Cara Masak Butter Prawn Dengan Sarang Halus Macam Makan Di Restoren Seafood

Share

Ramai yang cuba buat udang mentega atau butter prawn di rumah tapi masalahnya sarangnya selalu tak menjadi macam yang kita makan di restoren. Tak halus.

Lepas boleh cuba lagi, kali ini ikut teknik yang dikongsi oleh Marina Ismail ini ya. Yang penting katanya guna senduk bulat, kuning telur tuang tinggi.

Udang goreng mentega dengan sarang telur

Bahan Sarang Telur

2 biji kuning telur
1 senduk butter
1senduk minyak masak

Cara membuat:

1.Pukul kuning telur. Panaskan butter dengan minyak masak. Guna senduk bulat tau. Bila minyak dalam kuali tu dah betul-betul panas, pusing pusingkan minyak dengan senduk laju-laju bentuk bulatan sehala, jangan berhenti.

2.Kemudian tuang kuning telur tadi, tuang tinggi ya supaya bancuhan telur jatuh dalam kuali halus saja. Maintain pusing minyak dengan senduk laju laju dan tuang sampai habis. Jangan berhenti pusing senduk sampai telur masak warna keemasan.

3. Dah masak, tuang dalam tapis besi untuk toskan minyak.

Bahan Udang Butter:

500gm ekor udang
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk goreng
3-4 ulas bawang putih – dicincang
6-8 tangkai cili padi – hiris
4 tangkai daun kari
1/4 cawan susu cair
Sedikit butter untuk tumis
Sedikit serbuk lada sulah

Cara membuat

1. Memula goreng dulu udang yang dah gaul dengan garam dan lada sulah hingga berubah warna dan masak. Jangan goreng lama sangat nanti udang tu akan mengecut sangat dan jadi tak cantik selain keras bila makan. Angkat, toskan. Keluarkan minyak dari kuali.

2. Panaskan butter dalam kuali, tumis bawang putih, cili padi dan daun kari sampai garing dan naik bau.

3. Masukkan susu cair dan masak sekejap. Masuk pulak udang yang dah goreng tadi, sedikit serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Jangan bubuh banyak sangat garam sebab butter dah ada masin.

4. Dah masak semua, masuk dalam pinggan dan tabur sarang atau floss telur yang buat tadi. Dengan pantas dah siap. Senang kan.

TIP

  • Boleh juga letak telur dalam plastik dan buat lubang yang kecik atau letak dalam acuan roti jala untuk lebih senang tuang ke dalam kuali supaya lebih halus.
  • Sentiasa kacau minyak secara membulat dengan senduk masa tuang telur dalam minyak supaya sarang telur jadi halus cantik.
  • Jangan goreng udang terlalu lama untuk elakkan udang keras.

Sumber: Marina Ismail

Published by
VK