Bila nak bercucuk tanam terus ke tanah, perkara utama sudah tentunya penyediaan batas. Tapi sebelum mula mencangkul tanah, eloknya kita ketahui teknik asas membuat batas. Jangan sampai dah buat siap batas baru tahu silap.
Ramai yang tak mengetahui bahawa sebelum membuat batas, kita kena perhatikan garisan gerakan matahari terbit dan terbenam supaya batas yang dibina di lokasi yang betul dan semua tanaman terkena cahaya. Info berguna ini dikongsi oleh Izzat Ibrahim.
Baru saya tahu, nak buat batas tanaman pun ada teknik. Hari ini saya belajar buat batas daripada Anas Suhaib di Kebun Komuniti Simpang Renggam.
Posting kali ini saya nak cerita perkara paling asas. Saya sudah tersilap dan sekarang saya belajar cara yang betul.
Sebelum nak mencangkul, pertama sekali kita perlu lihat di mana garisan gerakan matahari antara tempat terbit dan terbenam. Jadi batas yang nak dibuat, haruslah melintang antara garisan tersebut.
Hal ini supaya apabila pokok tanaman mulai tumbuh, tidak ada pokok yang terhalang daripada mendapat cahaya matahari antara satu sama lain.
Jika perhatikan bayang kanak-kanak yang berdiri, keseluruhan batas ini mendapat pencahayaan yang sama rata.
Sebelum ini saya melakukan kesilapan. Kalian perhatikan batas di bahagian belakang. Kedudukannya menegak ikut kedudukan pelan tanah. Semasa saya buat batas tersebut, saya hanya memikirkan tentang kekemasan dan nampak teratur.
Apa akibatnya nanti? Tumbuhan di depan atau di tengah akan mendapat pencahayaan yang lebih. Akhirnya dia akan membesar dengan baik dan menghalang tumbuhan lain daripada mendapat cahaya matahari.
Logik alam ini berlainan dengan logik kebiasaan manusia. Apabila manusia mahu bekerja untuk alam, perlu ada pengetahuan tentang bagaimana alam itu sendiri berfungsi. Barulah alam akan bersahabat baik dan bantu kita. Kerja juga akan menjadi lebih ringan.
Begitulah.
Semoga bermanfaat
Sumber: Izzat Ibrahim Shamjuddin