Selepas 12 tahun menanti kehadiran cahaya mata akhirnya penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dapat memangku bayinya sendiri.
Melihat foto yang dikongsi di instagramnya ini sebenarnya ramai yang berasa sebak terutama wanita yang senasib dengan penyanyi ini yang lama menunggu untuk merasai saat ini.
Semua tahu betapa Datuk Siti terlalu menginginkan kehadiran si kecil ini dan banyak yang telah dilalui untuk menimang zuriat sendiri.
Pelbagai usaha dilakukan oleh beliau dan suami, Datuk K untuk menimang cahaya mata selepas mereka disatukan pada 21 Ogos 2006.
Datuk K sendiri mengakui selepas dua tahun berkahwin mereka telah melakukan macam-macam usaha cuma ia tidak didedahkan.
Hinggalah pada tahun 2015 rezeki memperoleh anak sendiri semakin hampir namun tak kesampaian bila pada usia kandungan dua bulan Datuk Siti mengalami keguguran.
Tidak mahu berlengah kerana faktor usia, Datuk Siti, 38 kemudian melakukan rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta.
Selepas kali ketiga melakukan rawatan barulah penyanyi kesayangan ramai ini hamil. Bagaimanapun untuk memastikan kehamilan selamat Datuk Siti perlu melakukan pengorbanan.
Dia perlu banyak berehat dan menjaga kesihatan supaya masalah keguguran tidak lagi berlaku. Pada trimester awal, Datuk Siti lebih banyak berkurung di dalam rumah.
Dalam tempoh ini Datuk Siti terpaksa diangkat setiap kali mahu naik atau turun dari tingkat atas rumah. Malah dia juga perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak demi menjaga kandungannya.
Seperti wanita hamil lain dia turut mengalami alahan dan mabuk setiap kali ke dapur.
Semua perkara ini dirahsiakan oleh Datuk Siti sehinggalah kandungannya masuk trimester kedua dan dia mengumumkan kehamilannya pada Oktober 2017.
Sejak daripada itu, perkembangan kehamilan Datuk Siti terus diikuti oleh ramai sehinggalah dia akhirnya selamat bersalin pada 19 Mac lalu.
Berita tersebut disambut gembira dan penuh kesyukuran bukan saja buat Datuk Siti dan keluarganya tapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Selepas melakukan pelbagai usaha dan mengharungi dugaan demi dugaan untuk hamil Datuk Siti dan Datuk K berjaya memangku bayinya sendiri.
Buat pasangan yang masih belum dikurniakan cahaya mata semoga kisah Datuk Siti ini memberikan inspirasi untuk terus berusaha memperoleh zuriat sendiri.
-vanillakismis