Hidangan jenis kerabu bukan saja sedap tapi jugak sihat. Penuh dengan sayur dan tak gunakan minyak.
Antara kerabu yang paling sedap adalah kerabu pucuk paku bersama tauge dan kerang, stail utara. Ada rasa masam, pedas, manis memang syok meratah. Tak sedar habis sepinggan.
Lagi satu kerabu jenis ini jarang dijual di restoran, jadi kalau nak makan kena buat sendiri. Bagi yang teringin boleh ikut perkongsian Nor Haida
ini.Bahan-bahan :
1 mangkuk kerang – rebus dan kopek isi
Seikat pucuk paku- celur dan tos
2-3 genggam taugeh- celur dan tos ( jika nak rangup tak perlu celur tapi cuci bersih)
1 biji bawang besar – dihiris nipis
4 sudu santan pekat
3 sudu besar kerisik
2 sudu air limau nipis
Garam secukupnya atau boleh guna sos ikan tapi kuantiti sikit saja, nanti masin
Gula secukup rasa (boleh pakai gula Thai, rasanya lemak manis lagi sedap)
Bahan kisar:
3 batang serai
½ inci lengkuas
5-8 tangkai cili api (lebihkan jika nak pedas)
Belacan – sebesar ibu jari
1. Bahan kisar letak dalam pengisar bersama sikit saja air. Jangan letak banyak supaya kerabu tak berair. Boleh juga tumbuk lumat, lagi sedap.
2. Tuang bahan kisar dalam besen masukkan kerisik, bawang besar, air limau nipis, santan, garam dan gula. Gaul sebati, boleh juga tambah serbuk perasa.
3. Masukkan isi kerang, pucuk paku dan taugeh. Gaul lagi dan rasa, jika ada kurang tambah ikut citarasa masing masing. Paling penting ada gabungan rasa pedas, masam, masin, manis, lemak santan dan kerisik, serai lengkuas bersatu dan bergaul mesra.
Kerabu stail utara ni meratah saja pun boleh habis sebesen.
Selamat mencuba.
Sumber: Nor Haida