Sanggup Sorong Kerusi Roda Suami Untuk Tonton Tumbiruo, Wanita Ini Kongsi 7 Panduan Bawa OKU Ke Pawagam

Share

Selepas hampir 10 hari ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu angka kutipan untuk filem Tumbiruo  sudah mencecah RM5 juta.

Melihat angka tersebut serta promosinya secara besar-besaran membuat ramai teruja untuk menonton filem adaptasi novel tulisan Ramli Awang Murshid ini.

Tak terkecuali adalah Raudzah Arippin. Keterujaan itu juga membuatkan dia sanggup menyorong kerusi roda suaminya Muhammad Idzwan Othman yang juga seorang OKU untuk menonton filem ini di panggung.

Bukan berdua saja, tapi dengan siap bawa tiga orang anak lagi. Hebatkan akak ni! Hebat, sebab nak bawa OKU ini bukannya mudah juga kerana pergerakan kerusi roda yang terhad ditambah dengan anak-anak yang masih kecil.

Tapi itu semua tak halang niat Raudzah untuk membawa ahli keluarganya berhibur seketika. Menariknya dia turut berkongsi panduan yang ramai tidak tahu iaitu kemudahan OKU di panggung wayang dan bagaimana prosedur jika berhajat untuk membawa mereka keluar menonton di pawagam.

Sekali sekala ahli keluarga OKU ini nak juga keluar berlibur kan. Jadi untuk anda yang nak membawa mereka bolehlah ikut panduan ini.

Cara bawa ahli keluarga atau rakan OKU menonton wayang

Semalam saya bawa suami dan anak-anak menonton Tombiruo di GSC, Alamanda.

Setakat ini yang kami tahu, hanya GSC yang ada menyediakan kemudahan menonton wayang untuk OKU berkerusi roda.

Jadi kalau ada antara rakan-rakan yang mahu bawa orang kelainan upaya jagaan mereka, atau ibu bapa yang berkerusi roda, boleh cuba bawa menonton di GSC.

Ini antara info yang boleh saya kongsikan :

1. Tidak semua panggung GSC ada kemudahan untuk OKU. Anda boleh periksa di laman web mereka, www.gsc.com.my. Setakat ini saya sudah bawa suami di GSC One Utama dan GSC Alamanda.

2. Tiket untuk OKU adalah lebih murah dari tiket biasa. Jika semalam kami menonton Tombiruo, tiket dewasa biasa berharga RM16, tiket OKU pula berharga RM9.50

3. Sedikit terkilan kerana tiket untuk OKU (untuk tempat duduk di bahagian berkerusi roda) tidak boleh ditempah secara online.

Bahagian yang kena pilih tempat duduk itu, tidak boleh klik pula pada tempat OKU.  Kami telah hubungi pihak GSC, kata mereka memang tiket untuk OKU perlu dibeli di kaunter.

4. Oleh kerana ruang untuk kerusi roda terletak di bahagian atas (belakang) sekali, apa yang boleh dibuat, penjaga OKU dan keluarga yang lain boleh beli dahulu tiket secara online dan tempah tempat duduk yang paling hampir dengan ruang untuk kerusi roda.

5. Waktu mahu masuk ke panggung, maklumkan kepada petugas dan mereka akan bantu bawa OKU berkerusi roda naik ke panggung menggunakan satu lif kecil khas. Lif ini tidak boleh digunakan oleh orang biasa. Lif memang muat-muat untuk satu kerusi roda dan seorang penjaga sahaja.

6. Jangan risau jika OKU perlu keluar sebentar dari panggung atau perlu ke bilik air, kerana kedudukan mereka dekat dengan pintu keluar dan kemudahan tandas OKU juga ada.

7. Waktu keluar dari panggung juga, gunakan laluan (lif) yang sama ketika naik ke panggung. Tidak perlu risau perlu menolak mereka jauh seperti laluan penonton lain.

Tip untuk yang kali pertama nak pergi

Panduan tambahan untuk yang pertama kali mahu bawa OKU jagaan mereka menonton wayang.

  • Pastikan OKU tahan untuk duduk lama di kerusi roda. Jika ada kusyen ROHO, sila bawa sekali, jangan lupa. Resah mereka nanti.
  • Pastikan juga OKU boleh terima kesan bunyi yang kuat.
  • Bawa baju tebal dan pakaikan mereka sarung kaki.
  • Jangan lupa ubat-ubatan yang sepatutnya juga jika berlaku kecemasan.

Semoga info ini dapat membantu rakan-rakan penjaga pesakit yang lain. Sekali sekala boleh menonton wayang pula sekeluarga.

Oh, TOMBIRUO memang best! Berbaloi menonton filem Melayu begini. Tahniah buat seluruh team produksi dan penerbit. Kak Odah beri 5 bintang berkelip kelip! ?

#tombiruo

Sumber: Raudzah Arippin

 

Published by
VK