Lauk ikan masak cuka ini memang jarang jumpa sekarang. Kalau teringin nak makan memang kena buat sendiri sebab tak banyak restoren yang hidang lauk ini.
Jadinya jika terasa nak makan, kenalah belajar masak sendiri. Cara dan tip supaya ikan masak cuka ini sedap boleh ikut perkongsian Norizah Saad.
Arwah mak pesan kalau buat masak cuka ikan kena letak bawang merah dan bawah putih yang kecik-kecik.
Setengah orang panggil masak cuka ada yang panggil jeruk ikan. Apa pun ia makan selera dimakan dengan nasi panas. Masakan ni kena masak hari ni esok makan lagi sedap. Nak buat? Senang saja.
Bahan-bahan:
2-3 ketul isi ikan ketul (sedap kalau guna ikan tenggiri atau ikan merah)
10 ulas bawang kecil (pilih ulas/saiz yang halus)
5 ulas bawang putih
6 biji cili padi
1 camca biji sawi
sikit halia
2 camca cuka makan
Garam & gula secukup rasa
Sikit minyak untuk menumis
Cara masak
1. Ikan digaul sikit kunyit & garam kemudian goreng. Tapi jangan garing sangat.
2. Kemudian panaskan sedikit minyak dalam periuk, dan tumis biji sawi.
3. Masukkan sekali bawang merah kecil dan putih. Tumis lagi hingga naik bau.
4. Kemudian masuk 1/2 cawan air diikuti dengan cuka, garam, gula serta cili padi.
5. Biarkan merenih sekejap kemudian masukkan ikan tadi. Biar seketika supaya ikan sebati dengan kuah kemudian bolehlah diangkat. Siap.
Selamat mencuba.
Sumber: Norizah Saad