Sangka Ada Dua, Rupa-rupanya Tiga. Ibu Ini Kongsi Kisah Tak Sedar Hamil Kembar Tiga, Seiras Pula Tu

Share

 

 

Rezeki tak pernah salah alamat. Kalau Tuhan kata jadi, maka jadilah apa yang dikehendakinya. Itulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri Khairil Ashraf Asri dan Noor Amiza Rashaid. Mereka dikurniakan anak buat kali pertama seramai 3 orang sekali gus.

 

Mulut masin, bergurau tapi betul terjadi

Menurut Noor Amiza yang mesra dipanggil Mija, katanya dia sendiri tak sangka akan melahirkan kembar tiga. Dia berseloroh dengan suami mengatakan yang dia mesti mengandung kembar. Bukan kembar dua tapi kembar tiga. Tak sangka kata-katanya itu betul-betul terjadi. Lagipun Mija sendiri pun ada kembar. Jadi genetik kembar itu memang kuat dalam dirinya.

“Kan orang kata kata-kata ni doa. Lagi-lagi saya cakap tu ketika mengandung. Kami memang takde merancang pun untuk mengandung kembar. Tak ada tip yang diamalkan. Cuma mungkin Allah nak makbulkan kata-kata saya masa bergurau dengan suami. Saya bergurau kata nak kembar tiga. Allah makbulkan doa si ibu mengandung ni.”

Tiada alahan pun

Ramai yang kata kalau mengandung anak perempuan, alahannya lain macam berbanding kalau mengandung anak lelaki. Namun bagi Mija, sepanjang mengandung kembar tiga ini, dia tidak alami alahan pun. Kehamilannya berjalan lancar dan dia sihat-sihat sahaja.

“Ini semua rezeki. Saya takde alami alahan. Lain orang lain pengalamannya. Macam saya sendiri pun tak sangka nak dapat kembar tiga. Sejak awal mengandung kembar ni tak pernah susahkan saya misalnya alahan. Jadi saya anggap mereka anak bertuah. Tak ramai yang diberi rezeki kembar tiga. Saya dah Allah pilih untuk jadi ibu kepada kembar tiga. Seronok tak terkata.”

Kata Mija, ketika bersalin secara pembedahan pun doktor terkejut kerana pada mulanya memang ingatkan kembar dua sahaja.

 

Macam mana boleh tak perasan ada tiga?

Bercerita mengenai macam mana boleh tidak dapat dikesan ada tiga kembar dalam kandungannya, Mija mengatakan dia pergi membuat imbasan (scan) ketika perutnya sudah pun besar. Jadi bayi di dalam perut sudah berhimpit-himpit

“Saya tahu saya mengandung kembar ketika kandungan telah besar. Masa tu pergi scan di klinik swasta. Tujuan asal ialah untuk tahu jantina baby. Masa tu saya ingat saya mengandung seorang baby saja. Bila scan doktor kata ada dua baby. Saya terkejut tapi gembira. Doktor cakap susah nak buat scan secara terperinci sebab baby dah besar. Perut dah padat. Sebab itulah sampai dah hujung mengandung saya tak tahu yang saya mengandung tiga orang baby.”

Saya sendiri ambil masa sebulan nak cam kembar ni

Nama pun kembar seiras. Sudah pasti ketiga-tiganya nampak sama sahaja. Pada mata kasar kita sebagai orang luar, pasti nampak sama. Tapi apabila ditanya pada ibu dan ayahnya, pasti mereka boleh ‘nampak’ ada beza antara ketiga-tiga kembar comel ini.

Mija mengakui memang agak susah nak mengenal pasti setiap seorang kembarnya. Masing-masing nampak seiras. Namun sebagai ibu yang mengandungkan dan melahirkan bayi ini, dia tahu bezanya. Walaupun dia sendiri ambil masa sebulan untuk mengecam beza kembar tersebut.

“Kalau orang tanya macam mana nak cam, memang susah nak jawab soalan ni. Sebabnya saya sendiri pun apabila kembar ni umur sebulan lebih baru saya dapat cam beza antara satu sama lain.”

Kembar tiga ini diberi nama Raisha Hannani Mikha, Raniah Humaira Mikha dan Raihan Huwaida Mikha.

Kembar tiga curi tumpuan ramai

Setiap kali keluar bersiar-siar dengan kembar tiga ini, Mija mengakui anaknya mencuri tumpuan ramai. Orang akan tegur, kembar tiga ke? Memang seronok apabila ada yang perasan anaknya kembar tiga kerana hal ini memang jarang berlaku.

“Soalan yang selalu juga ditanyakan ialah mana satu yang sulung? Mana satu yang kedua? Mana satu yang bongsu?”

Kini kembar sudah pun berusia setahun 9 bulan. Maka bertambah riuh-rendahlah keadaan di rumah. Kalau keluar berjalan-jalan pun, ini satu cabaran buat Mija dan suami. Maklumlah tiga orang anak, sebaya pula tu. Masing-masing ada kerenah tersendiri.

Mija menyediakan stroller kembar untuk memudahkan membawa anak. Namun stroller kembar hanya dua kerusi, jadi seorang perlu didukung. Itulah antara cabarannya.

Semuanya 3 kali ganda

Nak menjaga seorang anak pun ada yang terkial-kial. Betapa pula bagi Mija yang terus perlu hadap tiga anak sekali gus. Mengakui banyak cabaran, namun Mija bahagia. Walau semuanya perlu tiga kali ganda, dia bersyukur suami selalu memudahkan kerjanya.

“Saya dikelilingi orang yang sanggup bersusah payah dengan saya. Saya bersyukur sangat. Ketika nak menjaga tiga anak ni, suami, keluarga saya dan keluarga mentua semuanya sanggup tolong jagakan. Nak memandikan mereka, bagi makan, bermain semuanya kami lakukan bersama. Alhamdulillah.”

Mengimbas kembali ketika bersalin dulu, Mija kata dia dan suami hanya menyediakan keperluan untuk kembar dua. Masa tu tak tahu ada kembar tiga.

“Bila scan dan tahu ada kembar dua, persediaan yang kami beli memang untuk dua orang sahaja. Semua sekali dua. Carseat, stroller, set baju serba serbi dua. Jadi bila keluar kembar tiga, yang lagi seorang tu terpaksa pakai baju yang berbeza kerana tak cukup set. Kesian dia.”

 

VK teruja apabila baca kisah kembar. Seronok rasanya baca kisah mereka. Macam mana agaknya kembar tiga seiras ni apabila mereka besar nanti ya? Mesti rapat hubungan mereka ni. Muka sama, nama pun hampir sama, pergi sekolah bersama. Semoga kalian sihat dan bahagia hendaknya ya.

Published by
Maryam Elyas