Dekat nak raya ni orang perempuan memang bersemangat nak buat kuih raya. Resipi pun dah banyak yang disimpan malah dah ada pun yang mula buat biskut raya.
Tak jadi hal bagi mereka yang dah ada oven di rumah, namun bagi yang tiada sedikit sebanyak akan membantutkan semangat.
Tapi orang perempuan ni kreatif, ada saja yang ideanya. Kalau tiada oven, biskut raya boleh saja dibakar biskut atas dapur gas. Malah kejadian biskutnya elok saja.
Cara ini dikongsi oleh Suhaila Sue. So untuk korang yang tiada oven boleh ikut cara ini untuk buat kuih sendiri.
Bakar dalam kuali
Pertama kali mencuba, menjadi juga semperit saya. Bakar dalam kuali atas dapur gas. Cara-caranya:
1. Letak kuali atas dapur gas.
2. Buka api separuh kemudian tutup kuali guna penutup untuk dipanaskan. Biar dalam 10 minit.
3. Apabila kuali sudah panas letak loyang berisi kuih di dalamnya. Tak perlu lapik.
4. Pastikan tutup kuali dan bakar selama 25 minit menggunakan api perlahan sama macam bakar biskut menggunakan ketuhar.
Elok hasilnya
Menurut Suhaila, cara ini bukan saja digunakan untuk membakar biskut tapi juga kek dan roti.
Resipi biskut semperit susu
Resipi biskut semperit susu yang digunakan Suhaila pula adalah seperti berikut:
1/2 cawan planta
1/2 cawan susu pekat
2 cawan tepung jagung
4 sudu besar tepung kastad.
Gaul semua sebati.Bentukkan dan bakar 25 minit atau dapur gas.
Sumber: Suhaila Sue
Hati-hati Pilih Oat Untuk Turunkan Berat, Nampak Sama Tapi Ada Yang Tinggi Gula
Bagi mereka yang nak turunkan berat badan, oat selalu jadi makanan pilihan walaupun tak sedap rasanya. Sebabnya ia adalah makanan yang mengenyangkan tapi pada masa yang sama dikatakan tidak akan menaikkan berat.
Tapi masalahnya sekarang ada pelbagai jenis oat yang dijual di pasaran salah pilih usaha diet dengan oat boleh jadi sia-sia. Lebih serius, kadar gula dalam darah pulak yang nak mencanak seperti info perkongsian daripada Dr Hafiz Sulaiman.
Bagi anda yang mengamalkan oat, sila ikut panduan daripada doktor ini.
Jenis-jenis oat, sama tapi tak serupa
Dah lama nak buat perkongsian berkenaan perbezaan oats ini. Hari ni saya sempat curi masa pergi Tesco tengok label produk oats untuk kepastian dan rujukan.
Ada beberapa jenis yang popular, Instant, Quick dan flavoured. Bagi yang diet untuk kurus dan sihat, pemilihan jenis oat yang sesuai mungkin memberi impak yang berbeza dengan ketara.
Saya merasa perlunya membuat perkongsian ini kerana terdapat nasihat kurang tepat tentang perkara ini. Pengambilan “instant oats” dan “quick oats” dikatakan sama sahaja kesannya kepada kesihatan.
Jika dilihat kandungan jenama oats popular, kandungan nutrisi pada label Instant dan Quick Oats adalah sama 100%. Tiada beza langsung. Adakah kandungan di dalamnya berbeza tapi tak dinyatakan?
Saya tidak rasa begitu. Kandungannya adalah 100% oats tanpa pengawet dan tanpa aditif tambahan. Maka apakah impak pada kesihatan adalah serupa antara kedua jenis oat ini? Tidak tuan puan. Ini yang dikatakan sama tapi tak serupa.
Beza antara instant oats dan quick oats ialah kaedah pemprosesannya
Instant oats merupakan oat yang paling banyak diproses. Ia sudah sedia masak, dikeringkan, digelek dan dilenyek sangat nipis. Maka teksturnya sangat halus dan berkrim apabila bercampur dengan air panas. Oat jenis segera ini boleh terus dimakan!
Quick oats pula ialah oat instant yang dipotong kurang nipis berbanding instant oat. Maka ia perlu dimasak seminit dua.
Rolled oats merupakan oat yang sudah digelek namun belum dimasak . Rolled oats juga dipotong lebih tebal. Maka ia perlu dimasak selama lebih kurang 5 minit. Ia juga dipanggil oat “peseng lama” oleh orang Terengganu . Beginilah caranya oat dimakan oleh orang putih zaman dahulu kala. Potong halus dan gelek, lepas tu masak atas dapur.
