Dulu mungkin semua isteri kena mahir memasak, sebab kerja dapur ini memang sudah dipasak dalam kepala semua wanita sebagai sebahagian tugas mereka.
Tapi sekarang berbeza, apabila sudah belajar tinggi dan tidak lagi duduk di rumah ramai tak sempat belajar ilmu memasak dari ibu mereka.
Tambah pula bila dah berumah tangga dan sibuk bekerja pula, ramai ambil jalan mudah membeli saja makanan untuk dihidang pada anak dan suami.
Memang akan ‘setel’ bab makan famili tapi apapun isteri yang tak pandai memasak akan berasa satu kekurangan. Sebab itu orang tua selalu pesan masakan isteri penting untuk tambat hati suami.
Tapi tak mengapa. Kalau dah tahu diri tiada kelebihan bab memasak isteri kenalah ada kelebihan atau keistimewaa lain untuk menutup kekurangan diri. Antaranya kemahiran di bawah ni.
1. Pandai jaga anak & urus rumah tangga
Di rumah anak terjaga, makan cukup, susu cukup, mandi tepat masa, ada masa terluang ajar anak membaca dan mengaji pula.
Rumah juga sentiasa bersih, kemas walaupun ada anak kecil. Bila suami masuk rasa tenang saja. Tak berserabut dengan mainan dan surat khabar di lantai atau kain baju tak berlipat atas sofa. Kalau dah ada sebahagian ciri ibu mithali ini, takkan suami kompelin lagi.
2. Penampilan menarik
Isteri cantik dan pandai jaga badan suami mana tak sayangkan. Dah tentu asyik nak melekat saja. Tapi bukanlah makna isteri harus sentiasa mekap mampan, cukuplah sekadar nampak elok, kemas dan manis di mata suami walau pun duduk di rumah. Jangan berhias waktu nak pergi kerja saja.
3. Layanan batin mantap
Ini boleh jadi kelebihan yang paling boleh mengaburi suami dengan kekurangan yang ada. Tak pandai masak tapi layanan di kamar untuk suami mantap. Tak pernah menolak malah mempelawa pula. Bila suami puas bab ini rasanya anda sudah menawan hatinya.
Apapun seharusnya seiring dengan peningkatan usia kita kena baiki kekurangan. Walau tak minat, tiada masa tapi berusahalah untuk belajar memasak. Takkan sampai tua, nak makan kedai kot!