Penyanyi Shima baru-baru ini mengejutkan peminatnya bila tampil berhijab penuh sekembalinya dia dari menunaikan ibadah umrah. Malah beliau juga dikatakan telah menjual semua baju seksi yang ada dalam koleksinya.
Pemergian ke tanah suci atas tajaan Yayasan Perdana Umrah bersama 22 lagi penggiat seni memang membawa impak yang besar kepada diri penyanyi berusia 49 tahun ini, sebaik pulang dia terus meninggalkan imej lamanya.
Namun ramai yang tak tahu bahawa apa yang dilakukan itu juga sebenarnya kerana mengotakan janji pada diri sendiri. Ujar penyanyi ini dia pernah berkata pada diri sendiri bahawa dia akan berubah, berhijab sepenuhnya bila dalam menjejakkan kaki ke tanah suci. Ternyata Allah mendengar doanya.
“Niat untuk berhijab sudah lama terpahat di hati saya dan saya pernah berkata pada diri saya sendiri jikalau saya dapat menjejakkan kaki di tanah suci memang saya akan berhijab sepenuhnya. Allah dengar doa saya dan makbulkan doa saya alhamdulillah,”ujar Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatulshima Kamarazzaman dalam satu entri di instagram beliau.
Beliau turut catat kenangan selama di sana yang ada di antaranya menyentuh hati. Malah dia tidak berselindung amat merindui tanah suci meskipun sebenarnya baru saja kembali ke tanah air dari sana.
Sumber: shimagegarvaganza1