Oat yang paling kurang diproses ialah oat jenis “steel cut”. Oat jenis ini dipotong kasar-kasar daripada bijirin oat yang dipanggil oat groat. Bila dikunyah rasanya kenyal dan kekacangan sedikit perisanya.
Apabila diperhatikan pemprosesannya adalah secara fizikal semata tanpa bahan aditif apatah lagi bahan kimia. Kandungan nutrisi di dalam kesemua jenis oats masih sama walaupun berat semuanya sama.
Namun begitu, perbezaan paling besar yang memberi impak kepada kesihatan ialah “KADAR PENYERAPANNYA.” Semakin halus sesuatu oatmeal, semakin cepat penyerapannya ke dalam badan. Walaupun jumlah serat di dalamnya sama.
Awas kadar gula oats instant, boleh mencanak naik gula darah!
Steel cuts paling kurang diserap menjadi gula ke dalam darah. Rolled oats lebih mudah diserap.
Akhirnya quick oats dan instant oats paling senang diserap ke dalam darah sebagai gula.
Makan oats instant (dan quick) dari sudut kadar penyerapan gula adalah lebih dahsyat daripada minum air Coke dan Fanta berdesup gula darah naik mencanak!
Oats instant punyai indeks glisemik yang sangat tinggi. Rujuk indeks glisemik dari Universiti Harvard. Lebih tinggi indeks glisemik, lebih tinggilah penyerapannya ke dalam darah sebagai gula.
Tinggi gula dalam darah bukan sahaja bahaya kepada pesakit kencing manis, tetapi juga meningkatkan KERADANGAN..sakit sendi, sakit jantung, kanser, buah pinggang dan banyak sistem dalam badan jadi punah sebab gula darah tinggi.
Ingat oat segera, ingat gula
Gula tinggi dalam darah juga sebenarnya punca kegemukan. Lemak badan tak jadi kembang sebab makan banyak makanan berlemak. Tetapi lemak badan makin berkumpul dengan pengambilan gula berlebihan.
Macam mana nak sukat pengambilan gula berlebihan atau tidak ni. Senang saja tuan-tuan puan puan. Selagi boroi dikandung badan, selagi itulah maknanya gula/karbohidrat dalam diet kita masih berlebihan.
Ironi sebab orang takut makanan kolesterol dan berlemak sebab takut gemuk, walhal ia bukan penyebab kegemukan yang saintifik. Tetapi gula tinggi hasil daripada pemakanan tinggi indeks glisemik seperti instant oat inilah yang menyebabkan kita jadi semakin lapar, ketagihan makanan dan mengganggu aktiviti metabolik (hormon, biokimia) badan.
Ingat oat segera, ingat gula. Lupakan saja badan kurus atau sihat kalau masih ambil oats. Serat larut atau tidak, ia tidak akan “meneutralkan” kesan toksik gula berlebihan di dalam darah. Jangan buat kelakar.
Jangan termakan dengan fakta serat tinggi dalam instant oat bagus untuk jantung. Semua itu sudah diukur melalui indeks glisemik ya. Serat larut itu bagus untuk kesihatan jantung, tetapi gula berlebihan lebih bahaya untuk jantung. Pengeluar tak tipu dengan kata kandungan serat kesemua oat itu sama. Namun, pengeluar tak cerita pulak penyerapan gula dalam badan jadi tinggi!
Makanlah rolled oats
Bukan kata tak boleh makan oats. Makan lah rolled oats. Jika rajin, boleh cari steel cuts, kalau sanggup boleh makan oat groat itu boleh jadi lebih baik. Mungkin tidak hehe… Saya akan ceritakan lagi mengenai oats sebab ramai orang kita sukaa sangat oats ini.
Update: Cadangan pakar diet Tuan Hafiz Rosli yang sangat bernas. Jika nak kurangkan peningkatan gula darah apabila makan oat instant, jangan biarkan kosong. Kurangkan kuantiti dan tambahkan susu atau buah tinggi serat insha Allah lebih kenyang dan gula lebih cantik. Terima kasih atas cadangan bernas tuan.
Untuk pengetahuan tuan puan, pengambilan lauk lemak haiwan dan serat dalam sayuran juga mengurangkan penyerapan nasi putih sebagai gula dalam darah.
