Tanam Cili Di Rumah Ikut Kaedah Yang Betul, Elak Tanam Terus Ke Tanah Jika Duduk Rumah Teres

Share

Pokok cili antara yang biasa ditanam di rumah. Tapi hasilnya bergantung pada cara penjagaan dan kaedah penanaman yang kita guna.

Supaya pokok cili yang ditanam di rumah subur dan berhasil ini kaedah penanaman cili yang betul untuk kita praktikkan.

1. Pilih kawasan yang sesuai
Pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak di rumah. Jika kawasan redup akan pokok menjadi tinggi daripada biasa dan saiz buah menjadi kecil.

2. Jenis tanah
Pemilihan medium penanaman cili bergantung kepada kaedah penanaman yang dipilih sama ada tanaman dalam pasu atau terus dalam tanah.

Medium untuk pasu
Medium penanaman untuk pasu yang sesuai adalah tanah campuran tiga bahagian tanah merah, dua bahagian tanah hitam dan satu bahagian pasir. Saiz pasu yang sesuai adalah 16 inci x 20 inci bagi musim penanaman enam bulan.

Sekiranya bercadang untuk musim penanaman yang lebih panjang dari enam bulan, sila guna saiz pasu yang lebih besar seperti 30 inci x 50 inci.

Medium tanam terus
Kaedah penanaman secara terus di tanah bagi kawasan rumah teres adalah tidak digalakkan kerana tanah tidak subur. Sekiranya ingin meneruskan hasrat menanam di tanah kawasan rumah teres, tanah perlu diganti dengan tanah yang baru.

3. Alih anak pokok
Pastikan tiada pokok buah-buahan seperti mangga, belimbing dan jambu berdekatan dengan kawasan tanaman. Ini bagi mengelakkan serangan lalat buah. Umur paling sesuai untuk memindah tanam anak pokok atau tanah adalah ketika anak pokok sudah berusia tiga ke empat minggu. Kelewatan memindah tanam anak pokok yang sudah cukup umur boleh menyebabkan pokok terbantut.

4. Waktu mengalih
Waktu yang sesuai pindah tanam adalah pada waktu lewat petang. Jangan pindah tanam anak pokok pada waktu tengah hari kerana pokok boleh terkena kejutan haba dan layu seterusnya mati.

5.Siraman
Waktu yang sesuai untuk menyiram pokok adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang. Pokok cili harus disiram dua kali sehari, sekiranya waktu hujan tidak perlu disiram.
Pastikan kawasan penanaman tidak menyebabkan air bertakung. Air bertakung boleh menyebabkan lembap dan menggalakkan pertumbuhan kulat.

6. Sokongan
Kayu pancang perlu dipasang ketika peringkat awal selepas pindah tanam untuk mengelakkan kerosakan pada akar sekiranya dipasang pada umur matang. Jenis kayu pancang yang sesuai adalah seperti buluh yang boleh bertahan sehingga lebih enam bulan. Pemasangan kayu pancang bertujuan untuk mengelakkan pokok rebah apabila sudah berbuah lebat.

7. Baja organik
Baja organik seperti baja tahi ayam amat sesuai diberikan kepada pokok untuk menggalakkan tumbesarannya. Sekiranya menggunakan baja kimia, pastikan mengikut kuantiti yang disarankan.
Pemberian baja kimia secara berlebihan boleh menyebabkan pokok mati kepanasan daripada baja.
Tempoh pemberian baja yang sesuai adalah setiap 10 hingga 14 hari.

8.Masalah perosak
Kehadiran semut yang banyak pada pokok cili adalah disebabkan ia menghurungi aphid atau bena putih yang terdapat di bahagian bawah daun. Gunakan larutan pencegah serangga yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti ekstrak semambu dan bawang putih.

Larutan mencegah serangga daripada bahan semula jadi mudah hilang apabila hujan. Selepas hujan berhenti, larutan haruslah disembur semula. Waktu paling sesuai untuk menyembur larutan pencegah serangga adalah pada waktu petang menghampiri Maghrib.

Tahap umur cili paling sesuai untuk dituai adalah apabila 80 peratus daripada cili yang matang sudah mencapai warna kirau (warna hijau bertukar sedikit merah).
Waktu paling sesuai untuk menuai adalah pada jam 9 pagi ke atas iaitu ketika embun sudah kering.

Sekiranya cili ingin disimpan lama, jangan basuh hasil tuaian cili. Sekiranya perlu dibasuh, harus dikeringkan segera. Selepas cili dituai, baja perlu segera diberikan pada waktu petang yang sama atau keesokan harinya bagi mengelakkan pokok tertekan.

Sumber: Berkebun Di Rumah

 

Published by
VK