
Isi Kandungan
Toggle
Kunjungan pelakon dan pengacara Sharifah Shahira atau Shiera ke perkampungan Orang Asli telah memberikan komen positif netizen. Shiera telah berkunjung ke Kampung Rening, Cameron Highland dan memuat naik dua video mengenai rumah Orang Asli di sana.
Paparan video ini menunjukkan keadaan rumah buluh ini dalam keadaan bersih. Dapurnya tersusun rapi. Keadaan susunan kain yang sudah dilipat mendapat pujian pengikut instagram Shira. Kain dilipat kemas dan disusun rapi bagaikan diukur.
Bandingkan dengan rumah viral
Netizen dengan pantas membandingkan keadaan rumah Orang Asli ini dengan keadaan rumah viral yang dipenuhi sampah. Atas alasan tidak mampu untuk menghias rumah, penghuni rumah viral itu telah membuatkan persekitaran rumah mereka kotor dan dipenuhi sampah. Walaupun sudah berkali-kali dibersihkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun kediaman tersebut tetap kembali kotor.
Hebat lipatan kain
Hebat lipatan kain satu line… Nipis nipis Yg ni aku kalah… Almari ku hamun dgn baju
Part 2 sambungan
Tido berderet anak 2 orang Kecik dan suami isteri. Nenek tido kat ruang tamu. Orang asli kampung rening cameron highland
Tak kaya tapi pembersih
Nak kemas rumah perlu kerajinan
Tak faham orang sanggup tidur dengan sampah
Sedap mata memandang
Rumah ni kemas tiptop
Biar rumah kecil, tapi kemas
A post shared by Shiera Al-Khaired (@shieraijoy) on
Sumber: Shiera Al-Khaired
Gaun Unik Curi Tumpuan Tapi Kejayaan Usahawan Wanita Ini Lagi Luar Biasa. Terima Anugerah Tertinggi Kerana Catat Jualan RM 228 Juta!

Dua tiga hari lalu ramai peminat fesyen yang meluahkan rasa kagum dengan gaun unik yang dihasilkan oleh Datuk Rizalman buat usahawan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Hamil 7 bulan tapi gaun yang direka langsung tidak menampakkan perut wanita yang dikenali sebagai @ellybillionaire di instagramnya.
Norhaili, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EB Champions United, sebuah syarikat perniagaan unit amanah saham ini tampil cukup bergaya dan anggun sekali dengan gaun putih pilihannya.
Meski ada juga komen negatif terhadap ilham Datuk Rizalman ini tapi tolak tepi semua itu kerana empunya diri cukup berpuas hati.
Dan rasanya apa yang lebih penting untuk ditonjolkan selain gaun yang digayakan adalah pencapaian usahawan wanita ini.
Sudah bergelar jutawan sejak usia 25 tahun lagi, gaun istimewa ini dikenakan untuk majlis Malam Anugerah Public Mutual 2018 yang mana beliau menerima penghargaan tertinggi.
A post shared by Norhaili Ahmad Mokhtar (@ellybillionaire) on
Berbaloi dengan perjuangan 10 tahun
Norhaili menerima anugerah Juara Pengurus Agensi Kumpulan dengan nilai jualan kumpulan sebanyak RM228 juta pada 2017. Satu angka yang cukup mengagumkan bagi usahawan Melayu yang berjuang dalam organisasi milik kaum Cina!
Kegembiraan menerima anugerah tersebut dikongsi oleh Norhaili dalam instagramnya baru-baru ini.
“Saya memberi segalanya untuk memperoleh kemenangan ini. Ia kemenangan yang dihasilkan dari kerja keras, dedikasi dan komitmen.
“RM228 juta pada tahun 2017 adalah satu angka yang luar biasa bagi agensi bumiputera yang berjuang dalam organisasi milik kaum Cina. Untuk ini saya memilih pereka yang betul-betul memahami karakter saya sejak 10 tahun lalu, Datuk Rizalman.
“Saya jelaskan kepadanya apa yang saya mahukan untuk gaun ini. Sesuatu yang berbaloi dengan perjuangan saya selama 10 tahun.
“Saya minta dia mencipta pakaian yang dapat melindungi kandungan saya berusia tujuh bulan. Saya mahu ahli kumpulan saya berasa saya tetap bertenaga. Ternyata saya dapat apa yang saya mahukan,”ujar Norhaili.
Sumber: ellybillionaire
Tata Cara Solat Dalam Kapal Terbang, Wajib Tahu Kalau Tempoh Penerbangan Lama

