“Saya Tak Sangka Merokok Boleh Buat Saya ‘Menderita’ Macam Ni!” Sufi Kini Kongsi Pengalaman & Usahanya Hingga Berjaya Berhenti Merokok

Share

 

 

Meski sudah diuar-uarkan bahaya merokok tapi tabiat ini tetap juga sukar ditinggalkan terutama oleh golongan lelaki. Salah seorang daripada perokok tegar ini adalah penyanyi Singapura, Sufi Rashid.

Namun begitu selepas menyedari kesan merokok pada kerjayanya, peserta program realiti tv Akademi Fantasia 2015 (AF2015) ini tekad berhenti merokok.

Sufi berkongsi pengalamannya dan usaha yang dilakukannya untuk meninggalkan tabiat buruk ini walaupun sukar. Semoga ia dapat jadi panduan pada perokok tegar yang lainnya.

Dulu kuat sungguh merokok

Saya ialah orang yang sangat kuat merokok sebelum menyertai pertandingan nyanyian di Malaysia, Akademi Fantasia 2015. Saya sangka saya dah cukup sihat. Lagipun jadual nyanyian saya di Singapura pada masa itu tak seketat sekarang. Apabila saya nak mulakan karier di Malaysia, saya cakap pada diri saya yang saya perlu bertahan selama 3 bulan akan datang di boot camp # AF2015.

Stamina saya teruk

Semasa di boot camp, setiap peserta kena lalui latihan vokal, sesi tarian dan latihan senaman seperti berlari. Saya terkejut, stamina saya sangat teruk! Masa itulah saya mula risau kalau tak boleh nak bagi tumpuan sepenuhnya.

Semasa sesi latihan untuk lagu yang saya perlu nyanyikan minggu itu, nyanyian saya adalah yang paling teruk yang pernah saya rasakan! Begitu buruk berbanding hari-hari ketika saya tidak merokok.

Susah betul nak nyanyikan not yang tinggi. Mulalah risau tak dapat nak bertahan lama dalam pertandingan tu. Saya mula sedar yang saya kena berubah. Ubah gaya hidup dan salah satu perkara utama yang saya nak buat ialah berhenti merokok.

Sufi akui lebih sihat selepas berhenti merokok.

Kenapalah saya merokok dulu?

Apabila saya mula cuba berhenti merokok, memang nampak perubahan pada diri. Memang rasa sakit sikit dan suara saya seakan stuck terutama masa nyanyi not tinggi. Saya minum banyak air dengan harapan paru-paru saya boleh sembuh. Saya tak pernah sangka yang merokok ni boleh buat saya ‘menderita’ macam ni.

Semua yang saya lalui ni membuatkan saya bertambah benci dengan rokok dan saya tanya diri sendiri ‘kenapalah aku boleh mula merokok dulu?’ Saya tak henti berharap yang saya perlu cepat sihat setiap minggu supaya dapat fokus dengan lebih baik pada pertandingan nyanyian tu.

Badan lebih sihat, suara lebih baik

Tiga bulan selepas itu, saya menang AF2015. Suara saya bertambah baik. Selain dari latihan vokal yang saya dan jalani, usaha saya untuk benar-benar bebas rokok turut memainkan peranan penting dalam hal suara ini.

Anda mungkin mempunyai kekuatan untuk menyanyi, tetapi jika stamina anda teruk, anda tidak dapat mempertahankan teknik nyanyian yang betul dalam setiap lagu. Melalui kehidupan bebas rokok juga membuatkan saya sedar yang saya boleh simpan duit yang banyak juga setiap hari.

Ubah gaya hidup

Daripada merokok, saya kini memilih aktif berlari dan berenang untuk membina stamina saya untuk menyanyi. Inilah rutin harian saya sekarang! Setiap hari, terdapat begitu banyak #BetterThingsToDo dan kegembiraan.

Sentiasa percaya untuk mengejar impian anda dengan cara yang betul! Post ini untuk korang di luar sana yang ingin capai impian besar! Ini hanya sebahagian daripada cerita saya. Anda ada pengalaman yang sama? Jom kongsi.

 

 

Sumber: https://www.instagram.com/sufierashid/?hl=en

Published by
Maryam Elyas