
Sekarang musim durian, selain makan begitu saja ia juga sedap dimakan bersama pulut tanak dan kuah santan.
Cumanya bila buat pulut tanak ini ada yang berdepan masalah pulut keras, patah dan melekat pada periuk.
Untuk hasilkan pulut tanak yang cantik, tak patah dan berkerak ada tekniknya. Bagi yang belum mahir boleh guna cara yang dikongsi Naimah Kasim.
Teknik masak pulut tanak supaya menjadi cantik, tak patah
1. Basuh beras pulut, (tak perlu rendam).
2. Letakkan air dalam periuk macam masak nasi, lebih pun tak mengapa.
3. Biarkan mendidih, jangan kacau langsung supaya pulut tak hancur.
4. Bila dah mendidih kuat, perlahankan api dan keluarkan air tadi hingga tinggal sikit saja (paras atas sikit saja dari pulut). Tutup periuk dan guna api perlahan.
5. Dalam beberapa minit saja pulut akan masak elok. Pulut cantik dan tak patah.
Pulut tanak ini boleh dimakan bersama durian ataupun mangga.
Cara buat kuah santan
– Masak santan atas api yang perlahan. Boleh masukkan tepung jagung untuk pekat serta gula dan garam secukup rasa serta daun pandan untuk wangi.
– Kacau selalu supaya tak pecah minyak.
INFO: Cara orang tua masak kuah santan dulu-duly guna santan segar dari kelapa yang dikukur dan letak garam saja tak perlu masak.
Cara Buat Bihun Goreng Kicap Yang Cantik Berkilat & Sekata Warnanya. Tiada Rencah Tapi Tetap Sedap

Bihun goreng kicap, kosong saja tapi tetap sedap. Selalunya mak-mak memang pandai buat macam ni. Warna bihun pun elok saja berkilat dan sekata gelap.
Usah musykil lagi, cara buat bihun kosong ini ada dikongsi oleh Yatie Kitchen.
Tip buat bihun goreng kosong yang sedap, berkilat, warna sekata
Bihun Goreng Kosong, takde daging, takde sotong, takde udang, takde ayam. Hanya ada udang kering semata, sayur pun takde. Tabur daun bawang atas saja. Syukur alhamdulillah.
Meh saya beritau tip macam mana nak bagi bihun goreng cantik berkilat elok. Rahsianya masuk kicap dalam tumisan, kicap campur dengan minyak, bihun jadi berkilat elok. Jangan tuang kicap pada bihun last sekali nanti bila gaul bihun jadi tak sekata warnanya.
Resipi bihun kosong Yatie Kitchen
1. Tumbuk halus bawang merah, bawang putih dan udang kering
2. Panaskan minyak dalam kuali, pecahkan 2 biji telur dan hancurkan dalam kuali. Ketepikan.
3. Guna minyak yang sama, masukkan bahan tumbuk bersama dengan cili kisar.
4. Kemudian masukkan sos cili, sos tiram dan sos tomato. Masukkan juga kicap manis, garam,gula dan mushroom seasoning. Gaul rata
5. Masukkan bihun yang sudah direndam dan gaul hingga rata bersama dengan telur hancur tadi.
6. Letak sedikit lada putih dan gaul lagi gunakan penyepit supaya bihun tak putus.
7. Bila bihun sudah masak, taburkan daun sup.
Selamat mencuba.
Sumber: Yatie Kitchen
Petua Cuci Siput Sedut Sebelum Buat Masak Lemak. Keluar Semua Lumpur & Tak Berlendir

Makan masak lemak siput sedut memang sedap cuma bila nak masak kena tahu cara betul untuk bersihkan siput ini. Kalau tak mungkin akan ada rasa pahit, rasa lumpur dan berlendir.
Sebab itu kena belajar petua ini. Dikongsi oleh Intan Suraya Haron beliau menurunkan petua yang digunakan untuk membersihkan siput sedut sebelum dimasak. Paling penting kena sediakan kelapa parut.
Petua cuci siput sedut sebelum masak lemak
Sebelum ini nampak ada yang bertanya pasal siput sedut, kebetulan masak siput hari ini, jadi bolehlah share tip dan petuanya.
1) Beli siput ini petang, bawa balik masukkan dalam periuk. Gaulkan siput sedut ini dengan hampas kelapa dan biar semalaman (santannya simpan utk masak gulai nanti). Siput ni tak perlu basuh dulu pun.
INFO: Bila dah digaul dengan hampas kelapa siput ini akan muntahkan segala kotoran, lumpur dan lendir yang ada. Siput akan jadi bersih dan bila buat gulai rasanya pun lebih sedap. Kuah juga akan elok cantik.
2) Selepas gaul dengan hampas kelapa jangan lupa tutup dengan penapis rapat-rapat. Saya tindih dengan lesung batu.
3) Esoknya sebelum cuci, kerat hujung ‘bontot’ siput tapi jangan pendek sangat, takut susah nak sedut. Saya kerat guna cutter.
4) Selepas itu cuci bersih dan boleh terus dimasak. Kalau ada daun pucuk ubi, semasa cuci siput boleh sental supaya kekotoran di badannya senang tanggal. Kalau takde pun takpe, saya sental dengan span cuci pinggan saja.