Update: Bagi yang ada masalah angin/GERD/alahan dan alergi/kembung dan dapat reaksi lepas makan oats, rolled oats mungkin beri reaksi lebih teruk. Pulihkan dulu perut. Kaedah pemakanan pemulihan di sini.
Pilihlah yang lebih selamat ya. Dah nenek moyang makan nasik, korang nak makan oats pulak!
Sumber: Dr Hafiz Sulaiman
Mee Goreng Lada Hitam, Masak ‘Campak-Campak’ Saja Tapi Serius Sedap!
Mee goreng ini boleh kata nostalgia. Mungkin dah lama tak makan atau ada juga yang tak pernah rasa. Mee goreng merico atau mee goreng lada hitam.
Ini mee goreng stail orang Jawa, makan kosong pun sedap atau dihidang bersama dengan nasi ambeng. Cara masak pun senang sangat, orang kata masak ‘campak-campak’ saja. Tak perlu kisar bahan pun. Tumbuk lada hitam saja kemudian masuk semua dalam kuali.
Bagi yang nak cuba boleh ikut resepi yang dikongsi oleh Azlina Ina.
Mee goreng merico (lada hitam)
Bahan-bahan:
Mee kuning
1 labu sederhana besar bawang besar
3 tengkai cili besar- hiris serong
5 tangkai cili padi -hiris
3 ulas bawang putih -hiris
3 sudu besar lada hitam – tumbuk kasar (boleh guna serbuk lada hitam tapi rasa kurang kaw)
Sos cili
Kicap lemak manis
Garam dan serbuk perasa
Bahan lain
Isi ayam – potong dadu
Fish cake potong dadu
Telur 2 biji
Sawi
Taugeh
Tomato dibelah
Cara membuat:
1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan yang dihiris kecuali lada hitam. Bila dah layu masukkan ayam dan fishcake.
2. Bila ayam dan fishcake dah masak ketepikan semua, pecahkan telur. Kacau hingga rata dan masukkan mee yang dah direndam dengan air suam. Masukkan juga lada hitam dan gaul rata.
3. Tambah 2 sudu besar gula dan kacau rata. Tambah 7-8 sudu besar sos cili dan
gaul. Seteruskan tambah kicap lemak manis dan sedikit air.
4. Biar seketika supaya semua bahan diserap sebati dengan mee. Kemudian baru tambah garam dan serbuk perasa.
5. Akhir sekali masukkan sayur dan gaul rata. Dah siap boleh makan.
Selamat mencuba.
Sumber: Azlina Ina.
Cara Buat Kuih Gunting Yang Sedap, Pedas Rangup. Tip Mudah Gunting, Doh Kena Panaskan Dulu
Walau ada banyak kuih moden tatkala raya tapi biasanya kuih lama tetap juga jadi pilihan kita. Salah satunya kuih gunting ini.
Rangup, pedas-pedas manja memang buat kita ralit memakannya. Tak sedar habis sebekas. Ini memang penangan kalau makan kuih gunting.
Kuih gunting ini lagi sedap kalau dibuat sendiri, supaya rasa pedas dan masinnya ikut cita rasa sendiri. Kelebihan buat kuih ini, boleh minta anak-anak pun boleh tolong terutama bahagian menggunting.
Jika nak buat sendiri boleh ikut perkongsian Salmah Hj Hassan.
Cara buat kuih gunting
Bahan-bahan :
1 kg tepung gandum
250 gm marjerin
1 biji telur
1 kiub ikan bilis
Minyak
Daun kari – dipotong
Bahan dikisar:
100 gm bawang merah
50 gm bawang putih
50 gm ikan bilis
50 gm udang kering
Cili kering (kuantiti agak-agak saja)
10 gm garam
10 gm serbuk perasa
200 ml air untuk mengisar
Cara-cara :
1. Tepung diramas dengan marjerin, masukkan telur.
2. Masukkan bahan kisar. Uli hingga rata, lalu masukkan daun kari yg telah dipotong.
3. Uli hingga doh tidak melekat lagi pada jari. Doh tidak terlalu lembik dan terlalu keras.
4. Bahagikan atau bulat-bulatkan doh supaya senang dicanai dengan kayu giling. Canaikan doh.
4. Panaskan sekejap doh yang sudah dicanai dalam kuali non stick tanpa minyak. Tujuannya supaya doh keras dan mudah digunting. Sejukkan.
6. Kemudian boleh dipotong/digunting doh seperti pada gambar.
7. Goreng dalam minyak yang banyak.
8. Tos dengan tisu untuk serap minyak.
Selamat mencuba.
Sumber: Salmah Hj Hassan