Tak Payah Tunggu Kerja, Bapa Ini Daftar Anak Jadi Ahli KWSP Untuk Simpan Duit. Seawal 14 Tahun Pun Boleh

Share

Selalu bila bekerja barulah kita daftar jadi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tapi rupanya untuk jadi ahli ini tak perlu tunggu bekerja pun boleh.

Seawal usia 14 tahun dan boleh mendaftar jadi ahli untuk buat simpanan. Lagi awal menyimpan lagi banyak tabungan, selain itu dapat juga dividen dan insentif lain.

Perkara ini dikongsi oleh Mo Ameen yang telah mendaftar dua orang anaknya yang berusia 15 dan 16 tahun menjadi ahli KWSP. Berikut dalam perkongsian beliau.

Seawal 14 tahun pun boleh jadi ahli KWSP rupanya

2 orang anak saya yang sulung dan no.2 (kedua-duanya masih sekolah menengah) telah pun mendaftar sebagai ahli KWSP pada tahun lepas (24 Disember 2021).

Ramai yang tak tahu, seawal umur 14 tahun sebenarnya sudah boleh menjadi ahli KWSP dan tidak perlu tunggu apabila mula bekerja.

Pendaftaran pula boleh dibuat di kios KWSP sahaja, tidak perlu ke kaunter.

Selepas daftar, perkara pertama yang saya suruh anak buat ialah daftar akaun online KWSP (i-Akaun) di kios yang sama.

Kedua, daftar akaun Simpanan Shariah menggunakan i-Akaun.

Ketiga, saya daftarkan caruman i-Saraan.

Alhamdulillah, akaun anak-anak saya telah pun ditukar ke akaun Simpanan Shariah berkuat kuasa 1 Jan. 2022. i-Saraan pula adalah caruman secara sukarela.

Di samping dapat menyimpan pada usia muda dan dapat dividen setiap tahun, kerajaan juga telah memperuntukkan insentif sebanyak 15% (jumlah insentif maksimum RM250 setahun).

Bayaran caruman i-Saraan secara online saya buat melalui Bank Islam. Sebagai ahli KWSP juga akan mendapat manfaat kematian RM2500.

Mungkin ada yang bertanya, kalau sekadar nak menyimpan, boleh sahaja buka akaun bank atau tabung haji.

Berdasarkan pengalaman saya, simpanan anak-anak dalam Tabung Haji, akhirnya ayahnya juga yang guna. Sekian!

INFO: Duit simpanan ini boleh dikeluarkan lebih awal tapi ikut jenis pengeluaran yang dibenarkan seperti pendidikan, kesihatan, beli rumah dari akaun 2.

Semoga bermanfaat

Sumber: Moo Ameen

Published by
VK