5) Untuk buat masak lemak cili api, saya guna resepi biasa saja. Tumbuk cili api, kunyit hidup, serai, daun kunyit. Kalau ada keladi lagi lah sodap.
Renehkan sekejap, terus masukkan siput kacau jangan bagi pecah minyak. Agak-agak dah menggelegak 2- 3 minit boleh tutup api. Siap untuk dihidang. Saya lawan dengan lauk ikan kerisi goreng, sambal tempoyak & ulam-ulam.
Selamat mencuba.
Sumber: Intan Suraya Haron
Kalau Beli Online Tapi Terima Barang Rosak Jangan Terus Redha. Buat Tuntutan Ikut Langkah Yang Dikongsi Peguam Ini

Isi Kandungan
Toggle
Pembelian secara talian atau online memang sudah tak asing lagi dengan kebanyakan kita. Segalanya boleh dibeli di hujung jari saja.
Tapi ikut nasib juga, ada masa kita menerima barangan yang dibeli secara online ini dalam keadaan tidak memuaskan hati. Pecah, rosak, tidak boleh berfungsi dan sebagainya.
Memandangkan urusan pembelian online ini biasa dibuat maka ada baiknya kita tahu langkah yang perlu dilakukan sekiranya menerima barang yang dibeli dalam keadaan sebegini.
Peguam Nor Zabetha yang melalui sendiri pengalaman ini berkongsi apa yang perlu kita lakukan.
Pengalaman terima TV retak
Jumaat lepas saya ada terima bungkusan dari Lazada untuk pembelian Smart TV Samsung 49 inci, harga termasuk dengan penghantaran adalah RM1,607.00.
Kalau barangan bersaiz besar begini, saya memang yakin dengan Lazada sebab sebelum ini sudah pernah beli TV bersaiz besar untuk rumah saya, rumah emak saya dan untuk kegunaan pejabat. Tidak pernah ada isu dan penghantaran cepat dan selamat dengan harga yang berpatutan. Memang puas hati.
Tiba-tiba kali ini saya terima TV tersebut sudah pecah di bahagian kiri. Pecah, retak dibelakang TV dan skrinnya juga sudah retak. Jadi sebagai pengguna, saya akan mendapatkan hak saya semula. Saya kongsikan cara-caranya.
Langkah 1
Masuk aplikasi Lazada anda dan lihat di bahagian akaun anda. Pergi ke bahagian senarai pesanan barang ‘View all Orders’.
Langkah 2
Pergi ke barangan yang dipesan tetapi rosak dan tekan ‘return’. Nyatakan komen dan masukkan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari penjual atau pekedai yang menjualkan barangan dari Lazada.
Pada peringkat ini penjual yang akan memberi maklum balas. Penjual akan memutuskan sama ada akan pulangkan atau tidak atas alasan.
Memandangkan aduan dibuat hari Sabtu, jadi masa menunggu saya 5 hari. Sama ada akan dipulangkan atau tidak. Saya pun tunggu. Sehinggalah semalam, saya mendapat jawapan yang penjual ENGGAN untuk menerima semula barangan yang rosak ini atas alasan kesilapan dari syarikat penghantar dan bukan penjual.
Langkah 3
Selepas terima maklum balas teesebut. Lihat dibahagian yang ditulis ‘Request Rejected’. Tekan perkataan tersebut.
Langkah 4
Anda akan lihat ‘view decline reason’ dan ‘dispute’. Tekan dahulu view decline reason, lihat jawapan mereka. Sama ada munasabah atau tidak. Bagi kes saya, pihak penjual menyalahkan syarikat penghantar.
Langkah 5
Tekan perkataan dispute (pertikaian) dan pilih sebab-sebab pertikaian dalam senarai pilihan. Kemudian sekali lagi nyatakan komen dan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari Customer Service Lazada.
Dalam proses ini kita perlu tunggu. Sama ada mereka akan benarkan untuk kita memulangkan barangan dan mereka membayar semula wang kita.
Kalau syarikat enggan terima barang
Jadi sebagai langkah persediaan awal, andai kata mereka enggan menerima barang tersebut dan memulangkan barangan kita. Saya telah bersedia dengan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mendapatkan nama penuh syarikat pembelian online, alamat dan nombor syarikat.
2. Mendapatkan nama penuh syarikat penjual, alamat dan syarikat.
Butiran 1 dan 2 ini perlu untuk saya teruskan kepada nombor 3.
3. Merangka saman bagi tuntutan kecil di mahkamah bagi menuntut semula nilai kerugian. Sebenarnya boleh juga adukan kepada tribubal pengguna tetapi memandangkan saya selalu ke mahkamah, saya akan memfailkan di mahkamah. Lebih mudah untuk saya.
4. Menuntut sehingga saya berjaya mendapat hak saya.
Kita ini pengguna. Jangan kita berdiam diri tidak kiralah sama barangan bernilai puluhan ringgit atau ribuan ringgit, sekurang-kurangnya kita lawan. Kuasa pengguna. Zaman ini, zaman pengguna, hak kita akan didengar. Tidak macam dulu, kalau mengadu pun tiada siapa ambil tahu.
Kalau saya mendapat maklum balas dari khidmat pelanggan, saya akan maklumkan. Manalah tahu mereka hendak dengar aduan saya. Sebelum ini tidak pernah timbul isu.
Disaran periksa barang sebelum tandatangan
Dalam pada itu disarankan juga agar kita memeriksa barangkan yang diberi sebaik menerimanya. Periksa barang sebelum menandatangi borang.
Sekiranya barang rosak ketika penghantaran, pengguna boleh meminta syarikat tersebut memulangkan barang tersebut tanpa caj.
Sumber: Nor Zabetha