
Respek betul dengan Norman Hakim, Abby Abadi dan pasangan mereka. Meski pernah dilanda kontroversi tapi keduanya berjaya membuang segala yang keruh dan mampu menjernihkan keadaan hingga akhirnya dapat menikmati kemanisan hidup dalam sebuah keluarga besar.
Malah Norman dan bekas isterinya Abby boleh dianggap sebagai ibu bapa contoh kerana walaupun perkahwinan mereka berakhir tapi keduanya menjalinkan persahabatan yang erat demi anak-anak.
Buktinya semalam bertempat di IDCC Shah Alam mereka berdua bersama pasangan masing-masing bersanding serentak dalam majlis meraikan ulang tahun perkahwinan ke-6 Norman Hakim dan isteri Memey Suhaiza.
“Kami tidak sangka dapat bersanding sebagai sebuah keluarga besar hari ini. Majlis ini juga merealisasikan impian untuk berkumpul bersama-sama sebagai sebuah keluarga disertai rakan-rakan dan saudara mara,” kata Norman.
Sementara itu, Abby berkata majlis ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi membuktikan kepada masyarakat bahawa Islam agama yang mendamaikan.
“Syukur Alhamdulillah Allah satukan hati kami. Saya sayang Memey, Norman dan suami dan keluarga besar ini,” katanya.
Selain meraikan persandingan Norman, Memey, Abby dan suami Jaiezzany turut diadakan doa selamat bersempena khatam Quran anak sulung Norman, Mohamed Danish Hakim, 14.
Mohamed Danish bakal melanjutkan pengajian hafazan Quran ke Mekke Kuran Kursu, Isparta, di Turki, Oktober ini.
Selain Danish, Norman turut dianugerahkan dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi, iaitu Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9.
Dengan isterinya sekarang, Memey Suhaiza, Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.
Ia juga sebahagian daripada gimik pelantikan Norman dan Memey sebagai duta syarikat katering acara perkahwinan, Mahligai Impian.
Sumber: Berita Harian Online, Instagram Norman Hakim, mahligaiimpianofficial
Isteri Lupakan Kerjaya Engineer Untuk Jaga Famili, Suami Hadiahkan Rumah Setiap Kali Anniversary Balas Pengorbanan Isteri

Isi Kandungan
ToggleIsteri mana yang tak suka, setiap kali ulang tahun perkahwinan dapat sebijik rumah. Happy giler kan.
Tapi boleh dikira dengan jari suami yang sanggup dan berkeupayaan untuk beri hadiah sebegini mahal. Salah seorang yang sanggup ambil cabaran ini adalah Muhd Farid.
Semuanya demi membalas pengorbanan isteri yang terpaksa melupakan kerjaya selepas tamat belajar semata-mata mengikut permintaannya untuk menjadi suri rumah.
VK rasa hadiah ini berbaloi.
Apa pun ikuti perkongsian Muhd Farid yang turut menjelaskan cara dia melakukannya.
Dia engineer, aku pencacai
4 tahun yang lalu, aku melamar kawan baik aku di zaman Universiti menjadi isteri aku. Aku gentle berjumpa ayah isteri aku ini menyatakan hasrat di hati ingin menikahi anaknya sebelum menghantar rombongan keluarga,
Time ni isteri aku bekerja sebagai Engineer Intel di Penang,
Aku plak bekerja pencacai di Singapore ,ahahaa..
Memang hubungan ketika ini secara jarak jauh sebelum dan selepas berkahwin.
Time ni memang aku tak da budget nak kahwin secara besar-besaran,
Buat majlis pun 1 belah pihak sahaja iaitu belah pihak perempuan.
Janji kahwin !!!
Part hantaran plak, orang sibuk viral kalau kelulusan Degree minima RM 15,000.
Aku rileks je nego mintak RM 8,000 je,
Mujur isteri aku tak kisah dan terima kewangan aku ketika itu.
Mas kahwin aku bagi 6 Dinar emas yang aku kumpul sejak mula bekerja. Dalam masa yang sama, timbul 1 idea untuk beri hantaran sebuah rumah kepada isteri aku ini.
Hantaran kahwin sebiji rumah
Aku mintak dokumen dari isteri aku,
Dan aku carikan sebiji rumah untuk beliau sebagai backup untuk diri dia sendiri.
Kos deposit + kos lawyer + baik pulih rumah + kemasukan penyewa semuanya di uruskan oleh aku.
Nak belikan kereta memang bukan keperluan memandangkan dia ada kereta kebal arwah atuk dia.
Time ni memang strungle habis, ikat perut * buat OT + side income, sebab kumpul deposit rumah + duit kahwin sebab tak mengharapkan Personal Loan.
