Sembur Pokok Sedang Berbuah Dengan Air Baja Kulit Tembikai Supaya Hasil Elok Berkualiti. Ini Cara Buatnya

Share

Beli buah tembikai, bila dah habis makan kulitnya jangan dibuang terutama kalau bercucuk tanam di rumah. Ramai tak tahu kulit tembikai ini juga boleh dijadikan baja semburan yang pokok buah bagi menghasilkan buah yang elok.

Perkara ini dikongsi oleh usahawan tani Azuan Abdullah. Panduan menghasilkan Microorganisma Local (MOL) atau air baja semburan ini juga turut beliau ajarkan dan caranya mudah sangat.

Bahan – bahan

Kulit tembikai : 1.5 kg
Gula merah : 1.5 kg
Bekas yang sesuai
Kertas putih dan tali

Proses membuat

1. Kupas buang kulit warna hijau dan ambil lapisan yang warna putih sahaja. Tujuannya supaya proses pengekstrakan dapat berlaku dengan sempurna. Nak guna isi sekali pun boleh, tapi rugi la kan. Elok kita makan isinya. Lagipun kulit putih ni lebih tinggi kandungan potassium berbanding isi.

2. Potong nipis-nipis. Semakin nipis dan semakin luas permukaan, lagi bagus.

3. Masukkan sedikit gula merah ke dalam bekas. Memadai gula merah menutup dasar bekas.

4. Masukkan kulit tembikai dan tabur sekata diatas permukaan gula merah.

5. Proses 3 dan 4 dibuat secara bergilir-gilir. Kira ala-ala macam buat kuih lapis gitu. Yang penting bahagian atas sekali mesti gula merah.

6. Tutup dengan kertas putih dan ikat bagi ketat.

Selepas 5 jam peraman

7. Simpan di tempat redup selama 7 – 10 hari.

8. Selepas 7-10 hari diperam, tapis ambil cecairnya sahaja.

9. Botolkan dan simpan ditempat redup. Penutup botol tidak diketatkan atau dilubangkan supaya sentiasa ada udara yang keluar masuk. Boleh bertahan 2-3 tahun.

10. Cara penggunaan; ambil 2-5 ml mol tembikai dan dicampurkan dengan 1 liter air tanpa klorin. Boleh juga dibuat cocktail bersama mol lain dan racun organik sekali.

11. Kekerapan semburan adalah seminggu sekali.

Manfaat

  • Mol buah ini sangat bagus untuk semburan pada mana-mana tanaman yang berbuah semasa peringkat berbunga dan berbuah.

  • Di dalamnya ada kandungan potassium yang agak tinggi berbanding dengan mol-mol yang lain.
  • Sebagaimana kita tahu, unsur potassium ini diperlukan oleh tanaman untuk pembentukan buah yang sempurna dan berkualiti. Cubalah, walaupun guna bahan yang nak dibuang, namun sangat berkesan sekali.

Semoga bermanfaat

Sumber: Azuan Abdullah.

 

Published by
VK