Selalu Pakai Mekap dan Berada di Bawah Panas Matahari, Uyaina Arshad Kongsi Rahsia Jaga Kulit Wajah

Share

 

Bergelar selebriti memanglah penampilan kena nampak cantik dan sedap mata memandang. Senang kata, selebriti ni dah dianggap bagai hal masayarakat. Setiap apa yang dipakai dan digayakan menarik perhatian.

Pun begitu, bagi pengacara, Uyaina Arshad, cantik itu subjektif. Dia lebih selesa menjadi diri sendiri dengan menjaga badan dan kulit wajah mengikut cara tersendiri sebagaimana ibu dan adik-beradiknya.

 

Detoks cuka epal

Uyaina menyatakan bahawa dia berketurunan Arab. Justeru badannya mudah naik jika terlebih makan dan kurang bersenam. Salah satu cara untuk memastikan perut tidak buncit selain melawaskan pembuangan, Uyaina mengamalkan cuka epal. Uyaina minum cuka epal 1 sudu besar setiap pagi ketika perut kosong.

Selain itu, untuk memastikan badan kekal langsing, Uyaina mengehadkan pengambilan nasi. Dalam seminggu dia hanya makan nasi dua atau tiga kali sahaja. Selebihnya dia makan sesuatu yang mengenyangkan selain nasi misalnya roti.

“Saya tak boleh hari-hari makan nasi. Saya ni keturunan Arab jadi memang badan mudah sangat nak naik. Kena hati-hati. Selain itu, saya juga bersenam. Selalunya lari atas treadmill selama 30 minit hingga sejam. Tu memang kena buatlah nak jaga badan dan juga stamina.”

Minum air sayur

Nak tahu apa rahsia kulit Uyaina yang licin macam telur kena kupas ni? Kata Uyaina, dia selalu minum air tomato, lobak merah dan timun yang dikisar halus.

“Lepas kisar semua sayur tu, saya masukkan sikit stevia. Jangan bubuh gula pula. Minum air sayur ni membuatkan kulit lebih lembap dan berseri. Kalau ikut emak saya, mak suka yang pahit macam daun betik. Minum air rebusan daun betik pun bagus untuk cantik dan sihat,” katanya.

Basuh mekap bersih-bersih

Disebabkan selalu tampil di kaca televisyen dan penggambaran lain, wajah Uyaina selalu dikenakan mekap. Mengakui bahawa penggunaan alat mekap dalam masa panjang boleh menjejaskan kulit namun Uyaina berkongsi panduan yang dilakukan supaya kulit wajah kekal cantik.

“Perkara utama yang saya amalkan ialah jangan sesekali tidur tanpa bersihkan mekap. Kena basuh bersih-bersih semua solekan barulah boleh tidur. Nak kulit sihat, saya pakai pelembap dan sun block. Dalam keluarga, saya seorang yang ada masalah kulit sensitif. Jadi saya kena lebih berhati-hati dan lebih suka gunakan bahan semula jadi untuk jaga kulit muka.”

Juara Puteri Muslimah Asia 2018

Pada Mei lalu, Uyaina telah menjadi juara untuk program Puteri Muslimah Asia yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Mewakili Malaysia, Uyaina menewaskan peserta dari Indonesia, Turki dan Brunei.

Sebagai wanita berhijab, sudah semestinya fesyen yang seksi tidak sesekali akan digayakan. Dia lebih selesa menggayakan pakai yang ringkas namun tetap nampak menawan.

“Pilihan saya ialah blaus yang labuh hingga ke lutut dan dipadankan dengan seluar. Itu memang gaya saya ketika keluar ke mana-mana. Senang dan selesa,” katanya menutup bicara.

Published by
Maryam Elyas