Alhamdulillah kami dikurniakan cahaya mata setahun kemudian. Time tu aku mintak dia berhenti kerja dan aku menyara keluarga seorang diri. Duduk di rumah kecil jenis 2 bilik 1 bilik air.
Gaji tak besar tapi cukup untuk kami sekeluarga hidup.
Kami hidup macam rakyat marhaen biasa.
Hadiah 2 rumah sebagai pengganti impian musnah
Ini kisah 4 tahun lepas. Alhamdulillah tahun ni, aku di kurniakan lagi cahaya mata yang baru,
Dua-dua lelaki,Oklah boleh meneruskan perjuangan aku nanti.
Rumah yang aku berikan pada isteri aku,
Aku mintak dia jual,
Sebab dah masak ranum.
Untung RM 130,000 dalam tempoh 4 tahun.
Dimana kalau nak simpan sendiri secara manual perlu menyimpan sekitar RM 2708/bulan. (Boleh ke korang konsisten menyimpan macam ni)
Kalau aku belikan dia kereta time tu, agak-agak mesti dah separuh harga kereta isteri aku ni. Terpulang kepada dia nak buat apa duit itu;
Beli handbag LV,
Beli mini cooper cash,
Simpan sahaja dalam ASB,
Beli rumah lagi dan lagi,
Melancong ke Oversea,
Beli emas sampai lengan,
@ apa sahaja.
Sebab setiap tahun pun aku masih hadiahkan dia sebuah rumah sempena anniversary dan besday dia. 2 rumah untuk dia setiap tahun aku reservekan sebagai pengganti aku memusnahkan impian dia yang ingin bekerjaya selepas tamat belajar. Dalam masa yang sama, pasif income dia jugak setiap bulan.
Tak perlu ikut tapi ambil ilmu
Tak perlu ikut cara aku 100% tapi ambik ilmu yang cuba aku sampaikan dan praktiskan dalam kehidupan rumah tangga korang.
*Gambar kenangan ketika kami masih bertiga sebelum muncul pihak keempat.
Kami pernah hujan basah bersama ketika menunggang motorsikal suatu ketika dahulu dan isteri aku sanggup korbankan hanya aku sahaja yang memakai baju hujan ketika itu memandangkan hanya ada 1 baju hujan sahaja.
Sumber: Muhd Farid
Isteri Yang Penat & Stres Buat Kerja Rumah, Amalkan Zikir Fatimah Untuk Redakan Keletihan

Hari ini ramai isteri yang mengeluh penat dan stres dek kerana tugas yang tak menang tangan. Mereka ini terutama yang bergelar ibu bukan saja mengurus rumah tangga, malah turut bekerja mencari rezeki.
Antara cara kebiasaan wanita meredakan kepenatan ini dengan berehat, bercuti dan juga ke spa untuk rawatan tubuh. Hakikatnya dalam Islam sendiri telah tersedia penawar kepenatan ini melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.
Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.
Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.
Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.
Lalu baginda bersabda; “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)
Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.
ZIKIR/ TASBIH FATIMAH
Allahu Akbar – 34 kali
Subhanallah – 33 kali
Alhamdulillah – 33 kali
Dalam pada itu sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tidak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan.
‘Semua Adik Beradik Mengaji Di Rumah & Hafal Surah Bersama, Lepas Subuh Tak Boleh Tidur; Cara Mak Ayah Didik Kami!’

Isi Kandungan
Toggle
Pagi tadi VK kongsi kisah 10 adik beradik yang semuanya sepakat melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ramai yang tumpang gembira melihat kejayaan adik beradik ini dan tak kurang juga yang tertanya tanya apa rahsia didikan ibu pada mereka.
Mengetahui kisah tentang keluarga mereka tular maka anak ke sembilan Abdul Rahman Fauzi kemudian berkongsi tentang cara didikan yang diterapkan oleh ibu bapa mereka. Harapan keluarga ini moga perkongsian ini menjadi sebahagian daripada dakwah mereka.
Siapa mak ayah di mata kami?
Saya tak sangka gambar kami adik beradik 10 orang memakai robe UIAM yang saya upload semalam menjadi tular dan mendapat perhatian pihak UIAM. Ramai yang mengucapkan tahniah, tak kurang juga yang minta kongsi tips bagaimana cara mak ayah kami mendidik kami.
Jadi in sha Allah saya akan cuba kongsi sedikit sebanyak tentang siapa mak ayah di mata kami.
Memandangkan saya merupakan anak kesembilan, mungkin banyak saya akan cerita berdasarkan apa yang saya tahu dan dengar daripada abang-abang dan kakak saya sahaja. Ayah kami, Ir Haji Fauzi bin Abdullah merupakan seorang jurutera sivil graduan University of Manchester manakala mak, Wan Jamaliah binti Megat Hashim pula seorang suri rumah.
