
Lauk ikan masak cuka ini memang jarang jumpa sekarang. Kalau teringin nak makan memang kena buat sendiri sebab tak banyak restoren yang hidang lauk ini.
Jadinya jika terasa nak makan, kenalah belajar masak sendiri. Cara dan tip supaya ikan masak cuka ini sedap boleh ikut perkongsian Norizah Saad.
Cara buat ikan masak cuka jadi lagi sedap
Arwah mak pesan kalau buat masak cuka ikan kena letak bawang merah dan bawah putih yang kecik-kecik.
Setengah orang panggil masak cuka ada yang panggil jeruk ikan. Apa pun ia makan selera dimakan dengan nasi panas. Masakan ni kena masak hari ni esok makan lagi sedap. Nak buat? Senang saja.
Bahan-bahan:
2-3 ketul isi ikan ketul (sedap kalau guna ikan tenggiri atau ikan merah)
10 ulas bawang kecil (pilih ulas/saiz yang halus)
5 ulas bawang putih
6 biji cili padi
1 camca biji sawi
sikit halia
2 camca cuka makan
Garam & gula secukup rasa
Sikit minyak untuk menumis
Cara masak
1. Ikan digaul sikit kunyit & garam kemudian goreng. Tapi jangan garing sangat.
2. Kemudian panaskan sedikit minyak dalam periuk, dan tumis biji sawi.
3. Masukkan sekali bawang merah kecil dan putih. Tumis lagi hingga naik bau.
4. Kemudian masuk 1/2 cawan air diikuti dengan cuka, garam, gula serta cili padi.
5. Biarkan merenih sekejap kemudian masukkan ikan tadi. Biar seketika supaya ikan sebati dengan kuah kemudian bolehlah diangkat. Siap.
Selamat mencuba.
Sumber: Norizah Saad
Cara Selesaikan Masalah Tanah Pusaka Ada Banyak Nama Dengan Bahagian Makin Mengecil

Tanah pusaka sering jadi isu terutama kalangan adik beradik, pada masa yang sama sering juga dilengah-lengahkan urusannya. Tambah lagi kalau tanah pusaka ada di kampung dan banyak nama yang nak dibahagi, dengan bahagian makin kecil.
Bagi yang berdepan masalah ini berikut adalah cadangan dari peguam allahyarham Salkukhairi Abd Sukor untuk menyelesaikannya. Jangan sampai berbalah sesama adik beradik kerana perihal tanah.
1. Isu bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia adalah isu yang banyak dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.
2. Apabila penama asal meninggal dunia, bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka.
3. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.
4. Keadaan ini akan menyukarkan proses untuk mengurusniagakan dan membangunkan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian.
5. Ini kerana untuk melakukan sesuatu urusniaga atau membangunkan tanah tersebut, persetujuan daripada setiap penama adalah diperlukan.
6. Proses untuk mendapatkan persetujuan tersebut akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama yang tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya.
7. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja. Masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.
Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Di sini saya gariskan beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan:
I. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA)
Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut.
Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.
Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebakan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.
II. Semua penama jual bahagian masing-masing
Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan dan banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut. Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.
Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan SNP dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.
Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.
III. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak.
Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahgaikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.
IV. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan
Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh JV dengan pemaju yang dipercayai.
Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual.
Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahgaikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah rumah tersebut.
8. Walau apapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ianya mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.
9. Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut di atas amatlah diperlukan.
10. Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh jauh. Jangan fikir untuk untang jangka masa pendek sahaja.
11. Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding masing-masing berbalah soal berebut hak masing-masing terhadap bahagian masing-masing yang sekangkang kera tersebut.
Sumber: SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Teknik Tanam Terus Pokok Sayur Dalam Beg Tanah, Lagi Mudah & Jimat. Ini Caranya

Ramai yang suka bercucuk tanam apatah lagi kalau ada kaedah yang mudah dan jimat untuk dipraktikkan. Lagi bersemangat nak tanam sayur!
Antara cara mudah yang dikongsi oleh netizen untuk tanam sayur adalah tanam terus dalam beg tanah.
Cara tanam sayur terus dalam beg tanah RM10
Tanam sayur cara ini mudah dan jimat. Sebab tak perlu buat batas. Boleh tanam sayur sebatas tanpa perlu beli pasu atau kawasan luas.
Potong bahagian atas bentuk kotak. Lipat bahagian atas sebagai penutup. Setengah jam dah siap semua. Jimat masa dan tenaga untuk orang muda berkebun.
Tekniknya
- Cucuk bahagian bawah beg plastik cucuk untuk buat lubang, lebih kurang dalam 30 lubang. Ia supaya akar serabut dapat turun ke bawah dan tahan lebih lama jika kurang disiram.
2. Pastikan bila potong petak pembukaan atas, ada lebih dalam 2-3 inci dari tepi supaya tanah tak keluar kalau hujan.
3. Plastik akan mereput dalam 1 tahun, kemudian boleh guna balik tanah. Ada lebih banyak organic matters.
4. Dulu saya buat tebuk lubang bulat-bulat dalam 9 lubang satu beg, tapi rasa tak perlu kot, rugi kawasan. Boleh potong terus untuk bukaan atas dan tanam pokok rapat-rapat.

5. Boleh semai terus biji benih dalam beg tanah, kalau naik terlalu rapat boleh jarakkan.
Jom bercucuk tanam, ada hasilnya
Sumber : Matt Pucuk Tunas Garden
Elak Terkena Renjatan Elektrik Ketika Banjir, Ini Tip Keselamatan Kena Tahu

Isi Kandungan
ToggleKejadian renjatan elektrik selalu berlaku ketika banjir, malah beberapa hari lalu turut dilaporkan di Kelantan yang melibatkan kematian seorang lelaki.
Wayar-wayar elektrik yang ditenggalami air di rumah dan tak nampak di mata kita boleh mendatangkan bahaya. Oleh sebab itu kita memang kena berhati-hati dan paling penting kena tahu langkah keselamatan elektrik di musim banjir untuk mengelakkan terkena bahaya renjatan.
Berikut ini adalah antara tip keselamatan elektrik semasa dan selepas banjir yang perlu kita praktikkan jika kediaman ditenggelami air.
Sebelum banjir
-SIMPAN kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.
-LAPORKAN segera kepada TNB jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya.
-PASTIKAN menyimpan nombor telefon untuk hal-hal kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital, pejabat TNB yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan
Semasa banjir
-ELAKKAN berenang atau meredah air di kawasan yang mempunyai talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam di mana kadar penglihatan tidak begitu jelas.
Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.
-JAUHKAN diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.
-JANGAN menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.
-DILARANG menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian.
-JANGAN hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.
-JANGAN mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan hendaklah laporkan segera kepada pihak pemegang lesen/utiliti (TNB) sekiranya terdapat kejadian tersebut.
-JANGAN menggendalikan peralatan elektrik atau memetik suis elektrik dengan tangan yang basah atau semasa berdiri dalam air.
-SEKIRANYA ternampak individu terkena renjatan elektrik akibat terkena talian elektrik, jangan sekali-kali menyentuhnya atau cuba membantu mengalihkan talian elektrik tersebut.
– AWASI anak-anak. Usah biarkan mereka bermain di dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang patah atau disekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di atas tanah.
Selepas banjir
– BERHATI-HATI apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya.
Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
-JANGAN gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.
-ELAKKAN mengguna kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.
Sebelum menghidupkan suis utama, PERIKSA semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah.
Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang bertauliah atau berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.
Semoga bermanfaat
Sumber: Suruhanjaya Tenaga