masak sempurna, sambal berasa sedap dan sambal tahan lebih lama. Bukan apa, kandungan air yang lebih daripada minyak, akan menyebabkan kuman mudah membiak dan sambal cepat basi.
Mudah saja sebenarnya, kepada yang kurang minat minyak yang banyak, boleh saja asingkan minyak daripada sambal setelah sambal siap masak atau semasa dimakan. Minyak bersifat kurang tumpat, ia akan terapung atas masakan, maka mudah lah untuk diasingkan.
Rumah saya sentiasa ada stok sambal dalam peti sejuk. Biasa saya pakai minyak zaitun untuk tumisan yang pakai minyak banyak. Ada dua sebab, 1) untuk gunakan minyak yang lebih sihat, 2) untuk mengelakkan minyak membeku dalam peti sejuk.
Kepada yang tidak tahu sebab minyak membeku, boleh baca di sini
https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4504538866246893/?mibextid=S66gvF
Ada yang risau pasal titik asap minyak zaitun? Jom baca pasal minyak zaitun di sini
https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4687767367924041/?mibextid=S66gvF
Tapi kan, bukan kita makan sambal hari-hari. Dan jumlah yang diambil juga sedikit. Banyak lagi makanan lain yang tinggi kandungan minyak, maka kita harus bijak untuk menyeimbangkan pengambilan minyak dan lemak harian daripada makanan.
Baiklah, alang-alang bercakap pasal minyak, mari kita ulangkaji pasal beberapa jenis minyak dan cara penggunaan yang betul.
Cara guna minyak yang betul semasa memasak
Untuk menggoreng (deep fry) memang minyak sawit (sumber tumbuhan) paling stabil kerana tinggi kandungan lemak tepu, maka tinggi titik asapnya. Boleh juga digunakan minyak sumber haiwan seperti minyak sapi, namun minyak daripada sumber haiwan SAHAJA mengandungi kolesterol.
Pun begitu, kajian menunjukkan kolesterol daripada makanan hanya sedikit memberikan kesan kepada badan. Ini kerana badan kita mempunyai mekanisma menghasilkan kolesterol sendiri. Maka, usahlah takut sangat dengan makanan yang mengandungi kolesterol.
Boleh baca mengenai salah faham tentang kolesterol oleh ahli nutrisi, Pn Syaza sini https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4496737523693694/
Untuk menumis dengan suhu sederhana boleh guna minyak masak yang sederhana titik asapnya seperti minyak zaitun, jagung, canola, kelapa.
Untuk dimakan begitu saja aka dressing, boleh ambil minyak yang rendah titik asapnya dan rendah kandungan lemak tepu. Minyak sebagai dressing membantu badan menyerap nutrisi larut lemak seperti vitamin A, D, E, K daripada komposisi salad.
Usah takut mengambil dan menggunakan minyak sebab selain memberikan rasa kepuasan dalam makan, ianya juga membekalkan tenaga, membantu dalam penyerapan nutrien tidak larut air. Komponen minyak juga membantu badan melawan keradangan, mengekalkan kesihatan otak, pemulihan sel-sel badan, melawan jangkitan kuman, dan untuk pertumbuhan badan.
Cuma jika dibandingkan dengan nutrisi lain, minyak mengambil masa lebih LAMA untuk dihadam. Komponen minyak iaitu lemak trans pula dikaitkan dengan peningkatan kolesterol jahat (LDL) dalam badan.
Namun ingatlah, bukan komponen minyak saja yang boleh menaikkan kadar LDL dalam badan. Tekanan (stress), pengambilan gula yang berlebihan, minuman beralkohol, merokok, gaya hidup tidak aktif dan berat berlebihan juga punca kepada tingginya LDL dalam badan.
Maka, seperti yang selalu dipesan, BERSEDERHANA lah dalam apa juga makanan. Ingat, segala yang berlebihan boleh membawa mudarat. Kenali diri dan ambil tahu keperluan badan sesuai dengan aktiviti harian, jantina dan umur.
Dah jangan gaduh-gaduh, baik pengikut yang menegur dan ditegur buang yang keruh, ambil yang jernih. Pendekatan masing-masing, sesuai dengan bidang. Namun tujuan sama iaitu berkongsi ilmu.
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Gambar: Sambal ikan bilis saya