Ayah jenis old school
Didikan ayah memang jenis style ‘old school’ sikit. Ayah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan tidak boleh berkompromi terutamanya perkara-perkara berkaitan prinsip agama. Ayah awal-awal dulu tersangatlah tegas dan garang. Saya yang last-last ni tak merasa sangat zaman awal didikan ayah.
Ambil berat bab makanan pakaian dan pergaulan
Menurut kakak, ayah sangat mengambil berat tentang didikan agama, pergaulan, pemakaian dan pemakanan kami. Bahkan ketika zaman sistem perbankan islam belum ada, ayah tidak pernah berhutang untuk membeli kereta atau rumah kerana ayah tidak mahu anak-anak disuap daripada hasil riba. Begitulah betapa telitinya ayah dalam membesarkan kami.
Dia ajar mengaji, kemudian kakak ajar kami
Pendidikan agama sangat ditekankan sejak dari kecil lagi. Ayah sendiri yang mengajar abang dan kakak kami untuk mengaji al quran di rumah dan kemudiannya diteruskan oleh kakak kami Maryam Fauzi yang akan mengetuai adik beradik lain mengaji alquran setiap kali selepas maghrib. Beliau siap buat jadual silibus khas untuk adik-adik yang lain capai. Ada target.
Malam Jumaat baca surah al Kahfi beramai-ramai
Setiap malam Jumaat pula kami akan duduk bersama-sama membaca surah alkahfi beramai-ramai. Dan tidak salah saya rasa kalau saya katakan adik beradik kami hafal surah alkahfi sejak sekolah lagi kerana amalan ini! Manakala setiap pagi hujung minggu, kami diwajibkan untuk membaca al-ma’surat beramai-ramai sampai habis.
Kami semua dihantar ke sekolah agama sejak sekolah rendah lagi kecuali abang dan kakak-kakak yang atas kerana masa tu sekolah rendah agama mungkin belum ada. Yang lain dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Islam Aman (bawah kelolaan MUSLEH) manakala sekolah menengah pula kami semua dihantar belajar di sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, sekolah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. 3 orang daripada kami dihantar belajar tahfiz di Darul Quran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.
Lepas subuh tak boleh tidur
Ayah dan mak banyak mengajar kami berdikari sejak kecil. Kerja rumah, belajar dan kebersihan ayah akan selalu pantau. Kalau kat rumah ayah memang tak bagi kami membazir masa. Tidur selepas subuh pun tak boleh. Buat la apa sahaja. Baca buku, tolong buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Janji jangan membazir masa. Pelajaran pula ayah dan mak akan pastikan kami boleh fokus sendiri tanpa disuruh-suruh.
Ayah tak pernah tinggal solat berjemaah
Ayah dengan mak memang sangat rajin beramal. Tahajud dan qiyamullail sudah menjadi rutin biasa. Pergi mana-mana, solat berjemaah subuh dan baca ma’surat memang tak pernah sekali pun tertinggal sepanjang saya kenal ayah!. Ayah akan pastikan juga untuk solat berjemaah walaupun hanya di rumah bersama keluarga.
Selalu pesan, jaga imej Islam
Ayah dan mak selalu berpesan, pergi mana-mana pun, jaga imej Islam dan keluarga. Solat dan alquran jangan pernah lupa. Hidup ini tak kekal lama. Sentiasa jadi yang terbaik dalam bidang kita dan bermanfaat pada orang, walau ke mana pun kami dicampak. Apabila tahu cerita kami tular, ayah hanya berpesan supaya gunakan platform yang Allah bagi ini untuk berdakwah kepada orang lain.
Begitulah serba sedikit tentang mak dan ayah kami. Nampak saja tegas, tapi sangat penyayang. Kami sangat-sangat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana yang mementingkan Islam sebagai cara hidup tanpa meminggirkan urusan dunia.
Kenapa ayah pilih UIAM
Ayah dan mak meninggalkan satu amanah yang besar untuk kami pikul. Agar anak cucu mak ayah, terus menerus mendidik generasi akan datang, menjadi manusia yang berguna khususnya untuk agama.
Lastly kenapa memilih UIAM bukan institusi pengajian lain? Itu kena tanya ayah. Sebab ayah rasakan UIAM yang paling terbaik untuk kami sekeluarga dan memang rezeki kami untuk belajar dan grad di sini.
-Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz
BDS IIUM
Anak Haji Fauzi dan Wan Jamaliah yang ke 9
Tahniah pada mak dan ayah mereka didik semua anak hingga berjaya. Moga perkongsian ini dapat jadi panduan untuk ibu bapa zaman sekarang pula.
Sumber: Abdul Rahman Fauzi