Teknik Elak Rumput & Lalang Tumbuh Guna Kotak & Kertas. Cara Dikongsi Lelaki Ini Memang Jimat Masa, Tenaga & Duit

Share

Rumput dan lalang yang tumbuh antara masalah bagi yang suka berkebun atau ada kawasan lapang di rumah.

Supaya tak sakit mata memandang kita kena habiskan masa dan wang untuk potong atau meracun rumput dan lalang ini. Jika kita selalu buat rutin ini apa kata ikut pula kaedah yang dikongsi oleh Akmal Al Yahya.

Rupanya ada teknik mudah untuk kawal rumput dan lalang ini dari tumbuh, caranya cuma guna kotak dan kertas rincih yang boleh kita peroleh secara percuma. Langkahnya boleh ikut perkongsian Encik Akmal ini.

Kawal rumput & lalang guna kotak dan kertas rincih

Sejak mula berkebun, kami mendapati banyak masa dan tenaga yang digunakan hanya untuk mengawal rumput dan lalang di sekitar Kebun Lokal.

Penggunaan kotak dan kertas yang telah dirincih, inspirasi dari Amalan Permaculture yang dilakukan ini kami dapati lebih jauh menjimatkan serta lebih praktikal.

Dua bahan ini, kami dapatkan secara percuma tanpa menggeluarkan apa-apa modal, kecuali kami hanya laburkan pada tenaga dan masa.

1. Letak kotak sebagai lapisan pertama

Sebelum itu gemburkan tanah sedikit dan ratakan bagi memudahkan kotak untuk disusun dan rapat ke tanah.

Setelah lapisan kotak dibentang ke atas tanah, kami siram dengan air dan mampatkan ke tanah. Lapisan kotak tadi, disiram sehingga lencun dan dimampatkan lagi ke tanah.

2. Tabur kertas yang dirincih untuk lapisan kedua

Proses itu diulang bagi lapisan kedua iaitu kertas yang telah dirincih seperti di gambar.
Kertas rincih ini diratakan pada keseluruhan tanah yang telah dilapiskan oleh lapisan kotak tadi. Kemudian disiram sehingga lencun dan juga dimampatkan ke tanah.

3. Proses ini dipanggil sebagai Mulching / Sungkup

Mulching di Kebun Lokal telah mencapai 3 inci tebalnya. Saya pernah melakukan sedikit eksperimen pada awal tahun lepas, di mana kami taburkan benih-benih selasih. Tanpa perlu kami siram, ianya tumbuh dengan jayanya dan terpaksa pula dialihkan ke dalam plot tayar terpakai.

4. Kemudian tabur daun kering

Setelah lapisan kertas rincih tadi diletakkan dan dimampatkan, baru lah lapisan paling atas kami letakkan iaitu dedaun kering separa kompos.

Lapisan sungkup ini akan membantu kami di tanah untuk memegang kelembapan agar tidak hilang dari tanah jika hari terlalu panas dan melindungi tanah dari terhakis jika pada hari hujan yang terlalu lebat.

Jika dilihat semula tiada rumput atau lalang mampu tumbuh sehingga menembusi lapisan sungkupan ini.

5. Kelebihan sungkupan untuk tanaman

Hasil dari lapisan sungkupan ini akan membantu kami menyediakan kediaman bagi satu bakteria yang bernama MYCHORIZZA. Bakteria ini boleh di dapati di sekitar akar yang mana mereka menjadi penghubung kepada nutrient yang ada di tanah dengan akar.

Lebih banyak MYCHORIZZA, maka lebih baik penyerapan nutrients mampu tanaman manfaatkan.

6. Kertas rincih juga boleh buat kompos

Selain dijadikan sungkupan, kami juga menggunakan Kertas Rincih untuk dijadikan kompos. Jika tuan/puan ada yang membela cacing, kertas rincih ataupun kotak juga digunakan sebagai salah satu bahan makanan cacing.

Lazimnya dedaun kering di letakkan di bawah lapisan kertas rincih ini. Setiap minggu timbunan kompos ini akan dibolak balikkan bagi tujuan pengudaraan.

Untuk lebih jelas boleh juga tonton video ini.

Semoga bermanfaat.

Artikel ini disiarkan atas keizinan penulis. Posting asal boleh klik di SINI.

 

Published by
VK