Siapa tak kenal pelakon muda berbakat besar yang mula dikenali dengan watak Mukhsin ketika dia berusia 13 tahun dulu? Dialah Syafie Naswip yang kini sudahpun berusia 26 tahun. Semakin meningkat matang, lakonan Syafie tetap menjadi antara yang terbaik.
“Sebenarnya saya menganggap diri saya bertuah kerana mula-mula menceburi bidang lakonan saya bertemu dengan arwah Yasmin Ahmad. Watak Mukhsin tu adalah luck saya. Arwah yang cungkil apa yang ada dalam diri saya. Semuanya tak dirancang. Namun kini, saya perlu bergerak sendiri. Berlakon dengan kejujuran dan usaha buat sehabis baik yang boleh,” katanya.
Menurut Syafie, dia teringin keluar dari zon selesa dan melakonkan watak yang belum pernah dicuba misalnya watak antagonis. Namun dia tidak menolak naskhah yang ditawarkan. Cuma rahsianya ialah setiap nashkah yang datang itu akan dibuat dengan terbaik.
Ikut peredaran semasa
Mempunyai lebih 700,000 pengikut di laman instagram, Syafie tidak menolak pentingnya mempunyai pengikut di laman sosial. Namun itu bukanlah keutamaan baginya.
“Bagi saya, saya hanya ikut peredaran semasa. Saya buat instagram untuk kongsikan aktiviti lakonan yang saya terlibat. Follower yang ramai bukan keutamaan. Tapi lagi dekat dengan follower, lagi bagus dalam kerjaya kita. Seseorang itu follow artis yang dia suka ada banyak sebab antaranya populariti, bakat dan personal life.”
Syafie akui suka kongsikan sesuatu yang best di instagram kerana ingin mengenang momen tersebut pada hari mendatang.
“Contohnya kalau berlaku perselisihan faham dengan orang yang dekat dengan kita, bila kita scrool balik momen yang best tu, kita boleh kata buat apa kita gaduh-gaduh. Kan best kalau kita buat balik benda-benda yang best yang ada dalam instagram tu. Jadi hubungan tu tak keruh lama-lama.”
Tak sangka minyak dagu dihasilkan sebegitu
Malam ini bakal ditayangkan episod pertama Siri 13 Khurafat yang bertajuk Minyak Dagu. Pelakon muda berbakat besar, Syafie Naswip membuat penampilan khas dengan watak Jazlan. Menonton drama 30 minit ini pada preview media Jumaat lepas membuatkan Kak VK rasa seram dan meremang bulu roma dengan lelaki yang mengamalkan khurafat minyak dagu untuk memikat wanita impiannya.
“Ketika dapat skrip Minyak Dagu, saya terfikir macam mana orang boleh buat minyak daripada dagu orang yang dah mati. Tak sangka zaman sekarang masih ada benda macam ni. Tapi itulah, kepercayaan karut macam ni susah nak berubah. Jadi dengan adanya drama macam ni, orang boleh ambil iktibar. Masyarakat dah urban tapi masih percaya hal khurafat.” cerita Syafie yang menjalani tiga hari penggambaran Minyak Dagu di Kuang, Selangor.
Jadi, jangan lupa untuk tonton slot Meremang, 13 Khurafat yang dimulakan dengan episod Khurafat malam ni jam 11 malam di saluran Astro Prima dan Maya HD.
Sumber: Syafie Naswip