Sumbang 4.8 Juta Hidangan, Cara Pasar Raya Ini Bantu Golongan Memerlukan Memang Kreatif!

Share

 

Bantu golongan memerlukan tak semestinya dengan wang, ada banyak cara lain yang nyata turut berkesan. Antaranya melalui inisiatif yang dilakukan oleh Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

Menggunakan makanan terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan roti yang masih baik tapi tidak terjual ia kemudian disalurkan kepada Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen untuk dijadikan hidangan kepada golongan yang memerlukan.

Sejak ia dilancarkan pada Oktober 2016, Tesco telah menyumbang sebanyak 4.8 juta hidangan kepada golongan ini. Menariknya ia bermula dari dua cawangan Tesco namun kini diperluas ke 60 cawangan Tesco seluruh Malaysia.

“Di Tesco, kami percaya bahawa Every Little Helps (Semuanya Dapat Membantu). Kerjasama pihak kami bersama Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen bukan sahaja dapat menurunkan kadar pembaziran makanan yang tidak terjual, tetapi masih boleh dimakan malah memastikan golongan yang memerlukan tidak sentiasa kelaparan,” katanya.

“Usaha yang berterusan yang telah menghasilkan sumbangan 4.8 juta hidangan makanan ini adalah sangat relevan semasa menyambut Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober. Adalah penting untuk kita ingat bahawa kita masih mempunyai lebih banyak kerja yang perlu dilakukan jika kita ingin mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menghapuskan kelaparan global menjelang 2030,” katanya.

Usaha murni Tesco ini turut mendapat pujian daripada Pengasas Food Aid Foondation, Rick Chee. Ujarnya Inisiatif Tesco terhadap sumbangan makanan lebihan dalam membasmi kelaparan sangat selari dengan objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana salah satunya untuk menghapuskan kelaparan global atau Zero Hunger.

“Kami berharap banyak lagi syarikat korporat dapat menyertai usaha besar ini dalam memerangi kemiskinan dan mengurangkan pembaziran makanan di negara kita,”katanya.

Dalam pada itu Pengarah Operasi Dapur Kechara Soup, Justin Cheah percara bahawa cara Tesco menguruskan lebihan makanannya harus dijadikan contoh bagi korporat lain.

“Tesco sangat kreatif dalam pengurusan masalah pembaziran makanan di Malaysia. Cara mereka membolehkan banyak keluarga dan individu yang kurang bernasib baik mendapatkan manfaat daripada program sumbangan makanan ini dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan pembiayaan makanan di Malaysia. Lebih banyak pasar raya besar dan pengeluar makanan perlu mengikut contoh yang ditetapkan oleh Tesco. ”

Sumbangan yang sama dari Tesco turut diperluaskan kepada golongan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi apabila korporat ini menjadi salah satu penyokong utama inisiatif Food Bank Universiti Malaya (UM), yang membantu sebanyak 200 pelajar yang kurang berkemampuan di kampus.

Selain itu Tesco juga akan berkerjasama dengan Food Bank Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang akan dilancarkan pada akhir bulan Oktober.

Tesco juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Food Bank sejak ia ditubuhkan pada Ogos 2018. Sehingga September 2019, Yayasan Food Bank telah memberi manfaat kepada 362,699 ahli isi rumah yang kurang bernasib baik.

 

Published by
VK