Travel menggunakan pesawat sudah jadi kebiasaan bagi kita pada masa kini. Justeru adalah perlu untuk kita memahami tatacara kewajipan bersolat dalam kapal terbang terutama jika tempoh penerbangan memakan masa yang lama.
Namun begitu untuk menunaikan solat dalam kapal terbang ada perkara yang wajib kita perhatikan supaya solat kita sempurna. Memetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berikut adalah tata cara solat ketika berada dalam kapal terbang.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Perkara pertama yang harus diambil kira sebelum menunaikan solat dalam kapal terbang adalah ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Sumber: Muftiwp
Latih Anak Jadi Imam Sejak Kecil Amalan Suami Isteri 3 Anak Cemerlang Maahad Tahfiz

Isi Kandungan
Toggle
Ketika kita dihidangkan secara bertubi-tubi berita remaja yang tenat akhlak, sejuk rasanya hati bila membaca kisah kejayaan ibu bapa mendidik tiga anak ini.
Betapa didikan al-quran itu membantu bukan saja akademik tapi akhlak seorang anak. Inilah yang dipraktikan oleh Ust Dato’Dr Abdul Basit Abdul Rahman dan zaujah Datin Nik Zulaili.
Hasilnya baca saja kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh anak pasangan ini seperti yang dikongsi di laman Facebook Maznah Mukhtar
Sekalung tahniah buat Ustaz Dato’ Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dan zaujah Datin Nik Zulaili Nz Ny Nzny serta anak-anak.
Sebenarnya sudah lama saya dan sahabat-sahabat mengagumi cara, uslub serta pendekatan pendidikan anak-anak mereka.
Tegas dalam santai
Terbaharu , anakanda sulungnya Anas, kini mahasiswa UIAM, telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Yayasan Islam Kelantan sempena Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri dan pada hari ini dianugerahkan Pelajar Mithali YIK 2017.
Semalam 3 putera mereka menerima anugerah tertinggi kecemerlangan dalam setiap peperiksaan awam sempena Mesyuarat Agong PIBG & Penyampaian Hadiah di Maahad Tahfiz Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong.
Hari ini putera-putera mereka turut menerima Anugerah Khas Kecemerlangan dalam setiap peperiksaan sempena Hari Yayasan Islam Kelantan.
Pada 4 April 2017 artikel saya bertajuk Al-Quran Penyuluh Kecemerlangan dalam ruangan Ibrah di Utusan Malaysia tentang rahsia kejayaan Amir yang diangkat sebagai Pelajar Terbaik SPM 2016 kerana memperoleh 12A .
Rahsia didikan
Ringkasan rahsia didikan hebat pasangan Ust. Dato’ Dr Hj Abdul Basit Abdul Rahman dan Datin Nik Zulaili :
- Solat jemaah di masjid setiap waktu.
- Membaca dan mengulangi hafazan al-Quran sekurang-kurangnya 3 juzuk sehari.
- Menjadikan rumah sebagai taman ilmu dengan mewujudkan perpustakaan dipenuhi dengan buku sebagai teman.
- Rumah tiada televisyen bagi mengelakkan lagha dan leka.
- Gajet dibenarkan tetapi dengan kawalan masa dan suasana.
- Menghidupkan budaya ilmu dan menghormati guru.
- Sejak kecil dilatih menjadi imam dan didedahkan sebagai pendakwah.
- Restu ayahbonda dan doa menjadi azimat mengiringi keberkatan usratun saiedah.
Buat sekian kalinya, syabas untuk kedua-dua ibu bapa mithali ini dalam merintis kejayaan menuju mardhatillah…
Sumber: Maznah Mukhtar