Pagi tadi VK kongsi kisah 10 adik beradik yang semuanya sepakat melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ramai yang tumpang gembira melihat kejayaan adik beradik ini dan tak kurang juga yang tertanya tanya apa rahsia didikan ibu pada mereka.

Mengetahui kisah tentang keluarga mereka tular maka anak ke sembilan Abdul Rahman Fauzi kemudian berkongsi tentang cara didikan yang diterapkan oleh ibu bapa mereka. Harapan keluarga ini moga perkongsian ini menjadi sebahagian daripada dakwah mereka.

Siapa mak ayah di mata kami?

Saya tak sangka gambar kami adik beradik 10 orang memakai robe UIAM yang saya upload semalam menjadi tular dan mendapat perhatian pihak UIAM. Ramai yang mengucapkan tahniah, tak kurang juga yang minta kongsi tips bagaimana cara mak ayah kami mendidik kami.

Jadi in sha Allah saya akan cuba kongsi sedikit sebanyak tentang siapa mak ayah di mata kami.

Memandangkan saya merupakan anak kesembilan, mungkin banyak saya akan cerita berdasarkan apa yang saya tahu dan dengar daripada abang-abang dan kakak saya sahaja. Ayah kami, Ir Haji Fauzi bin Abdullah merupakan seorang jurutera sivil graduan University of Manchester manakala mak, Wan Jamaliah binti Megat Hashim pula seorang suri rumah.

Ads

Ayah jenis old school

Didikan ayah memang jenis style ‘old school’ sikit. Ayah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan tidak boleh berkompromi terutamanya perkara-perkara berkaitan prinsip agama. Ayah awal-awal dulu tersangatlah tegas dan garang. Saya yang last-last ni tak merasa sangat zaman awal didikan ayah.

Ambil berat bab makanan pakaian dan pergaulan

Menurut kakak, ayah sangat mengambil berat tentang didikan agama, pergaulan, pemakaian dan pemakanan kami. Bahkan ketika zaman sistem perbankan islam belum ada, ayah tidak pernah berhutang untuk membeli kereta atau rumah kerana ayah tidak mahu anak-anak disuap daripada hasil riba. Begitulah betapa telitinya ayah dalam membesarkan kami.

‘Semua Adik Beradik Mengaji Di Rumah & Hafal Surah Bersama, Lepas Subuh Tak Boleh Tidur; Cara Mak Ayah Didik Kami!’

Dia ajar mengaji, kemudian kakak ajar kami

Pendidikan agama sangat ditekankan sejak dari kecil lagi. Ayah sendiri yang mengajar abang dan kakak kami untuk mengaji al quran di rumah dan kemudiannya diteruskan oleh kakak kami Maryam Fauzi yang akan mengetuai adik beradik lain mengaji alquran setiap kali selepas maghrib. Beliau siap buat jadual silibus khas untuk adik-adik yang lain capai. Ada target.

Malam Jumaat baca surah al Kahfi beramai-ramai

Setiap malam Jumaat pula kami akan duduk bersama-sama membaca surah alkahfi beramai-ramai. Dan tidak salah saya rasa kalau saya katakan adik beradik kami hafal surah alkahfi sejak sekolah lagi kerana amalan ini! Manakala setiap pagi hujung minggu, kami diwajibkan untuk membaca al-ma’surat beramai-ramai sampai habis.

Kami semua dihantar ke sekolah agama sejak sekolah rendah lagi kecuali abang dan kakak-kakak yang atas kerana masa tu sekolah rendah agama mungkin belum ada. Yang lain dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Islam Aman (bawah kelolaan MUSLEH) manakala sekolah menengah pula kami semua dihantar belajar di sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, sekolah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. 3 orang daripada kami dihantar belajar tahfiz di Darul Quran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.

Ads

Lepas subuh tak boleh tidur

Ayah dan mak banyak mengajar kami berdikari sejak kecil. Kerja rumah, belajar dan kebersihan ayah akan selalu pantau. Kalau kat rumah ayah memang tak bagi kami membazir masa. Tidur selepas subuh pun tak boleh. Buat la apa sahaja. Baca buku, tolong buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Janji jangan membazir masa. Pelajaran pula ayah dan mak akan pastikan kami boleh fokus sendiri tanpa disuruh-suruh.

Ayah tak pernah tinggal solat berjemaah

Ayah dengan mak memang sangat rajin beramal. Tahajud dan qiyamullail sudah menjadi rutin biasa. Pergi mana-mana, solat berjemaah subuh dan baca ma’surat memang tak pernah sekali pun tertinggal sepanjang saya kenal ayah!. Ayah akan pastikan juga untuk solat berjemaah walaupun hanya di rumah bersama keluarga.

Selalu pesan, jaga imej Islam

Ayah dan mak selalu berpesan, pergi mana-mana pun, jaga imej Islam dan keluarga. Solat dan alquran jangan pernah lupa. Hidup ini tak kekal lama. Sentiasa jadi yang terbaik dalam bidang kita dan bermanfaat pada orang, walau ke mana pun kami dicampak. Apabila tahu cerita kami tular, ayah hanya berpesan supaya gunakan platform yang Allah bagi ini untuk berdakwah kepada orang lain.

Begitulah serba sedikit tentang mak dan ayah kami. Nampak saja tegas, tapi sangat penyayang. Kami sangat-sangat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana yang mementingkan Islam sebagai cara hidup tanpa meminggirkan urusan dunia.

Kenapa ayah pilih UIAM

Ayah dan mak meninggalkan satu amanah yang besar untuk kami pikul. Agar anak cucu mak ayah, terus menerus mendidik generasi akan datang, menjadi manusia yang berguna khususnya untuk agama.

Lastly kenapa memilih UIAM bukan institusi pengajian lain? Itu kena tanya ayah. Sebab ayah rasakan UIAM yang paling terbaik untuk kami sekeluarga dan memang rezeki kami untuk belajar dan grad di sini.

Ads

-Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz
BDS IIUM

Anak Haji Fauzi dan Wan Jamaliah yang ke 9

Tahniah pada mak dan ayah mereka didik semua anak hingga berjaya. Moga perkongsian ini dapat jadi panduan untuk ibu bapa zaman sekarang pula.

 

Sumber: Abdul Rahman Fauzi

 

 

 

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI