Kari kambing ini memang ramai peminatnya. Walau pun begitu, kebanyakan kita akan pergi kedai mamak untuk menikmati kari ini memandangkan tak mahir menyediakannya.
Tapi apa kata kita cuba pula buat sendiri, ikut Indian style perkongsian Sheena Supramaniam. Kari kambing ini memang pekat, sedap dan rasanya macam kari restoren mamak.
Perkongsian resipi Sheena ini juga mendapat lebih 58k perkongsian di Facebook Masak Apa Hari Ni. Bagusnya, beliau juga berkongsi cara yang dipraktikkan untuk menghilangkan bau hamis daging kambing sebelum dimasak.
1. Sediakan daging kambing lebih kurang 1kg – 1.5kg. Cara hilangkan bau hamis kambing; cuci dengan serbuk kunyit banyak-banyak. Ini daging segar jadi saya cuci biasa 4 kali. Nanti waktu masak letak serbuk kunyit banyak sikit.
2. Kisar 10 ulas bawang putih, halia saiz ibu jari 4 – 5 ketul, bawang kecil dalam 6 hingga 10 biji. Biasanya saya tambah cili hijau 2 batang waktu kisar.
3. Panaskan minyak, tumis rempah 4 sekawan bersama jintan manis.
4. Masukkan daun kari dan tuang sekali bahan yang dikisar.
5. Bila naik bau, masukkan daging kambing.
6. Masukkan serbuk kunyit lebih kurang 1 sudu besar untuk 1kg to 1.5kg kambing.
7. Masukkan air, sukatan agak-agak sampai daging kambing tenggelam separuh. Kalau air dah kering tapi daging belum masak, boleh tambah air lagi kemudian.
8. Bila dah mendidih masukkan tomato.
9. Saya tak guna pressure cooker. Jadi alih dalam periuk dan tutup. Cara ini classic dan cepat masak. Guna api sederhana, setiap 15-20 minit buka dan kacau. Kalau daging dah masak boleh ikut step seterusnya.
10. Masukkan serbuk kari ayam/daging dalam 3-5 sudu besar (biasanya saya guna jenama Rajas, Alagappas” atau Lingams). Masukkan juga serbuk cili ikut tekak masing-masing.
11. Masukkan kentang. Yang ini US potato. Cepat masak jadi masuk akhir sekali. Masukkan garam selepas kentang.
12. Kemudian masukkan sekali lagi tomato. Tomato yang masuk awal tadi dah hancur dan sebati dalam kari. Ia akan pekat dan beri rasa masam-masam dalam kuah. Tomato ini akan nampak bentuknya.
Biarkan seketika dan tutup api. Boleh hidangkan.
Selamat mencuba.
Sumber: Sheena Supramaniam